Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA

DR HAJI MD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2021

TEMA:

"DARAH SELAMAT MENYELAMATKAN NYAWA"

("SAFE BLOOD SAVES LIVES")


SLOGAN:

"DERMA DARAH DAN PASTIKAN DUNIA TERUS BERDENYUT"

("GIVE BLOOD AND KEEP THE WORLD BEATING")

 14 JUN 2021

1.           Pemindahan darah dan produk darah boleh menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia setiap tahun, ini termasuk pesakit-pesakit yang memerlukannya. Antara pesakit-pesakit yang seringkali memerlukan pemindahan darah dengan segera adalah seperti pesakit kecemasan, pesakit yang mengalami pendarahan semasa menjalani pembedahan, ibu-ibu yang mengalami pendarahan teruk semasa kehamilan atau semasa melahirkan anak. Manakala pesakit seperti kanak-kanak yang mengalami anemia (kurang darah) disebabkan penyakit darah dan tulang sumsum (blood and bone marrow disorders) seperti Thalassaemia dan Leukaemia memerlukan pemindahan darah secara berterusan. Di Negara Brunei Darussalam, pesakit-pesakit sedemikian memerlukan pemindahan darah dan produk darah sama ada dengan segera atau secara berjadual.

2.           Hari Penderma Darah Sedunia (World Blood Donor Day) diraikan pada 14 Jun setiap tahun di seluruh dunia. Hari Penderma Darah Sedunia ini dikhususkan bagi menzahirkan penghargaan kepada kesemua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya. Di samping itu, sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan dan kepentingan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan.

3.           Tema sambutan tahun ini, "Darah Selamat Menyelamatkan Nyawa" dan slogan "Derma Darah dan Pastikan Dunia Terus Berdenyut" mengetengahkan kepentingan sumbangan derma darah kerana ianya dapat menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kesihatan orang lain. Ini memperkuatkan lagi seruan global agar lebih ramai orang di seluruh dunia menderma darah secara berterusan dan menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik. Fokus khusus sambutan tahun ini adalah peranan golongan belia dalam memastikan bekalan darah yang selamat. Golongan belia diperlukan bagi menerajui aktiviti dan inisiatif untuk mencapai bekalan darah yang selamat melalui pendermaan darah secara sukarela. Belia membentuk sektor populasi yang besar di dalam masyarakat dan mereka penuh dengan idealisme, semangat dan kreativiti.

4.           Objektif khusus kempen Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah:

 

    • Bagi merakamkan penghargaan kepada penderma darah di seluruh dunia;
    • Mewujudkan kesedaran masyarakat yang meluas mengenai perlunya pemberian darah yang tetap tanpa pembayaran;
    • Mempromosikan nilai-nilai masyarakat menderma darah dalam meningkatkan perpaduan masyarakat dan perpaduan sosial;
    • Mendorong para belia untuk menyahut panggilan kemanusiaan untuk menderma darah;
    • Memberikan inspirasi kepada orang lain untuk menderma darah; serta
    • Meraikan potensi belia sebagai rakan dalam mempromosikan kesihatan.

5.           Alhamdulillah, aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah masih menjadi amalan yang berterusan yang jelas dapat kita saksikan di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah. Pada tahun 2020, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 16,156 kutipan darah yang disumbangkan oleh 10,500 penderma darah, termasuk 3,215 penderma darah baru yang berdaftar. Pada tahun 2019 pula, sejumlah 16,025 kutipan darah telah dicatit termasuk 2,120 penderma darah baru berdaftar. Peningkatan sebanyak 0.8% (131 unit darah) dalam kutipan darah telah dapat dilihat pada tahun 2020 berbanding kutipan darah pada tahun 2019; dan matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan 1-3% dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan. Alhamdulillah  Negara Brunei Darussalam pada tahun 2020 telah mencapai sebanyak 3.66 peratus dan perangkaan ini adalah konsisten dengan pencapaian dari tahun 2014.

6.           Dalam memastikan pencapaian ini sentiasa berterusan, Pusat Pendermaan Darah sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah. Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Tabung-Tabung Darah di semua Hospital Daerah juga akan terus berusaha untuk menyediakan akses kepada darah dan produk darah yang selamat untuk pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ini adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di Negara ini. Walaupun dunia pada masa ini berhadapan dengan pandemik COVID-19, Pusat Pendermaan Darah masih memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah dengan mengamalkan saranan-saranan SOP yang dikeluarkan. Dengan yang demikian, Kementerian Kesihatan menyeru agar penderma-penderma darah dan orang ramai yang berpotensi untuk mendermakan darah untuk datang ke Pusat Pendermaan Darah bagi menjalankan kerja berkebajikan ini. Manakala, agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah juga diseru untuk sama-sama mengelolakan kempen-kempen pendermaan darah demi membantu meningkatkan stok bekalan darah di negara ini.

