Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

World Cancer Day 2019

‚Äč

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN

HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA 2019

4 Februari 2019

                                                                                                                 

TEMA:  "SAYA ADALAH dan SAYA AKAN"

             "I AM and I WILL"

 

1.       Setiap tahun, pada 4hb Februari, seluruh dunia akan menyambut Hari Kanser Sedunia. Seperti di negara-negara yang lain, Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan untuk sama-sama bergiat aktif dalam meningkatkan kesedaran dan juga mengambil beberapa tindakan dan langkah bagi mencegah dan mengurangkan kesan penyakit kanser. Tema bagi Hari Kanser Sedunia bermula tahun ini hingga tahun 2021 ialah "Saya Adalah dan Saya Akan". Tema ini menggambarkan bahawa 'saya dan awda' adalah wira bagi kesedaran kanser dan peranan serta komitment yang tinggi adalah diperlukan oleh setiap individu untuk sama-sama bertindak bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit kanser.

 

2.      Pada tahun 2017, kira-kira seramai 625 orang warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam telah dikesan menghidap penyakit kanser, yang mana penyakit tersebut telah menyebabkan seramai 385 kematian. Dalam erti kata lain, pada tahun 2017, penyakit kanser telah menyebabkan kira-kira 1 dalam 5 (20%) kematian dikalangan warganegara dan penduduk tetap di Negara ini. Menurut statistik yang diperolehi daripada Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam pada tahun yang sama, risiko bagi seorang lelaki untuk menghidap kanser disepanjang hayatnya ialah 27% atau 1 dalam 4, manakala risiko bagi perempuan pula ialah 29% atau 1 dalam 3. Antara jenis-jenis penyakit kanser yang tertinggi dikalangan lelaki adalah kolorektal (63 kes); trakea, bronkus serta paru-paru (39 kes); dan prostat (30 kes). Manakala di kalangan perempuan pula, tiga jenis kanser umum teratas adalah payudara (80 kes), kolorektal (35 kes) dan serviks (32 kes).

 

3.      Seperti penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain, kebanyakkan penyakit kanser boleh dicegah. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan, perokok, mengambil makanan yang tidak sihat dan meminum alkohol mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan kanser seperti kanser payudara, paru-paru dan usus besar. Justeru itu, memandangkan kesemua faktor risiko kanser tersebut boleh dicegah, adalah perlu bagi kita sama-sama menghindarinya  dan mengikut beberapa langkah gaya hidup sihat seperti:-

  • Berhenti merokok dan mengelakkan daripada pendedahan kepada asap rokok pasif;
  • Mengekalkan berat badan yang sihat dari kanak-kanak dan sepanjang hayat;
  • Memastikan pengambilan 2-3 sajian buah-buahan dan 2-3 sajian sayur-sayuran setiap hari;
  • Mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai lemak yang tinggi/berlebihan; dan
  • Melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali atau lebih dalam seminggu.

     

4.      Dengan ini, marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan diri. Pilihan gaya hidup yang sihat bergantung kepada diri kita sendiri dengan dibantu oleh persekitaran fizikal dan sosio-budaya kita yang sihat. Kita haruslah bijak dalam membuat pilihan makanan serta masakan sihat untuk disediakan di rumah mahupun di luar rumah; bijak dalam memesan makanan yang kurang gula, garam dan minyak ketika di restoran, di kantin, ataupun pasar raya. Di samping itu, kita mestilah bertekad untuk bergiat aktif dengan mengintegrasikan kegiatan fizikal ke dalam jadual harian kita sama ada apabila beriadah di dalam atau di luar rumah, termasuk di tempat bekerja.

 

5.      Selain dari penjagaan kesihatan diri, saya juga menyarankan agar kita semua mengambil langkah-langkah secara proaktif untuk mencegah kesan penyakit kanser dengan mengesan tanda-tanda awal penyakit tersebut melalui pemeriksaan saringan kanser agar ianya dapat dirawat di peringkat awal lagi. Individu yang mempunyai sejarah kanser di dalam keluarga dan mempunyai faktor-faktor risiko adalah dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan secara berkala. Pengesahan awal dan rawatan yang mencukupi sudah semestinya dapat membantu untuk meningkatkan proses penyembuhan dan seterusnya memberi peluang kepada pesakit yang mempunyai penyakit kanser untuk pulih sepenuhnya. Antara pemeriksaan saringan kanser yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan termasuk pemeriksaan pap smear untuk kanser serviks, pemeriksaan klinikal payudara serta mammogram untuk kanser payudara, dan pemeriksaan pendarahan dalam usus termasuk colonoscopy bagi kanser usus besar. Dari segi rawatan dan pengurusan untuk penyakit kanser, Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan The Brunei Cancer Centre (TBCC) dalam menawarkan perkhidmatan rawatan kanser terbaik bagi penghidap penyakit kanser serta keluarga mereka yang terlibat.

 

6.      Dikesempatan ini juga, saya memohon agar kesedaran tentang betapa pentingnya  pencegahan dan intervensi awal bagi penyakit kanser adalah sangat penting dan harus diberigakan kepada semua warganegara dan penduduk di Negara Brunei Darussalam. Bagi menguatkan dan meningkatkan tahap pengetahuan orang ramai, insiatif-insiatif Kementerian Kesihatan dapat dimantapkan lagi dengan penglibatan pihak masyarakat atau kumpulan komuniti, persatuan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerjasama dari pelbagai pihak dalam sama-sama meningkatkan kesedaran dan menjalankan aktiviti gaya hidup sihat untuk mencegah kanser dan penyakit kronik adalah sangat-sangat dialu-alukan.

 

7.      Baru-baru ini, salah satu pertubuhan bukan kerajaan iaitu Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menganjurkan acara riadah berjalan kaki, berlari dan kayuhan amal sempena Hari Kanser Sedunia 2019 di Program Bandarku Ceria. Acara tersebut adalah  inisiatif kolaborasi bersama satu syarikat swasta dan disokong oleh Pantai Jerudong Specialist Centre serta pihak-pihak dari Kementerian-Kementerian lain. Usaha kolaboratif dan senegeri seperti ini adalah sangat-sangat terpuji dan perlu diteruskan yang mana ianya bukan sahaja dapat menolong warganegara dan penduduk di Negara Brunei Darussalam malahan juga dapat membantu Negara Brunei Darussalam untuk mencapai sasaran kesihatan dan merealisasikan Wawasan Negara 2035, iaitu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat yang selaras dengan visi Kementerian Kesihatan, iaitu "Bersama Ke Arah Warga Sihat".

 

8.      Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama bertekad untuk memberi  komitmen yang tinggi untuk sama-sama bertindak bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser serta langkah-langkah pencegahan dalam mengurangkan kesan dan risiko menghidap penyakit kanser di Negara Brunei Darussalam. "Saya Adalah dan Saya Akan"


  

- TAMAT -


Attachments