Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN
YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN
SEMPENA HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2019
10 OKTOBER 2019
TEMA:
"Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri"
(Mental Health Promotion and Suicide Prevention)


1. Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober, setiap tahun di seluruh dunia. Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental (World Federation for Mental Health) untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

2. Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini membawa tema "Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri" (Mental Health Promotion and Suicide Prevention). Sebagai sebuah masyarakat yang menginginkan inklusiviti (inclusivity) dan tidak mendiskriminasi, kita perlu lebih terbuka untuk berhadapan dengan isu-isu kesihatan mental serta menanganinya melalui pendekatan yang sesuai dengan budaya kita yang sering bantu-membantu dan saling menghormati sesama kita. Sewajarnya jua, kita perlu memastikan persekitaran yang kondusif dan menggalakkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan, daripada berasa malu, terasing ataupun berputus asa.

3. Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini memberi perhatian kepada pencegahan kejadian bunuh diri. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada satu kematian akibat bunuh diri berlaku setiap 40 saat di seluruh dunia, atau 800,000 orang setiap tahun. Bunuh diri adalah penyebab kematian yang kedua tertinggi bagi mereka yang berusia di antara 15 hingga 29 tahun, yang mana belia muda adalah lebih berisiko disebabkan keganasan, penderaan seksual dan buli, termasuk buli-siber (cyber-bullying).

4. Di Negara Brunei Darussalam, menurut statistik yang diperolehi daripada Polis Diraja Brunei, terdapat peningkatan pada kadar bunuh diri iaitu dari kadar 1.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2015 kepada 2.6 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018. Walaupun statistik ini masih menunjukkan kadar bunuh diri yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, ini bukan bermaksud kita tidak perlu mengambil berat mengenainya. Bahkan kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih efektif bagi menangani masalah ini sebelum ianya menjadi isu yang berat dan sukar dikawal.

5. Bunuh diri atau percubaan untuk membunuh diri adalah disebabkan oleh perkara-perkara kompleks dan tidak semestinya mudah difahami. Di samping kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain, bunuh diri dan tingkah laku (behaviour) bunuh diri kedua-duanya juga dianggap adalah disebabkan oleh gabungan faktor-faktor sosial, psikologikal, biologikal, ekonomi, alam sekitar, tingkah laku dan budaya. Walau bagaimanapun, isu bunuh diri sebenarnya boleh dicegah, terutama jika mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan awal. Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita perlu mengubah persepsi mengenai isu-isu kesihatan mental serta golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental agar kita dapat bekerjasama untuk mencegah dari berlakunya sebarang kejadian bunuh diri.

6. Disamping itu, aliran media utama dan penggunaan media sosial juga berperanan dalam pencegahan kejadian bunuh diri. Ini termasuklah dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan berguna serta dapat mendorong mereka yang berkenaan mendapatkan bantuan kesihatan mental. Aliran media utama di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan perkembangan positif dalam sama-sama membantu menangani isu mengenai kesihatan mental. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengingatkan dan memohon kerjasama orang ramai, khususnya pengguna media sosial di Negara ini untuk sama-sama memainkan peranan dalam mengingatkan antara satu sama lain serta menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab, termasuklah untuk tidak menyiarkan atau menyebarkan perkara-perkara yang tidak sahih, palsu atau sensitif, dan untuk sentiasa menghormati privasi serta maruah orang lain.

7. Alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Kesihatan secara berterusan melaksanakan usaha-usaha mempromosi kesihatan mental yang baik dan juga bagi pencegahan kejadian bunuh diri. Ini termasuk mengadakan pelbagai program kesihatan seperti ‘Mind Your Mind’ dan Brunei Bebas Buli. Dalam tahun ini juga, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Talian Harapan 145 untuk memberi bantuan dan nasihat kepada mereka yang mengalami kesukaran atau krisis emosi, termasuk berfikir untuk membunuh diri. Talian Harapan 145 juga menyediakan maklumat mengenai cara-cara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental di Negara ini sama ada secara ‘walk-in’ atau temujanji di kemudahan-kemudahan yang terdapat di Kementerian Kesihatan. Bagi mereka yang memerlukan bantuan dalam kes kecemasan, mereka bolehlah mendapatkan bantuan di Jabatan Kecemasan di hospital yang berhampiran.

8. Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga mempunyai pelbagai kepakaran profesional yang terdiri daripada ahli psikiatri, jururawat, ahli psikologi, doktor perubatan dan pegawai kebajikan perubatan untuk membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental untuk mereka kembali menjadi lebih sihat dan baik. Perkhidmatan profesional kesihatan ini mudah diakses dalam membantu mereka yang memerlukan khidmat berkaitan kesihatan mental.

9. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 1 dari 4 orang di seluruh dunia mengalami atau boleh dipengaruhi dengan masalah kesihatan mental dalam kehidupan mereka. Oleh itu, pengesanan awal dan seterusnya rawatan peringkat awal adalah sangat penting. Kementerian Kesihatan juga ingin menekankan kepentingan dalam memberikan sokongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan untuk melayan individu berkenaan dengan hormat. Saya juga seterusnya ingin menggalakkan mereka yang mempunyai kawan / rakan, rakan sekerja, kenalan atau orang yang mereka sayangi yang mengalami kesukaran atau tekanan, untuk sentiasa hadir dan meluangkan masa bersama mereka, dan dengar masalah mereka dengan sabar dan tanpa membuat penilaian (judgement). Berikan mereka harapan, bantuan serta galakkan untuk mereka mendapatkan rawatan profesional dan menawarkan untuk menemani mereka ke klinik kesihatan bagi mendapatkan perjanjian perjumpaan doktor. Beri sokongan kepada mereka untuk terus mendapatkan bantuan atau rawatan, Insya-Allah dengan ini akan membawa kepada perubahan positif dan mereka akan kembali pulih dan menjadi lebih baik.


- TAMAT -


Attachments