Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA
DR. HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHTAN

SEMPENA HARI KEGIATAN FIZIKAL SEDUNIA 2019

6 APRIL 2019

TEMA:

"Hidup Aktif, Hidup Lebih Lama"

(Active Life, Longer Life)

 

  1. Amalan kegiatan fizikal atau bersukan adalah antara perkara yang dititikberatkan oleh agama kita bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas. Melakukan kegiatan fizikal secara tetap dengan mengamalkan permakanan yang sihat dan seimbang terbukti boleh membantu mencegah dan mengawal penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit (NCD) serta faktor-faktor risiko berkaitan dengannya seperti penyakit jantung, strok, diabetis, kanser payudara dan kolon, tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan obesiti. Kegiatan fizikal secara tetap juga boleh membantu mempertingkatkan kesihatan tulang dan fungsi, mengurangkan risiko jatuh dan seterusnya patah tulang pinggang dan belakang, serta boleh meningkatkan kesihatan mental, kualiti kehidupan dan kesejahteraan.

     
  2. Sehubungan dengan itu, 6hb April setiap tahun telah dijadikan sebagai hari untuk memperingati dan menyambut Hari Kegiatan Fizikal Sedunia, dan tahun ini merupakan kali ke-18 ianya disambut secara global, termasuk di Negara Brunei Darussalam. Hari Kegiatan Fizikal Sedunia pada tahun ini membawa tema 'Hidup Aktif, Hidup Lebih Lama' atau 'Active Life, Longer Life'. Tema ini adalah untuk mengingati kita semua akan kepentingan melakukan kegiatan fizikal untuk kesihatan. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kurang atau tidak melakukan kegiatan fizikal telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor risiko utama penyebab kematian di seluruh dunia (6%). Ianya juga dianggarkan menyumbang kepada 21-25% beban kanser payu dara dan usus, 27% beban diabetis dan lebih kurang 30% beban penyakit jantung iskemik pada keseluruhannya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggarkan 1 daripada 5 orang dewasa dan 4 daripada 5 orang remaja (berumur 11-17 tahun) kurang melakukan kegiatan fizikal. Remaja perempuan, wanita, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik didapati kurang berpeluang untuk aktif. Apa yang lebih membimbangkan, mereka yang kurang melakukan kegiatan fizikal atau tidak melakukan kegiatan fizikal secara tetap mempunyai risiko kematian 20-30% lebih tinggi dibandingkan dengan mereka yang aktif melakukan aktiviti fizikal.

     
  3. Kekurangan melakukan kegiatan fizikal bukan sahaja satu cabaran kesihatan bahkan ianya juga menyebabkan kos perbelanjaan kesihatan yang tinggi. Rata-rata di seluruh dunia, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kos perbelanjaan berkaitan dengan kurang melakukan kegiatan fizikal adalah berjumlah US$54 bilion dari segi penjagaan kesihatan secara langsung, yang mana 57% adalah ditanggung oleh sektor awam dan dari jumlah tersebut US$14 bilion pula adalah disebabkan oleh kehilangan produktiviti. Oleh yang demikian, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti kadar kekurangan kegiatan fizikal sebagai salah satu petunjuk ('indicator') utama yang perlu dipantau oleh setiap negara ahli dalam pencapaian matlamat Pelan Tindakan Sejagat bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit 2013-2020. Sasaran khusus bagi kegiatan fizikal ialah pengurangan 10% kadar kekurangan kegiatan fizikal menjelang tahun 2025.

     
  4. Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, sasaran ini telah dicapai dengan penurunan kadar kekurangan kegiatan fizikal dikalangan dewasa, iaitu daripada 35.5% pada tahun 2011 (NHANSS) ke 25.3% pada tahun 2016 (STEPS NCD Survey). Walau bagaimanapun, kadar kekurangan kegiatan fizikal dikalangan remaja masih lagi tinggi iaitu 87.3% remaja kita yang berumur 13-17 tahun didapati tidak mencapai sasaran garispandu kegiatan fizikal iaitu melakukan kegiatan fizikal secara sederhana selama sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari. 

     
  5. Dalam hubungan ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan langkah-langkah bagi mempromosi dan menggalakkan kegiatan fizikal dari pelbagai aspek dan di semua peringkat umur dengan mengambilkira tindakan-tindakan yang digariskan dalam Global Action Plan on Physical Activity 2018-2030 yang telah diluluskan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei 2018. Sebahagian daripada langkah-langkah ini telahpun dikenalpasti oleh Jawatankuasa Pelbagai Sektor bagi Kesihatan (Multisectoral Task Force on Health) khususnya di bawah program 'Menyokong Komuniti yang Aktif di Negara Brunei Darussalam' ('Supporting active communities in Brunei'). Selain dari itu, Kementerian Kesihatan juga sedang meneliti dan mengemaskinikan Garispandu Kebangsaan Kegiatan Fizikal dengan mengambilkira beberapa faktor lain seperti duduk berpanjangan setiap hari dan 'screen time' di kalangan kanak-kanak dan remaja.

     
  6. Di kesempatan ini saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin sekali lagi menyeru kepada orang ramai amnya, untuk meluangkan masa melakukan kegiatan fizikal secara sederhana 30 minit setiap hari atau 150 minit dalam seminggu bagi mendapatkan manfaat kesihatan, kecergasan dan kualiti kehidupan yang baik. Marilah kita terus berpegang dengan ajaran Rasulullah ﷺ yang sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjaga kesihatan, memiliki fizikal yang kuat serta menghindari daripada sebarang penyakit yang memudaratkan. Bersenam atau melakukan kegiatan fizikal boleh saja dirancang dan dilakukan bersama keluarga atau rakan dimana sahaja atau digabungkan ke dalam rutin aktiviti harian. Ini termasuklah meningkatkan aktiviti di tempat kerja dimana kita banyak meluangkan kehidupan seharian kita iaitu seperti meningkatkan kiraan langkah atau steps dan memilih untuk menggunakan tangga bukannya lif. Insyaa Allah, kehidupan aktif boleh memanjangkan umur dengan meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan – Hidup Aktif, Hidup Lebih Lama (Active Life, Longer Life).

     

      

 

 

---TAMAT---


Attachments