Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI PERHIMPUNAN KESIHATAN SEDUNIA KE–72

(72nd WORLD HEALTH ASSEMBLY)

20-28 MEI 2019, GENEVA, SWITZERLAND

 

1.    Menteri-Menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari 194 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke-72 (72nd World Health Assembly) yang berlangsung di Geneva, Switzerland, bermula pada 20 Mei hingga 28 Mei 2019.

 

2.    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Perhimpunan tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan yang juga disertai oleh Puan Yang Terutama, Dayang Hajah Masurai binti Haji Masri, Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan serta beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

 

3.    Tema Perhimpunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun ini ialah "Liputan Kesihatan Sejagat: tiada sesiapa ditinggalkan" ("Universal Health Coverage: leaving no-one behind").

 

4.    Di Perhimpunan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telahpun memberikan ucapan disesi plenari yang mana Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan tumpuan tema pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ini yang masih memfokuskan kepada Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage) dan seterusnya  menyatakan komitmen Negara Brunei Darussalam di dalam memandu kehadapan agenda  liputan kesihatan sejagat dan pemberian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang  memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Komitmen terhadap "Kesihatan Untuk Semua" ("Health for All") ini jelas termaktub sebagai pendokong strategik di dalam pelan pembangunan kebangsaan iaitu Wawasan Brunei 2035. 

 

5.    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan kaedah-kaedah utama yang telah dan sedang dilaksanakan dalam memajukan agenda liputan kesihatan sejagat yang antaranya adalah memperkukuhkan kapasiti pencegahan dan pengesanan awal dalam menghadapi cabaran peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit serta penuaan penduduk (ageing population). Ini termasuklah Program Saringan Kesihatan Kebangsaan yang telah dilancarkan pada bulan Februari tahun ini, yang mana ujian-ujian saringan bagi penyakit kardiovaskular dan kencing manis diberikan secara percuma kepada individu-individu berumur 40 tahun ke atas. Di samping itu, tumpuan juga telah diberikan kepada inisiatif-inisiatif di peringkat dasar (upstream) dalam menangani faktor-faktor penentu kesihatan (determinants of health) bagi membangun persekitaran kesihatan yang sihat dan kondusif termasuklah aktiviti-aktiviti yang melibatkan kolaborasi serta kerjasama kongsisama seperti aktiviti-aktiviti di bawah jawatankuasa Multisectoral Taskforce for Health.

 

6.    Di dalam memantapkan kualiti penjagaan kesihatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan sokongan Negara Brunei Darussalam kepada deklarasi "Jeddah Declaration on Patient Safety" yang telah dipersetujui pada bulan Mac tahun ini,  yang mana penubuhan-penubuhan Komiti Keselamatan Pesakit dan Kualiti Kebangsaan (National Quality and Patient Safety Committee); Unit Kualiti, Inovasi dan Urustadbir (Governance, Innovation and Quality Unit) di peringkat Kementerian Kesihatan dan Unit-unit Keselamatan Pesakit di semua kemudahan kesihatan telahpun dilaksanakan. Ini bertujuan untuk memantau dan meningkatkan kualiti dan keselamatan pemberian penjagaan kesihatan di semua peringkat dengan tujuan membudayakan keselamatan pesakit (patient safety culture) dikalangan pekerja kesihatan di Negara ini.

 

7.    Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan mengenai usaha terus pengukuhan sistem pengurusan maklumat elektronik kesihatan kebangsaan (Bru-HIMS), yang sehingga kini meliputi lebih dari 95% penduduk Negara ini, yang mana adalah satu kaedah teknologi berperanan penting dalam pengukuhan kesinambungan penjagaan pesakit (continuity of care) dan menyumbang kepada health intelligence dalam merancang perkhidmatan kesihatan serta penggunaan sumber secara optima. Selain itu, teknologi kesihatan juga akan terus dinilai dan dipertimbangkan penggunaannya bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan terutamanya dalam telemedicine yang mampu menambahbaik akses kesihatan kepada masyarakat yang sukar dicapai di kawasan-kawasan pedalaman.

 

8.    Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke 72 ini mendapat persetujuan dan kesepakatan negara-negara anggota mengenai pelbagai isu kesihatan awam dan global yang penting seperti; Kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam; Penghapusan penyakit Polio dan Tuberkulosis; Kesihatan persekitaran dan perubahan iklim; Menangani kekurangan dan akses kepada ubat-ubatan dan vaksin di peringkat global; Aktiviti fizikal untuk kesihatan; Strategi Global Kesihatan Wanita, Kanak-Kanak dan Remaja;  dan Pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

 

9.    Semasa di Geneva, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mengadakan kunjungan muhibah bersama Tuan Yang Terutama Dr Takeshi Kasai, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Rantau Pasifik Barat. Perkara-perkara yang telah dibincangkan antaralain adalah mengenai kerjasama teknikal Negara Brunei Darussalam dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia termasuk Joint External Evaluation (JEE) ke arah memenuhi keperluan International Health Regulations (IHR 2005) yang akan dijalankan pada tahun ini, dan bantuan teknikal dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam pelbagai bidang kesihatan seperti menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit, program penghapusan penyakit viral hepatitis, pencegahan dan pengawalan penyakit rabies dan sustainable healthcare financing.

 

10.  Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga telah membuat perbincangan dua-hala mengenai kerjasama bidang kesihatan dengan Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan Singapura dan Tuan Yang Terutama Dr Ahmed Mohammed Obaid Al Saidi, Menteri Kesihatan Kesultanan Oman.

 

 

-    T    A    M    A    T    -

 

 

 

Tarikh             : 25 Mei 2019

Rujukan           : KK/PR/2

 


Attachments