Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI MESYUARAT MENTERI-MENTERI KESIHATAN ASEAN KALI KE-14 DAN
MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN

29-30 Ogos, 2019, Siem Reap, Cambodia

1. Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-14 dan Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan (14th ASEAN Health Ministers Meeting And Related Meetings) telah bersidang di Siem Reap, Cambodia pada 29 sehingga 30 Ogos 2019 dan mewakili Negara Brunei Darussalam di Mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.

2. Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-14 dan Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tea Banh, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kebangsaan, Cambodiaselaku wakil kepada.

3. Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-14 telahpun diadakan pada 29 Ogos 2019 dan didahului dengan satu sidang retreat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bagi membincangkan mengenai usaha-usaha ASEAN di dalam menangani ubat-ubat substandard dan dipalsukan (ASEAN Effort in Combating Substandard and Falsified Medicines). Dengan tema ‘Mempercepatkan Kesihatan bagi Semua di Rantau ASEAN’ (Accelerating Health for All in ASEAN), Mesyuarat Kali Ke-14 tersebut bertujuan untuk memberikan landasan penting bagi perbincangan strategik mengenai hala tuju dan bidang-bidang keutamaan kesihatan yang perlu diberi perhatian di rantau ASEAN. Selain itu, Mesyuarat tersebut juga dihasratkan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang kesihatan antara Negara-Negara Ahli ASEAN dan juga kerjasama dengan rakan dialog dan pembangunan (dialogue and development partners) yang relevan.

4. Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam ucapan nya semasa sidang Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-14 yang menumpukan topik perbincangan mengenai Pembiayaan Kesihatan Yang Berdayatahan Kearah Kesihatan Untuk Semua (Sustainable Health Financing Towards Health For All) telah mengetengahkan mengenai kepentingan pembiayaan penjagaan kesihatan yang berdayatahan dengan menggunakan kaedah-kaedah pembiayaan yang praktikal dan innovatif yang bukan saja perlu disesuaikan dengan iklim ekonomi malah mengambil kira nilai-nilai budaya dan sosial di Negara-Negara Ahli ASEAN. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyarankan bahawa di dalam melaksanakan modal-modal di dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan yang kos efektif dan kos efisien, penjagaan kesihatan asasi perlu di beri keutamaan kerana ianya adalah pengawal (gatekeeper) kepada penyakit-penyakit disamping memberi akses kepada penjagaan yang menyeluruh.

5. Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyeru supaya kerjasama ASEAN dalam pembangunan kesihatan diteruskan melalui pertukaran pandangan serta maklumat mengenai kejayaan dan cabaran pembiayaan penjagaan kesihatan yang dialami di Negara masing-masing supaya Negara-Negara yang berkenaan akan dapat mempertimbangkan dan melaksanakan strategi yang bersesesuaian disamping memberi kepentingan kepada apa jua keutamaan kesihatan di Negara masing-masing.

6. Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN juga telah bersepakat untuk meluluskan Kenyataan Bersama (Joint Statement) yang mengetengahkan persetujuan-persetujuan bagi perkara-perkara termasuk seperti berikut:

 Meneruskan perlaksanaan ASEAN Post-2015 Health Development Agenda serta mengambil manafaat daripadanya, dan mengembangkan program-program kerja serta inisiatif projek untuk tahun 2021 – 2025 yang berdasarkan prestasi program-program kerja dari tahun 2016 – 2020;

 Memberi komitmen kepada mempromosikan kesihatan warga emas dengan mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai sektor melalui inisiatif nasional dan juga antarabangsa;

 Mempercepatkan tindakan-tindakan untuk mencegah serta mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit dan melaksanakan aktibiti berkaitan penyakit-penyakit berjangkit;

 Perlaksanaan pelan tindakkan mengenai pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan;

 Memberi komitmen sepenuhnya kepada deklarasi mengenai antimicrobial resistance (AMR) dan juga menangani isu-isu produk-produk perubatan yang substandard dan palsu;

 Berkerjasama didalam memastikan keselamatan makanan; dan

 Mengukuhkan penjagaan kesihatan asasi.

7. Di Mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN juga telahpun menandatangani satu perjanjian iaitu Agreement on the Establishment of ASEAN Center for Active Ageing and Innovation (ACAI) bagi menubuhkan Pusat ASEAN bagi Active Ageing and Innovation yang mana akan ditempatkan dan beroperasi di Thailand.

8. Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-14 telahpun diikuti dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Kali Ke-8 (8th ASEAN Plus Three Health Ministers Meeting) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Rakyat China Kali Ke-7 (7th ASEAN China Health Ministers Meeting) pada 30 Ogos 2019. Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Kali Ke-8 telahpun membincangkan mengenai peningkatan kerjasama kesihatan diantara ASEAN dengan ketiga buah Negara Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun termasuk kerjasama menangani penyakit-penyakit berjangkit, liputan kesihatan sejagat (Universal Health Coverage UHC) dan Kesihatan Ibu-Ibu dan Anak-Anak. Mesyuarat kali ini turut memberi tumpuan kepada topik mengukuhkan kapasiti untuk melaksanakan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulations IHR) melalui Strategi Asia Pasifik untuk Penyakit-Penyakit Berjangkit dan Kecemasan Kesihatan Awam (Asia Pacific Strategy on Emerging Diseases and Public Health Emergencies APSED III). Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dan Plus Three juga bersetuju untuk meluluskan Kenyataan Bersama (Joint Statement) yang antaralain mengetengahkan komitmen-komitmen untuk melaksanakan APSED III, mengukuhkan tindakkan menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit, akses kepada ubat-ubatan yang selamat, efektif, berkualiti dan mudah diperolehi serta komitmen untuk mencapai UHC dan peningkatan kualiti perubatan tradisional dan komplementari (T&CM).

9. Seterusnya, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Rakyat China Kali Ke-7 telahpun membincangkan perkembangan pembangunan kerjasama bidang kesihatan antara rantau ASEAN dengan Republik Rakyat China yang meliputi antaralain mengenai promosi cara hidup sihat; pencegahan penyakit-penyakit berjangkit termasuk tuberculosis, denggi, HIV/AIDS; dan perubatan T&CM. Turut dibincangkan semasa Mesyuarat tersebut adalah mengenai Inovasi untuk Menaiktaraf Kualiti Perkhidmatan (Innovation for Enhancing Quality of Services). Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dan China juga telahpun meluluskan Kenyataan Bersama (Joint Statement) yang antaralainnya menghuraikan persetujuan untuk memasukkan Inovasi untuk Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan di dalam kerjasama kesihatan dan pengukuhannya, perlaksanaan UHC, dan pengukuhan kualiti T&CM.

10. Semasa di Cambodia, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga telah mengadakan perbincangan dua hala bersama Yang Berhormat Professor Mam Bunheng, Menteri Kesihatan, Cambodia khususnya bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan di Negara masing-masing serta meninjau bagi perlaksanaan kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua buah negara.



- T A M A T -

Tarikh: Jumaat, 30 Ogos 2019
Rujukan: KK/PR/2

Attachments