Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR,

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI DIABETES SEDUNIA 2018

TEMA: "DIABETIS DAN KELUARGA"

 14 November 2018

 

1.     Penyakit Diabetis atau kencing manis merupakan penyakit yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Pada masa ini, lebih daripada 425 juta orang diseluruh dunia hidup dengan penyakit diabetis, yang mana majoriti penghidap penyakit ini adalah diabetis jenis 2. Diabetis kini adalah penyebab kematian yang keenam tertinggi di seluruh dunia dan di Negara Brunei Darussalam pula, malangnya ianya adalah penyebab kematian yang ketiga tertinggi selepas kanser dan penyakit jantung.

 

2.     Diabetis boleh dikategorikan sebagai satu penyakit yang senyap (silent disease) pada peringkat awal. Kebanyakkan individu yang menghidap diabetis tidak mengalami sebarang gejala, kadang-kala sehingga 7 ke 10 tahun daripada penyakit itu mula terjadi di dalam badan. Namun begitu, jika individu tersebut menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap, keputusan gula dalam darah yang tinggi mampu dikesan dari tahun pertama penyakit diabetis bermula. Akan tetapi, jika diabetis dibiarkan berlanjutan tanpa dikesan, penyakit ini lebih sukar untuk dikawal dan risiko komplikasi diabetis seperti retinopati diabetis (hilang penglihatan akibat diabetis), sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan kaki kudung (amputasi) adalah tinggi.

 

3.     Di Negara Brunei Darussalam, 50 peratus dari masalah penglihatan seperti kebutaan adalah disebabkan oleh retinopati diabetis. Turut didapati juga ialah 50 peratus ke 60 peratus penghidap penyakit buah pinggang di Negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah disebabkan oleh serangan diabetis. Tambahan lagi, secara umum, orang dewasa yang menghidap diabetis mempunyai 2 ke 3 kali ganda risiko mengalami serangan jantung dan strok. Selain itu juga, gabungan kekurangan pengedaran darah serta kerosakkan urat saraf di kawasan kaki akan meningkatkan risiko ulser dan jangkitan kaki, yang boleh membawa pada kaki atau betis diamputasi.

 

4.     Apa yang mendukacitakan ialah majoriti beban dari penyakit diabetis ini berlaku ke atas golongan lelaki dan wanita pada usia-usia muda dan produktif mereka. Mari kita sama-sama membayangkan satu situasi dalam mana jika anak jati kita dijangkiti diabeits pada usia muda, disamping baru memasuki dunia perkerjaan ataupun memulakan rumah tangga, komplikasi diabetis seperti kebutaan dan kaki atau betis diamputasi sudah setentunya akan mendatangkan kesan negatif ke atas penghidap tersebut, malah juga boleh menyebabkan penderitaan mahupun tekanan kepada ekonomi keluarganya. Masalah ini secara tidak langsung memberi kesan kepada produktiviti (tenaga kerja) rakyat di Negara kita selain kerajaan perlu menampung perbelanjaan tinggi bagi merawat diabetis dan komplikasi lain akibat daripada penyakit ini. Oleh itu, diabetis dan impaknya tidak boleh dipandang ringan.

 

5. Bagi menentang ancaman diabetis dan impaknya, Persekutuan Diabetis Antarabangsa (International Diabetes Federation) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (W.H.O) telah mengistiharkan setiap 14 November sebagai Hari Diabetis Sedunia, yang mana ianya melibatkan berjuta-juta orang untuk mengadvokasi kesedaran mengenai penyakit diabetis, termasuk dengan pencegahan dan rawatannya. Pada Hari Diabetis Sedunia tahun ini, tema yang dipilih oleh Persekutuan Diabetis Antarabangsa ialah "Diabetis dan Keluarga". Tema ini dipilih khususnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan atau impak diabetis kepada institusi keluarga dan mengalakkan peranan serta tanggungjawab ahli keluarga untuk membantu dalam pengurusan, penjagaan, pencegahan dan pendidikan penyakit diabetis. Tema ini membawa tiga fokus utama yang diketengahkan iaitu; Mengenal diabetis; Mencegah diabetis; dan Mengurus diabetis.

 

6.  Menurut dapatan dari kajiselidik STEPwise Approach to Surveillance Population Survey of Noncommunicable Diseases (STEPS NCDs) and Risk Factors bagi Negara Brunei Darussalam pada tahun 2016, kadar golongan dewasa yang menghidap diabetis adalah tinggi iaitu 9.7 peratus atau lebih kurang 29,000 orang dewasa. Perangkaan ini adalah setanding dengan anggaran global di mana 1 dalam 2 orang dewasa tidak menyedari mereka menghidap diabetis. Oleh itu, pengesanan awal dan rawatan yang tepat pada masanya adalah penting untuk mengelakkan atau melambatkan komplikasi dari diabetis. Di samping itu juga, mengetahui akan gejala-gejala dan faktor-faktor risiko diabetes juga memainkan peranan penting untuk membantu pengesanan diabetis yang lebih awal.

