Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

‚Äč

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA  DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2019

 

14 JUN 2019

 

TEMA: "PENDERMAAN DARAH DAN AKSES SEJAGAT BAGI PEMINDAHAN DARAH YANG SELAMAT"

("BLOOD DONATION AND UNIVERSAL ACCESS TO SAFE BLOOD TRANSFUSION")

 

SLOGAN: "DARAH YANG SELAMAT UNTUK SEMUA"

("SAFE BLOOD FOR ALL")

 

 

 

1.      Pemindahan darah dan produk darah dapat membantu menyelamatkan berjuta-juta nyawa setiap tahun. Proses pemindahan darah dan produk darah mampu membantu seseorang dalam berbagai keadaan termasuklah dalam masa-masa kecemasan seperti kemalangan, bencana dan mangsa trauma; dan juga bagi pesakit-pesakit yang mengalami pendarahan ataupun mempunyai masalah penyakit darah seperti ibu-ibu yang mengalami masalah pendarahan semasa kehamilan atau melahirkan anak; kanak-kanak yang mengalami anemia (kurang darah) yang teruk akibat malaria dan kekurangan zat makanan (malnutrition); pesakit yang menderita akibat penyakit darah dan tulang sumsum (blood and bone marrow disorders), kekurangan tahap hemoglobin dan imun (haemoglobin and immune deficiency conditions); serta pesakit yang menjalani prosedur perubatan dan pembedahan yang rumit. 


2.         Hari Penderma Darah Sedunia atau World Blood Donor Day disambut pada 14 Jun setiap tahun di seluruh dunia, dikhususkan bagi mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya. Di samping itu, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai keperluan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan.

 

 

3.      Tema kempen Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah "Pendermaan Darah Dan Akses Sejagat Bagi Pemindahan Darah Yang Selamat", yang memfokuskan pada pendermaan darah secara berkekalan dengan mewujudkan akses sejagat sebagai komponen dalam mencapai liputan kesihatan sejagat. Manakala slogan kempen pada tahun ini pula adalah "Darah yang Selamat Untuk Semua" yang mengutarakan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai akses sejagat atau universal kepada darah yang selamat dalam penjagaan kesihatan.

 

4.      Tema Hari Penderma Darah Sedunia ini juga menggalakkan supaya lebih ramai orang di seluruh dunia, termasuk di Negara kita, tampil untuk menjadi penderma darah serta menderma secara berkala dan berterusan kerana dengan demikianlah bekalan darah kebangsaan menjadi mampan dan mencukupi bagi memenuhi keperluan semua pesakit yang memerlukan pemindahan darah (blood transfusion). Tema ini juga menyeru tindakan (call-to-action) pihak Kerajaan, pihak berkuasa kesihatan negara dan perkhidmatan darah kebangsaan untuk menyediakan sumber yang mencukupi serta menyediakan sistem dan infrastruktur bagi meningkatkan kutipan darah daripada penderma darah sukarela; untuk menyediakan penjagaan penderma yang berkualiti; untuk menggalakkan dan melaksanakan penggunaan klinikal darah yang bersesuaian; dan untuk menubuhkan sistem pengawasan dan pemantauan terhadap seluruh rangkaian pemindahan darah di sesebuah negara.

 
5.      Alhamdulillah, aktiviti-aktiviti dan kempen menderma darah ini masih menjadi amalan yang berterusan yang jelas dapat kita saksikan di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi Kerajaan lain, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen pendermaan darah di semua daerah. Pada tahun 2018, Pusat Pendermaan Darah telah mencatit sebanyak 15,537 kutipan darah yang disumbangkan oleh 12,613 penderma darah termasuk 3,234 penderma darah baru yang berdaftar. Pada tahun 2017 pula, sejumlah 16,104 kutipan darah telah dicatit termasuk 2,973 penderma darah baru berdaftar. Walaupun ada sedikit pengurangan dalam jumlah kutipan darah pada tahun 2018 berbanding pada tahun 2017; Alhamdulillah kita masih dapat mencapai matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah pendermaan darah dalam lingkungan 1-3% dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan. Pencapaian peratus di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018 ialah sebanyak 3.04 peratus dan perangkaan ini adalah konsisten dengan pencapaian dari tahun 2014. 


 

6.      Dalam memastikan pencapaian ini sentiasa berterusan, Pusat Pendermaan Darah akan sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan meluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah tampil bagi menyumbangkan darah. Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di hospital dan di semua daerah juga akan terus berusaha untuk menyediakan akses darah dan produk darah yang selamat kepada pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ini adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di Negara ini.

 
7.      Dalam dua tahun kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa tren jangkitan pemindahan darah (transfusion transmissible infections - TTIs) di kalangan penderma darah di Negara ini didapati semakin meningkat. Oleh yang demikian, Pusat Pendermaan Darah sudah pun merancang dan mengungkayahkan beberapa langkah-langkah sistematik yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti darah di sepanjang tahun ini. Ini termasuk mengukuhkan bekalan darah yang selamat dengan melaksanakan; Pertama - Ujian Nukleik Asid (Nucleic Acid Test) bagi mengesan jenis nukleik asid tertentu, virus atau bakteria di dalam darah yang boleh bertindak sebagai patogen (organisme kecil yang membuat orang sakit); Kedua - mengurangkan reaksi pemindahan darah dengan penggunaan pek darah yang mana sel-sel darah putih (white blood cells) di dalamnya telah dikeluarkan (juga dikenali sebagai Leucocyte depleted Packed Cells); dan Ketiga - mengukuhkan cara menderma darah yang selamat dengan berpandukan Buku Panduan Derma Darah yang diiktiraf dan terkini. Tindakan-tindakan ini adalah untuk membina asas yang kukuh dalam memastikan bekalan darah yang selamat dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan pemindahan darah.


 

8.      Dalam kesempatan ini, saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin meraikan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya. Ini termasuk generasi wira muda yang berani tampil serta mula menderma darah pada usia 17 tahun di Negara ini. Bagi setiap darah yang didermakan ianya Insya-Allah akan dapat menyelamatkan 3 nyawa pesakit. Semoga Allah Subhanahu Wataala membalas budi baik semua serta melimpahkan rahmatnya kepada mereka yang membantu sesama insan. Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menyeru dan menggalakkan mereka yang belum pernah menderma darah untuk mula tampil demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

 

9.      Justeru itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan. Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi akan terus dapat dinikmati oleh pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah yang selamat dan tepat pada masanya.  Untuk mengetahui maklumat-maklumat lanjut dan terkini mengenai aktiviti-aktiviti Pusat Pendermaan Darah, orang ramai bolehlah mengikuti Facebook bloodbankripas.brunei atau Instagram/Twitter @bloodbank_ripas.

 

10.  Dengan itu diucapkan Selamat Hari Penderma Darah Sedunia dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H.

 

 

 


Attachments