Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

‚Äč

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHTAN

 

SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA 2020

4 Februari 2020

                                                                                                                  

TEMA:  "SAYA ADALAH dan SAYA AKAN"

             "I AM and I WILL"

 

 

1.    Pada hari ini iaitu 4hb Februari, seluruh dunia akan menyambut Hari Kanser Sedunia. Sempena Hari Kanser Sedunia ini, Negara Brunei Darussalam adalah juga tidak ketinggalan untuk sama-sama bergiat aktif dalam meningkatkan kesedaran dan mengambil beberapa tindakan serta langkah bagi mencegah dan mengurangkan kesan penyakit kanser. Tema Hari Kanser Sedunia pada tahun ini hingga tahun 2021 adalah 'Saya Adalah dan Saya Akan'('I Am and I Will'). Kempen selama tiga tahun ini menyeru orang ramai untuk memberikan komitmen untuk bertindak secara positif dalam sama-sama mengurangkan satu pertiga jumlah kematian pramatang yang berpunca daripada penyakit kanser dan penyakit tidak berjangkit menjelang tahun 2030.

 

2.    Pada tahun 2018, kira-kira 644 orang warga negara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam telah dikesan menghidap penyakit kanser dan jumlah kematian akibat kanser pada tahun yang sama adalah sebanyak 304 kematian. Dalam erti kata lain, pada tahun 2018, penyakit kanser telah menyebabkan kira-kira 1 dalam 4 (sebanyak 28%) kematian di kalangan warga negara dan penduduk tetap di Negara ini. Jumlah penghidap penyakit kanser juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 17% dalam tempoh 5 tahun dari tahun 2014-2018 berbanding dengan tahun 2009-2013. Menurut statistik yang diperolehi dari Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam pada tahun yang sama, risiko bagi seorang lelaki untuk menghidap kanser disepanjang hayatnya ialah 27% atau 1 dalam 4, manakala risiko bagi perempuan pula ialah 29% atau 1 dalam 3. Antara jenis-jenis penyakit kanser yang tertinggi di kalangan lelaki adalah kolorektal (53 kes); paru-paru (25 kes); dan hati dan prostat (kedua-duanya 18 kes). Di kalangan perempuan pula, kanser payudara (100 kes) diikuti oleh kanser kolorektal (49 kes) dan kanser korpus uteri atau rahim (32 kes).

 

3.    Apa yang yang perlu kita ketahui ialah sekurang-kurangnya satu pertiga penyakit kanser boleh dicegah dengan mengatasi atau mengawal enam faktor-faktor risiko utama penyebab kanser. Faktor-faktor risiko itu adalah; (1) perilaku dan permakanan yang tidak seimbang; (2) indeks jisim badan atau Body Mass Index (BMI) yang tinggi; (3) pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang rendah atau tidak mencukupi; (4) gaya hidup yang tidak aktif; (5) penggunaan tembakau; dan (6) pengambilan alkohol. Justeru itu, memandangkan kesemua faktor risiko kanser tersebut boleh dicegah, adalah perlu bagi kita sama-sama menghindarinya dan mengikut beberapa langkah gaya hidup sihat seperti:-

 

  • Berhenti merokok dan mengelakkan dari pendedahan pada asap rokok pasif;
  • Mengekalkan berat badan yang sihat dari kanak-kanak dan sepanjang hayat;
  • Memastikan pengambilan 2-3 sajian buah-buahan dan 2-3 sajian sayur-sayuran setiap hari;
  • Mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai lemak yang tinggi atau berlebihan; dan
  • Melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali atau lebih dalam seminggu.

     

4.    Selain dari penjagaan kesihatan diri, saya juga menyarankan agar kita semua mengambil langkah-langkah secara proaktif untuk mencegah kesan penyakit kanser dengan mengesan tanda-tanda awal penyakit tersebut melalui pemeriksaan saringan kanser agar ianya dapat dirawat di peringkat awal lagi. Pada awal tahun 2019, Kementerian Kesihatan telah pun memperkenalkan dan melancarkan Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme) sebagai usaha untuk meningkatkan keberkesanan strategi pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, khususnya bagi faktor risiko kardiovaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi, diabetis dan kolesterol tinggi. Tujuan program tersebut adalah untuk mengesan awal dan mengawal faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular serta mencegah dari terjadinya komplikasi penyakit-penyakit berkenaan melalui rawatan awal.

 

5.    Selain daripada itu, dalam meningkatkan lagi usaha pihak Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah penyakit kronik seperti kanser, Kementerian Kesihatan juga telah memperkenalkan Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Program Pemeriksaan Kanser Payudara, disamping Pemeriksaan Kanser Serviks yang sedia ada, sebagai program susulan di bawah Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan pada November 2019. Antara tujuan utama Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Program Pemeriksaan Kanser Payudara ini adalah untuk:

  • Pengesanan awal kanser kolorektal dan kanser payudara;
  • Pencegahan atau pengesanan awal komplikasi kanser kolorektal dan kanser payudara; dan
  • Pengurangan kadar kematian pra-matang iaitu kematian di antara umur 30 hingga 70 tahun yang disebabkan oleh kanser kolorektal dan kanser payudara.

     

6.    Baru-baru ini jua, Kementerian Kesihatan telah bekerjasama dengan pihak Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) khususnya Early Detection & Cancer Prevention Services (EDCP) dalam pencegahan penyakit kanser bagi mendukung matlamat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusalam dalam mencapai Wawasan 2035, dengan meningkatkan kualiti kehidupan termasuk status kesihatan masyarakat.

 

7.    Insya Allah pada tahun ini, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan sekali lagi akan berkerjasama dengan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC); Persatuan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM); Brunei Breast Cancer Support Group (BCSG); Yayasan Kanser Kanak Kanak (Yaska) Negara Brunei Darussalam serta pihak badan bukan kerajaan (NGOs) lain untuk mengadakan sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 di peringkat negara dengan mengadakan Aktiviti Riadah Berjalan, Berlari dan Berbasikal pada Hari Ahad, 15 Jamadilakhir 1441 bersamaan dengan 9 Februari 2020 di program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

 

8.    Oleh yang demikian dan dalam kesempatan ini, saya mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai aktiviti ini dan marilah kita sama-sama bertekad untuk memberi komitmen yang tinggi dalam sama-sama bertindak bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser serta langkah-langkah pencegahan dalam mengurangkan kesan dan risiko menghidap penyakit kanser di Negara Brunei Darussalam. "Saya Adalah dan Saya Akan". Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ppkk.gov.bn atau pun laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn, atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 


Attachments