 

7. Ada beberapa gejala-gejala diabetis yang dapat dikenalpasti sebagai gejala umum yang terjadi pada penghidap diabetis. Walau bagaimanapun, tidak semua gejala-gejala ini akan dialami oleh pesakit diabetis. Antara gejala-gejala diabetis yang dimaksudkan ialah:

  • Jumlah air kencing yang dikeluarkan lebih banyak, ataupun mendapati kerap berkencing (Polyuria);
  • Sering atau cepat rasa haus/dahaga (Polydipsia);
  • Lapar yang berlebihan atau makan banyak (Polyphagia);
  • Urin mengandungi paras gula yang tinggi (Glycosuria);
  • Berat badan menurun secara mendadak;
  • Rasa kebas pada hujung saraf di telapak tangan & kaki;
  • Cepat penat dan lemah sepanjang masa;
  • Mengalami rabun penglihatan;
  • Luka lambat untuk sembuh; dan
  • Mudah terkena jangkitan kuman terutama pada kulit.

     

8.   Pada hakikatnya, 80 peratus kes diabetis jenis 2 boleh dicegah dengan mengamalkan beberapa perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat seperti dalam menjaga permakanan seharian dan bergiat aktif dalam melakukan kegiatan fizikal. Dalam hal ini, ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting. Pengurusan dan pengendalian diabetis dapat dibantu oleh ahli keluarga dari segi rawatan harian, pemantauan, pengamalan gaya hidup sihat, persekitaran yang kondusif, dan pendidikan yang berterusan. Sokongan padu dari ahli-ahli keluarga juga terbukti mempunyai impak yang besar dalam meningkatkan taraf kesihatan penghidap diabetis dan dapat mengurangkan risiko komplikasi diabetis. Justeru itu, saya percaya langkah-langkah pencegahan  dan pengawalan diabetis dapat dimulakan di dalam rumah sendiri.

 

9.  Dari segi pengambilan makanan yang sihat, pengurangan dan pengawalan risiko diabetis dapat dicapai dengan mengukuhkan peranan ibu bapa atau diri sendiri untuk mengambil dan membuat pilihan makanan dan minuman yang sihat. Setiap ahli keluarga disarankan untuk mengamalkan pengambilan yang sihat seperti; mengawal penggunaan gula dalam masakan, memilih air kosong sebagai minuman rutin, membanyakkan memakan sayur-sayuran serta buah-buahan, membeli dan menyimpan makanan yang berkhasiat di rumah, memesan makanan atau minuman yang kurang manis jika membuat pesanan penghantaran ke rumah, dan sebagainya. Dari aspek kegiatan fizikal pula, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita disarankan untuk membuat aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit 5 kali sehari bagi membantu mengurangkan dan mencegah risiko diabetis. Penglibatan ahli keluarga dalam sama-sama memberikan semangat untuk membuat aktiviti fizikal bukan sahaja mampu untuk mengurangkan risiko menghidap diabetis, malahan ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mengukuhkan keharmonian dalam sesebuah keluarga. Pengurangan berat badan sekurang-kurangnya 7 peratus bagi orang yang obes juga boleh mengurangkan risiko menghidap diabetis jenis 2.

 

10.   Pada kesimpulannya, ingin saya menitikberatkan lagi disini bahawa penglibatan yang aktif dari pesakit diabetis dan ahli keluarga adalah amat diperlukan agar dapat mencapai matlamat rawatan. Pendidikan merupakan asas dan kunci kejayaan untuk meningkatkan kefahaman tentang penyakit diabetis dan kemahiran pengurusan penyakit mereka sendiri. Justeru itu, adalah penting untuk pengurusan diabetis yang berterusan dalam satu unit kekeluargaan dapat dilaksanakan oleh semua penghidap diabetis dan keluarga mereka.

 

11.   Daripada Jabir Radi Allahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda yang bermaksud:

"Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajalla."

- Riwayat Al-Imam Muslim.

 

12.   Sehubungan dengan riwayat tersebut, adalah menjadi harapan saya dan juga sebagai peringatan kepada diri saya sendiri, bahawa kita perlu sama-sama  bertanggungjawab untuk sentiasa meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetis ini dan berinitiatif untuk Mengenal diabetis, Mencegah diabetis dan Mengurus diabetis, dalam kehidupan kita dalam sesebuah institusi keluarga. Akhirnya, saya berdoa dengan adanya peningkatan kesedaran orang ramai terhadap penyakit diabetis ini, ianya akan dapat mengubah tingkahlaku semua keluarga-kerluarga yang berada di Negara Brunei Darussalam dalam usaha mencegah, mengawal dan membenteras penyakit diabetis. Ini seterusnya akan menyumbangkan kepada penurunan risiko kematian pramatang akibat dari komplikasi diabetis di Negara ini. In Syaa Allah.

 

 

- TAMAT -

 


Attachments