Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN MINGGU KESEDARAN ANTIBIOTIK SEDUNIA 2020

 

18 – 24 NOVEMBER 2020

 

TEMA:

'BERSAMA DALAM MEMELIHARA ANTIMIKROB'

(United to Preserve Antimicrobials)

 

1.             Pada abad ke-20 yang lalu, satu penemuan penting terjadi apabila antibiotik pertama yang dinamakan penicillin telah ditemui. Sebelum adanya antibiotik, kematian akibat jangkitan yang tidak dapat dirawat seringkali terjadi dan telah menjadi suatu perkara lumrah. Penemuan antibiotik penicillin telah merubah lanskap rawatan perubatan setelah itu dan kemudiannya diikuti dengan penemuan ubat-ubat antimikrob lain yang aktif melawan berbagai kuman, termasuk kulat, parasit dan bakteria lain.


2.             Kumpulan ubat yang secara kolektif disebut sebagai antimikrob, telah menunjukkan keberkesanan terhadap jangkitan, namun mikrob atau kuman telah mampu menunjukkan rintangan terhadap ubat anti mikrob sebagai tindak balas semulajadi ataupun antimicrobial resistance (AMR). Bagi beberapa kelas antimikrob, fenomena rintangan antimikrob ini telah meningkat dengan cepat sebaik sahaja ianya digunakan di kalangan manusia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh para penyelidik sejagat untuk menangani fenomena ini dengan menggunakan kaedah yang lebih berkesan dengan penemuan antimikrob jenis broad spectrum. Walau bagaimanapun, kadar penemuan ubat antimikrob yang baru tidak dapat menandingi kadar penularan rintangan antimikrob dan hanya mampu menangani masalah rintangan AMR secara terhad.


3.             Kesan daripada penularan rintangan antimikrob (AMR) ini bermakna bakteria, kulat dan parasit tidak lagi mampu dirawat secara berkesan sepenuhnya oleh ubat antimikrob yang sedia ada pada masa ini. Oleh demikian, risiko terhadap penyebaran jangkitan yang menyebabkan penyakit serius dan boleh mengakibatkan kematian semakin meningkat.
 

4.             Sementara itu, berbagai faktor telah menyumbang kepada peningkatan AMR yang tidak terkawal ketika ini. Faktor utama yang harus diambil perhatian adalah penggunaan antimikrob yang tidak betul atau kurang berhemah dan berlebihan di sektor-sektor kesihatan manusia, permakanan dan pertanian. Dalam sektor kesihatan manusia pula, penyalahgunaan antibiotik mungkin semakin berleluasa khususnya semasa pandemik COVID-19. Masalah penularan jangkitan AMR adalah lebih membimbangkan di negara-negara yang belum membangun dengan kurangnya akses kepada air bersih dan sanitasi.
 

5.             Di Negara Brunei Darussalam, kita juga tidak terkecuali daripada ancaman AMR. Kita telah mengalami kesan buruk AMR termasuk jangkitan yang tidak dapat diubati, peningkatan morbiditi dan kematian, peningkatan kos dari aspek peningkatan tempoh pesakit berada di hospital dan lanjutan rawatan (termasuk rawatan dengan antimikrob). Bahaya AMR ini memerlukan usaha yang bersepadu dan komitmen dari semua pihak yang terlibat dalam penggunaan antimikrob, yang bukan hanya terdiri daripada pekerja kesihatan dan pihak yang berkepentingan lain, malahan juga keseluruhan lapisan masyarakat.


6.             Di tahap sejagat, Rancangan Tindakan Sedunia (Global Action Plan) untuk mengangani masalah AMR ini telah disokong di World Health Assembly ke-68 pada tahun 2015.  Antara objektif utama rancangan tersebut adalah untuk memupuk kesedaran dan pemahaman AMR melalui komunikasi yang berkesan, pendidikan dan dan latihan. Oleh itu, Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia atau World Antimicrobial Awareness Week (WAAW) diraikan pada setiap bulan November bagi meningkatkan kesedaran mengenai rintangan antimikrob sejagat (AMR) dan untuk mendorong amalan-amalan terbaik dalam mengatasi penyebaran dan kemunculan jangkitan yang mampu melawan antimikrob.