7.           Bagi memastikan darah yang di beri kepada pesakit adalah selamat, Pusat Pendermaan Darah sentiasa giat merancang dan seterusnya mengungkayahkan beberapa langkah-langkah sistematik untuk mengurangkan risiko terjadinya jangkitan kuman melalui pemindahan darah (Transfusion Transmissible Infections – TTIs). Antara langkah-langkah yang diambil untuk membina asas yang kukuh dalam memastikan bekalan darah yang selamat dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan pemindahan darah adalah seperti berikut:

    • Perancangan untuk melaksanakan Ujian Asid Nukleik (Nucleic Acid Test) bagi mengesan jenis asid nukleik khusus bagi virus HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C;
    • Mengurangkan reaksi terhadap pemindahan darah dengan penggunaan beg darah yang mampu menapis sel-sel darah putih (juga dikenali sebagai Leucocyte Depleted Packed Cells);
    • Memperkukuhkan lagi pendermaan darah yang selamat dengan berpandukan Buku Panduan Derma Darah yang diiktiraf dan terkini;
    • Menjalankan ujian-ujian kawalan kualiti bagi memastikan kualiti darah dan produk-produk darah adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan seperti yang digariskan oleh badan-badan piawaian antarabangsa. 

8.           Selain daripada fokus kepada belia, saranan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai dengan pesakit yang mengalami penyakit tidak berjangkit ialah mereka boleh menderma darah tertakluk kepada kondisi pesakit berkenaan. Antara penyakit-penyakit tidak berjangkit yang dibenarkan untuk menderma darah adalah seperti:

    • Pesakit diabetik yang mempunyai paras gula yang stabil dan normal serta tidak mengambil sebarang ubat insulin;
    • Pesakit darah tinggi yang mempunyai tekanan darah yang normal dan mengambil satu jenis ubat sahaja;
    • Pesakit gout;
    • Pesakit buah pinggang yang telah sembuh sepenuhnya;
    • Pesakit yang mempunyai masalah thyroid sekiranya gangguan thyroid adalah tidak memudaratkan; dan
    • Pesakit kekurangan zat besi, B12 dan folate yang bukan disebabkan oleh pendermaan darah dan telah sembuh sepenuhnya serta mempunyai tahap hemoglobin tidak kurang dari 12.5g/dL. 

      Namun yang demikian, kebenaran untuk menderma darah adalah juga tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atau pegawai pemeriksa yang bertugas. 

9.    Keselamatan darah yang didermakan boleh terjejas akibat pendedahan penderma kepada penyakit berjangkit HIV, Hepatitis B, Hepatitis C, Siflis dan penyakit-penyakit berjangkit lain yang boleh menjangkiti orang lain melalui beberapa cara, terutamanya melalui pergaulan dan  perlakuan seksual secara bebas, dan pendedahan melalui tingkah laku berisiko tinggi seperti pemindahan darah dan suntikan jarum secara tidak selamat serta rawatan kosmetik, akupunktur dan berbekam menggunakan jarum yang tidak steril dan bukan jenis pakaibuang.

10.                   Oleh itu, pihak Kementerian menyarankan agar penderma darah dan orang ramai yang ingin menderma darah agar lebih berwaspada dalam menjaga kesihatan diri sendiri sama ada dari segi penyakit-penyakit tidak berjangkit mahupun yang berjangkit. Pihak Kementerian juga turut mengingatkan orang ramai untuk mengisi borang pemeriksaan kesihatan penderma darah dan menjawap soalan-soalan di dalamnya dengan sejujur yang boleh kerana memberikan maklumat yang diketahui palsu atau mengelirukan adalah satu kesalahan di bawah Bab 11, Akta Penyakit-Penyakit Berjangkit (Penggal 204). Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi $20,000, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya.

11.       Dalam kesempatan ini, saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin meraikan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya. Ini termasuk generasi wira muda yang berani tampil serta mula menderma darah seawal usia 17 tahun. Tidak lupa juga diucapkan berbanyak terima kasih kepada agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu perseorangan yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen derma darah selama ini. Bagi setiap unit darah yang didermakan ianya Insya-Allah akan dapat menyelamatkan tiga (3) nyawa pesakit. Semoga Allah Subhanahu Wa ta'ala membalas budi baik semua serta melimpahkan rahmatnya kepada mereka yang membantu sesama insan. Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menyeru dan menggalakkan mereka yang belum pernah menderma darah untuk mula tampil demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

12.       Justeru itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan. Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi akan dapat terus dinikmati oleh pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah yang selamat dan tepat pada masanya.  Orang ramai bolehlah mengikuti Facebook: bloodbankripas.brunei atau Instagram/Twitter @bloodbank_ripas untuk mengetahui maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti Pusat Pendermaan Darah. Bagi mendapatkan slot perjanjian menderma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.linktr.ee/bdcripas atau menghubungi Pusat ini di talian 2242424 sambungan 5745 / 6001 atau 7375745 (Hotline).

-TAMAT-


Attachments