Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

 

BERSEMPENA SAMBUTAN MINGGU KESEDARAN

ANTIBIOTIK SEDUNIA 2018

 

TEMA:

"PENYALAHGUNAAN ANTIBIOTIK MELETAKKAN KITA SEMUA PADA RISIKO. FIKIR DUA KALI, DAPATKAN NASIHAT"

 

12 -18 November 2018

 

  1. Sejarah antibiotik moden bermula pada tahun 1928, ketika mana Sir Alexander Fleming telah secara tidak sengaja menemui Penicillin yang terhasil daripada sejenis fungi atau kulat Penicillin Rubens. Berikutan dengan penemuan itu, antibiotik telah diperkenalkan kepada orang ramai mulai tahun 1945 dan digunakan secara meluas pada era perang dunia kedua. Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk mencegah dan merawat jangkitan kuman bakteria. Antimikrob pula adalah istilah yang merangkumi ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan kuman bakteria, virus, kulat dan parasit.  Sebelum penemuan ubat pembunuh kuman ini, jangkitan-jangkitan kuman yang ringan pun boleh menjadi penyebab berlakunya kematian. Alhamdulillah, semenjak pengenalan dan penggunaan antibiotik, peningkatan jangka hayat dapat dilihat sepanjang beberapa dekad yang lalu. 

     
  2. Walau bagaimanapun, kemunculan rintangan antimikrob (Antimicrobial Resistance) termasuk rintangan terhadap antibiotik (Antibiotic Resistance) sejak kebelakangan ini telah mengancam keberkesanan pencegahan dan rawatan jangkitan yang disebabkan oleh kuman bakteria, virus, kulat dan parasit berkenaan. Rintangan antimikrob, termasuk rintangan antibiotik adalah disebabkan oleh penggunaan  yang berleluasa dan penyalahgunaan terhadap ubat-ubat pembunuh kuman ini.

      
  3. Di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam, rintangan antimikrob ini adalah ancaman yang semakin serius kepada kesihatan awam, termasuk ancaman pada peningkatan kos rawatan dan ancaman kemungkinan kembalinya era seperti sebelum penemuan antibiotik, di mana jangkitan kuman yang biasa berlaku juga boleh mengancam nyawa. Perkara ini amatlah membimbangkan dan memerlukan
    akauntabiliti orang ramai untuk sama-sama mengatasinya dengan bersungguh-sungguh.

     
  4. Dalam pada itu, selaras dengan tema Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia pada tahun ini, iaitu "Penyalahgunaan Antibiotik Meletakkan Kita Semua Pada Risiko. Fikir Dua Kali, Dapatkan Nasihat", maka saya menyarankan agar seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kesedaran dan bertanggngjawab dalam memainkan peranan masing-masing bagi sama-sama menangani masalah peningkatan rintangan antibiotik, termasuk rintangan antimikrob ini.

     
  5. Bagi orang awam, diantara langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko rintangan antibiotik atau antimikrob adalah seperti berikut:
  • Mengurangkan risiko jangkitan kuman dengan mengamalkan:
    1. Penyucian tangan yang betul;
    2. Penyediaan makanan dengan bersih;
    3. Mengurangkan pendedahan dengan orang lain semasa sakit atau kurang sihat;
    4. Pengambilan vaksinasi seperti yang disarankan; dan
    5. Pengambilan dan penggunaan air yang bersih.
       
  • Sentiasa mendapatkan nasihat dari doktor sebelum menggunakan antibiotik.
  • Jangan meminta rawatan antibiotik jika doktor mengatakan ianya tidak diperlukan.
  • Jika antibiotik diperlukan, ikut arahan doktor dalam pengambilannya, seperti waktu, dos dan tempoh pengambilan antibiotik berkenaan.
  • Jangan berkongsi ubat, termasuk antibiotik dengan orang lain.

6. Bagi para penjaga kesihatan pula, langkah-langkah yang bersesuaian dalam menangani masalah peningkatan rintangan antimikrob atau antibiotik perlulah juga diambil berat. Pertama, dalam pemberian antibiotik kepada pesakit. Ianya hanya dapat diberikan untuk merawat jangkitan kuman bakteria sahaja dan bukan untuk merawat jangkitan kuman virus seperti yang menyebabkan batuk dan selsema yang ringan yang biasanya disebabkan oleh kuman virus yang akan sembuh dengan sendirinya. Kedua, sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan kuman sewaktu memberikan rawatan dan penjagaan pesakit.

7. Disamping itu, perlulah kita beringat bahawa kuman-kuman merupakan mikro-organisma yang hebat dengan kemampuan daya tahan (survival) yang cukup ampuh. Walaupun dengan saiznya yang sangat kecil, itu bukanlah faktor yang menghalang bagi kuman-kuman tersebut untuk membiak dan mengekalkan spesis mereka. Terdapat kata-kata terkenal dari barat mengatakan "size doesn't matter". Ini memang terbukti apabila mengambil kira akan kewujudan bakteria yang telah hadir sejak 3.5 bilion tahun yang lalu. Maka, tidak hairanlah jika sekiranya dunia perubatan moden kita pada masa ini menemui jalan buntu dalam usaha untuk menangani serangan kuman-kuman yang kian mencabar.

8. Akhirnya, di 'Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia' ini, saya berharap kita semua akan dapat menyedari betapa pentingnya untuk memelihara keberkesanan ubat-ubatan antimikrob dan antibiotik. Dapatkanlah nasihat dan kepastian daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Gunakanlah antimikrob dan antibiotik dengan ubaya-ubaya dan secara betul bagi menghentikan merebaknya rintangan antimikrob dan rintangan antibiotik ini, dan menghentikan ancaman terhadap keselamatan semua termasuk keselamatan generasi yang akan datang.

 

- TAMAT -

 

 


Attachments