7.             Pada bulan Mei 2020, pihak WHO, FAO dan OIE, dikenali sebagai "the Tripartite" dan pihak-pihak yang berkepentingan yang lain, telah mengadakan bengkel secara maya (virtual) untuk membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi impak WAAW. Antara dapatan dari bengkel tersebut adalah perubahan istilah "antibiotik" kepada "antimikrob" yang mempunyai maksud yang lebih luas dan lebih inklusif; mengetengahkan kepentingan penglibatan serta kerjasama yang berterusan dari semua pihak-pihak yang berpentingan; dan menggunakan kaedah komunikasi yang lebih berkesan. Perubahan dari mesyuarat tersebut telah dicerminkan dalam tema WAAW tahun ini, "Bersama Dalam Memelihara Antimikrob", yang menggambarkan misi WAAW secara ringkas dan menyeluruh. Ini menggambarkan komitmen bersama, bukan sahaja untuk memerangi AMR semata-mata, akan tetapi ke arah peningkatan keselamatan pesakit dan kualiti penjagaan kesihatan. Perubahan kepada istilah yang lebih meluas ini diharapkan akan menggalakkan penglibatan semua sektor yang menggunakan antimikrob dan seterusnya memupuk kebersatuan dalam pendekatan kepada isu-isu kesihatan secara amnya, ataupun "One Health Approach".
 

8.             Oleh yang demikian, dalam meningkatkan kesedaran untuk menangani rintangan AMR, peranan orang ramai adalah sangat penting. Diantara perkara-perkara yang dapat dilakukan adalah seperti berikut:

  1. Hanya mengambil ubat antimikrob di bawah pengawasan doktor;
  2. Mengambil ubat antimikrob seperti yang diarahkan pada label ubat (termasuk dos dan tempoh pengambilan ubat);
  3. Menghabiskan ubat antimikrob mengikut tempoh yang ditetapkan pada label ubat, walaupun sudah merasa pulih;
  4. Tidak berkongsi ubat antimikrob dengan orang lain; dan
  5. Mengurangkan risiko jangkitan secara menyeluruh dengan:

    1. Mengamalkan kebersihan tangan;
    2. Menjauhkan diri dari orang lain apabila tidak berasa sihat;
    3. Penyediaan dan penggunaan makanan yang bersih;
    4. Penggunaan air bersih; dan
    5. Melakukan vaksinasi secara berkala untuk mengelakkan jangkitan yang tertentu.
       

9.             Sementara itu, mereka yang bekerja di sektor kesihatan juga mempunyai peranan signifikan kerana usaha dalam melawan rintangan antimikrob ini boleh ditingkatkan lagi dengan pemberigaan pengetahuan kesihatan (health literacy) sesama profesional kesihatan dan juga orang awam mengenai perbezaan jenis-jenis jangkitan dan bila ubat antimikrob boleh digunakan. Selain itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan juga perlu diamalkan ketika merawat pesakit terutamanya pesakit yang telah dijangkiti kuman yang mempunyai rintangan kepada antimikrob (drug-resistant microorganisms). Pengawalan penggunaan antimikrob (antimicrobial stewardship) yang baik juga perlu diamalkan bagi mencegah penggunaan antimikrob tidak berhemah. Ini termasuk amalan preskripsi antibiotik yang baik seperti meneliti semula penggunaan antimikrob dan merujuk kepada garispanduan yang telah ditetapkan.

10.       Dengan bahaya penularan fenomena rintangan antimikrob AMR dan kemunculan penyakit-penyakit berjangkit lain, usaha yang konsisten, tabah dan bersatu daripada semua amatlah diperlukan untuk mengatasi masalah yang boleh mengancam keselamatan kesihatan negara kita tersebut. InshaaAllah sebagaimana kejayaan yang telah dicapai dalam pengawalan jangkitan COVID-19 di Negara ini iaitu dengan berkat penglibatan, kerjasama, sikap pemedulian dan sokongan dari orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan negara kita akan mampu Bersama Dalam Memelihara Antimikrob dengan memastikan penggunaan antimikrob secara berhemah dan betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan secara amnya dalam usaha untuk mengatasi rintangan antimikrob atau AMR sejagat.

- TAMAT-
 

Attachments