Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

‚Äč

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI TB SEDUNIA 2019

TEMA: 'TELAH TIBA MASANYA'

('IT'S TIME')

 

 24 MAC 2019

 

 

1.          Hari TB Sedunia disambut setiap 24 Mac di seluruh dunia dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk orang ramai bahawa penyakit TB masih boleh dikesan dikebanyakkan negara. Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Stop TB Partnership telah memilih 'Telah Tiba Masanya' ('It's Time') sebagai tema sambutan Hari TB Sedunia 2019. Tema yang mempunyai pelbagai makna dan meliputi kesemua aspek pencegahan dan pengawalan jangkitan TB ini bertujuan untuk mengingatkan semua pihak mengenai komitmen yang telah diberikan dan membangkitkan semangat untuk menyegerakan tindakan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit TB. Telah tiba masanya untuk meningkatkan dan menambahbaik tindakan terhadap akses kepada pencegahan dan rawatan; akauntabiliti; pembiayaan yang cukup dan mampan termasuk untuk penyelidikan; mengelakkan stigma dan diskriminasi, dan menggalakkan response TB yang saksama dan berasaskan kepada "right-based and people centred TB response".

  

2.          Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit TB menyebabkan kira-kira 1.5 juta kematian setiap tahun dan kebanyakkan penyakit TB belaku di negara-negara yang sedang membangun. Di Negara Brunei Darussalam pula, kadar insiden penyakit TB telah menurun daripada 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2000 kepada 59 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018, yang mana pada tahun 2018 sebanyak 249 kes baru penyakit TB telah dicatatkan, berbanding dengan 311 kes pada tahun 2000. Walaupun terdapat penurunan jumlah keseluruhan kes TB di Negara ini, tetapi kadar penurunannya adalah sangat perlahan pada beberapa tahun kebelakangan. Di antara penyumbang kepada keadaan ini ialah kadar pesakit penyakit-penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat yangmana penyakit TB adalah mudah menjadi aktif dikalangan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit tidak berjangkit dan mudah dijangkiti kuman tersebut disebabkan sistem imun yang lemah.

 

3.          Dalam mempertingkatkan lagi respons negara-negara untuk mencapai sasaran memberhentikan penyakit TB, Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu Kali Ke-73 (United Nations General Assembly, UNGA) buat julung-julung kalinya mengadakan Mesyuarat Kali Pertama High Level Meeting on Tuberculosis (TB) yang diadakan pada tahun 2018. Negara Brunei Darussalam sebagai ahli kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) telah menyatakan sokongan penuh dalam usaha global melaksanakan World Health Organisation's End Tuberculosis Strategy untuk memberi perubahan yang komprehensif, universal, dan equitable di dalam menangani isu penyakit TB serta deklarasi Political Declaration on the Fight Against Tuberculosis bertajuk "United to End Tuberculosis: An Urgent Global Response to a Global Epidemic". Dalam memenuhi deklarasi tersebut,  Negara Brunei Darussalam akan terus berusaha untuk memberhentikan jangkitan TB menjelang tahun 2030 dengan matlamat jangka pendek iaitu menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang berprevalen TB di tahap rendah (low burden TB).

 

4.    Dua cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa sekarang berkenaan dengan penyakit TB ialah kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB (Multi-drug resistant TB dan extensively drug-resistant TB) dan kes jangkitan TB dikalangan pesakit HIV (TB-HIV). Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kadar kes-kes berkenaan kekebalan kuman TB dan jangkitan TB-HIV di Negara ini adalah pada tahap yang sangat rendah. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus bergiat proaktif bagi memastikan cabaran-cabaran tersebut sentiasa terkawal di Negara ini. Justeru itu, Kementerian Kesihatan telah memfokuskan strategi dan tindakan pengawalan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam kepada 3 perkara iaitu:

 

    1. Peningkatan kesedaran semua pihak termasuk profesional kesihatan dan orang ramai tentang penyakit TB;
    2. Pengukuhan Program Saringan Penyakit TB (TB screening Program) dengan kumpulan-kumpulan sasaran tertentu; dan
    3. Rawatan dan pemantauan pesakit TB, termasuk bagi menghindari kemunculan kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB.

       

5.    Dalam pada itu, strategi penghapusan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam bukan sahaja memfokuskan kepada rawatan penyakit TB, tetapi juga pendekatan yang holistik dengan mengambil kira faktor sosial dan persekitaran yang memudahkan seseorang mendapat penyakit TB. Kemahuan dan kegigihan pesakit itu sendiri berserta dengan sokongan dari ahli keluarga adalah sangat penting bagi memastikan pesakit sembuh dari penyakit TB dan pesakit seterusnya tidak menjangkiti keluarganya dan orang lain. Orang ramai adalah juga dinasihatkan bahawa ianya adalah tanggungjawab bersama untuk mematuhi nasihat doktor untuk mengambil ubat-ubat dan rawatan berkaitan dengan penyakit TB sepertimana yang dituntut dalam Seksyen 8 Akta Penyakit Berjangkit Bab 204 (Section 8 of Infectious Disease Act Chapter 204).

 

6.    Kesimpulanya, Telah Tiba Masanya bagi kita semua, stakeholders, termasuk penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi-institusi pendidikan dan semua lapisan masyarakat untuk bekerjasama padu serta memberikan komitmen penuh untuk mencegah, mengawal dan seterusnya menghapuskan penyakit TB di Negara ini.

 
 


Attachments