Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN MINGGU PENYUSUAN SUSU IBU SEDUNIA

 

01  – 07  OGOS 2020

 

TEMA:

'Menyokong Penyusuan  Susu Ibu untuk Planet yang Lebih Sihat'

(Support Breastfeeding for a Healthier Planet)

 

 

1.     Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam meraikan Minggu  Penyusuan Susu Ibu Sedunia dari 01 hingga 07 Ogos 2020. Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan setiap tahun di seluruh dunia untuk menggalakkan, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu kerana ia adalah salah satu pelaburan (investment) yang bijak dan cost effective yang harus diambil oleh setiap negara, masyarakat dan keluarga. Bukan sahaja amalan ini terbaik untuk para ibu dan anak damit, malahan ianya mendatangkan pelbagai faedah kepada ekonomi dan produktiviti negara.

 

2.     Tema sambutan pada tahun ini, 'Menyokong Penyusuan Susu Ibu untuk Planet yang Lebih Sihat' ('Support Breastfeeding for a Healthier Planet) adalah untuk menarik perhatian mengenai hubungan antara penyusuan susu ibu dan impaknya terhadap perubahan persekitaran serta perubahan iklim. Ianya juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada penyusuan ibu sebagai satu pilihan yang pintar iklim (climate-smart decision), serta menghasilkan tindakan-tindakan bagi meningkatkan kesihatan planet (health of the planet) dan manusia melalui penyusuan susu ibu.

 

 

3.     Perubahan iklim dan kemerosotan persekitaran adalah beberapa cabaran yang dihadapi dunia pada masa ini. Setiap individu mempunyai peranan untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan jejak karbon (carbon footprints) dan jejak ekologi (ecological footprints) mereka. Ini termasuklah cara kita memberi pemakanan kepada anak-anak damit. Amalan penyusuan susu ibu boleh mengurangkan impak serta kesan terhadap persekitaran kerana ianya tidak memerlukan proses pembungkusan, pengedaran dan penyediaan yang lazimnya berlaku dalam produksi pemakanan pengganti susu (breastmilk substitutes) untuk anak damit. Selain itu, pemberian penyusuan ibu hanya memerlukan ibu untuk mengambil makanan tambahan sahaja dengan menggunakan sumber semula jadi yang sedikit serta tidak mengakibatkan banyak pembaziran. Manakala proses penyusuan susu ibu khususnya secara langsung (direct breastfeeding) dan ekspresi susu ibu dengan tangan (hand-expressed breastmilk) juga adalah lebih efisyen dari segi pengurangan sisa, penjimatan tenaga dan sumber-sumber lain.

 

4.     Disamping itu, dengan meningkatkan amalan penyusuan susu ibu secara optimal juga dapat mencegah lebih dari 823,000 kematian kanak-kanak dan 20,000 kematian ibu di seluruh dunia setiap tahun. Oleh itu, semua ibu bapa harus disokong untuk membuat pilihan pemakanan yang sihat untuk anak damit mereka, termasuk penyusuan susu ibu. Marilah kita berusaha untuk mewujudkan dan memperkuatkan lagi persekitaran yang sesuai untuk penyusuan susu ibu.

 

5.     Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam dalam kita mendokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu, Penguatkuasaan Peraturan Cuti Beranak 2011 telah dilaksanakan semenjak 01hb Januari 2011 yang mana tempoh cuti beranak telah dipanjangkan dari 56 hari kepada 105 hari bagi warga ibu yang bekerja di dalam Perkhidmatan Awam dan turut dilaratkan kepada ibu-ibu yang bekerja di sektor swasta. Keprihatinan dan pemedulian pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke atas kesejahteraan rakyat dan penduduk khasnya kepada para ibu jelas terbukti dengan membantu para majikan dalam sektor swasta membayar gaji penuh para ibu bagi tempoh lima minggu cuti beranak. Perlindungan kebajikan keatas ibu seperti dasar Peraturan Cuti Beranak 2011 ini membolehkan dan memudahkan amalan penyusuan susu ibu.

 

 

6.     Sementara itu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan juga telah memberikan latihan yang berterusan keapda  Pekerja Kesihatan Professional mengenai dengan penyusuan susu ibu bagi membolehkan mereka memberikan sokongan bagi ibu-ibu di Negara Brunei Darussalam. Dengan inisiatif ini, ibu-ibu terutamanya mereka yang baru melahirkan boleh mendapat akses kepada kaunseling penyusuan susu ibu dengan segera. Disamping itu, Negara Brunei Darussalam juga telah membuat pelaksanaan dan pemantauan Kod Pemasaran Antarabangsa Pengganti Susu Ibu (International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes) pada tahun 2019.

 

7.     Alhamdullilah dengan adanya langkah-langkah yang dilaksanakan dalam  menggalakkan, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu di Negara Brunei Darussalam, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif (iaitu (6) enam bulan pertama) telah meningkat dari setahun ke setahun dari tahun 2012 dimana kadar peratus penyusuan susu ibu secara eksklusif pada tahun itu adalah hanya sebanyak 35%.  Manakala, penyusuan eksklusif untuk tempoh (6) enam bulan pertama dari bulan April hingga September 2019 adalah sebanyak 47%. Ini menunjukkan peningkatan yang sangat menggalakkan dan juga adalah melebihi daripada kenaikan yang dianggarkan iaitu 45% bagi tahun 2019-2020.

 

8.     Akhirnya, dalam merealisasikan tema objektif Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini, Kementerian Kesihatan sangat mengharapkan sokongan padu berterusan dan penglibatan proaktif daripada pelbagai pihak yang berkepentingan untuk sama-sama bertanggungjawab dan komited ke arah meningkatkan dan mengukuhkan lagi tahap kesihatan negara, terutama sekali bagi memberikan sokongan kepada ibu dan keluarganya dari segi penyusuan susu ibu.

 

 

-TAMAT-


Attachments