Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

TEKS UCAPAN

 

YANG BERHORMAT

DATO PADUKA DR. HJ MD ISHAM BIN HJ JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

BRUNEI DARUSSALAM

 

SAMBUTAN HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2018

 

ANJURAN:

JABATAN OTORINOLARINGOLOGI

KEMENTERIAN KESIHATAN

 

AHAD, 4 MAC 2018

BANDARKU CERIA, BANDAR SERI BEGAWAN


 

السلام عليكم ورحمة الله وبركا ته

dan Selamat Pagi


1.      Alhamdulillah, segala puji kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah memberikan kesempatan untuk kita berkumpul pada hari ini untuk meraikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2018. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallalahu 'alaihi Wassalam, keluarga, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia hingga ke akhir zaman.

 2.      Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang tulus ikhlas kepada Jabatan Otorinolaringologi, Kementerian Kesihatan bagi menjemput saya selaku Tetamu Kehormat Majlis hari ini, dan juga diucapkan terima kasih ke atas semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan acara pada pagi ini.


 Hadiran dan hadirat yang dihormati sekalian;

 3.      Hilang pendengaran atau Hearing Loss, dalam definisi yang paling mudah bermaksud ketidakupayaan telinga untuk mendengar secara keseluruhan ataupun sebahagian daripadanya. Kesan hilangnya pendengaran pada kanak-kanak boleh menjejaskan perkembangan kemahiran percakapan dan bahasa, dan pada orang dewasa pula boleh menyebabkan kesukaran berkomunikasi. Ini boleh mengakibatkan pengasingan sosial (social isolation) yang boleh menghalang daripada memenuhi potensi sosio-ekonomi mereka.

4.      Secara global, hilang pendengaran merupakan masalah deria yang paling tinggi jumlahnya. Pada masa ini, sebanyak 360 juta orang di seluruh dunia yang mengalami masalah hilang pendengaran, dan 32 juta daripadanya – adalah daripada golongan kanak-kanak. Manakala di Negara Brunei Darussalam, pada tahun lepas, sebanyak 290 kes-kes baru bagi masalah hilang pendengaran telah dikesan di Negara kita.  Daripada jumlah ini, 4 kes adalah di kalangan anak-anak damit, 32 kes di kalangan kanak-kanak berumur di antara 1-14 tahun, 121 kes di kalangan yang berumur 15 – 64 tahun dan 133 kes di kalangan warga emas berusia 65 tahun ke atas.

 5.      Cabaran bagi individu-individu yang mengalami masalah hilang pendengaran serta keluarga terlibat adalah kerana kurangnya kesedaran mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendengaran. Isu-isu ini termasuk; pencegahan penyebab-penyebab kurang atau hilang pendengaran, akses kepada rawatan, akses kepada pemulihan, akses kepada pendidikan dan isu-isu yang berkaitan dengan pengintegrasian mereka yang terjejas pendengarannya ke dalam masyarakat.


 6.      Oleh yang demikian, untuk mengutarakan isu-isu tersebut di Negara kitani, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang berkenaan, telah mengambil inisiatif untuk meraikan sambutan Hari Pendengaran Sedunia, yang diadakan pada 3 haribulan Mac setiap tahun dalam usahasama untuk menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan kesedaran tentang cara pencegahan hilang pendengaran, dan juga mempromosikan penjagaan telinga dan pendengaran.

7.      Dengan tema "Hear the future, Prepare for it", sambutan Hari Pendengaran Sedunia pada tahun ini memberi tumpuan kepada jangkaan peningkatan jumlah orang yang mengalami masalah hilang pendengaran di seluruh dunia pada dekad yang akan datang. Disamping itu, tumpuan juga akan diberikan kepada strategi pencegahan untuk membendung peningkatan tersebut serta menggariskan langkah-langkah bagi memastikan adanya akses kepada perkhidmatan pemulihan yang diperlukan, alat komunikasi dan produk untuk orang yang mengalami masalah hilang pendengaran.

 8.      Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam mempunyai rangka kerja yang sedia ada untuk menangani masalah kesihatan, pendidikan dan sosial yang berkaitan dengan pendengaran. Rangka ini merangkumi perkara-perkara seperti berikut:


 8.1. Pertama - Pencegahan dan pengesanan:

8.1.1. Kementerian Kesihatan memainkan peranan utama dalam pencegahan awal masalah pekak atau tuli, dan hilang pendengaran dengan membuat pengesanan awal semasa  penjagaan kesihatan di permulaan hidup seseorang melalui program imunisasi kebangsaan bagi kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun. Rangka penjagaan kesihatan Kementerian ini menyediakan penjagaan antenatal (atau semasa kehamilan) yang mudah diakses dan berkesan untuk semua wanita hamil untuk memastikan komplikasi pada saat lahir akibat kehilangan pendengaran dapat dicegah.

 8.1.2. Disamping itu ialah keperluan untuk pengesanan awal ketulian kongenital (iaitu masalah tuli bawaan semasa kelahiran), dan masalah kehilangan pendengaran dalam anak damit yang baru lahir, melalui pengesanan dari Program Pemeriksaan Pendengaran. Alhamdulillah, program ini telah diperkukuhkan lagi pada tahun 2015 dengan gelaran Universal Newborn Hearing Screening Program (UNHSP), yang mana melibatkan pemeriksaan sejagat bagi semua anak damit yang baru lahir di Negara ini dan bukan hanya mereka yang berisiko pada kehilangan pendengaran. Program Universal Newborn Hearing Screening Program ini telah membolehkan anak damit yang dikenal pasti mengalami masalah kehilangan pendengaran untuk menjalani rawatan atau program pemulihan awal, serta mendapatkan peruntukan bantuan peralatan pendengaran yang tepat pada masanya. Alhamdulillah sejak tahun 2016, program ini telah berjaya mengenal pasti 19 anak damit yang baru lahir yang mengalami masalah kehilangan pendengaran yang signifikan.

 8.1.3. Dalam menangani masalah kehilangan pendengaran di kalangan kanak-kanak sekolah rendah, Program Pemeriksaan Telinga dan Pendengaran telah dilaksanakan melalui Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Kementerian Kesihatan. Sepanjang pendidikan sekolah rendah mereka, setiap kanak-kanak akan menjalani pemeriksaan telinga otoskopik pada usia 6 tahun dan pemeriksaan pendengaran pada usia 9 tahun. Program ini mempunyai hala tuju yang jelas untuk kanak-kanak yang telah dikenal pasti mempunyai masalah telinga dan pendengaran bagi mendapat akses kepada rawatan pakar dan pengurusan audiologi.

 
8.2. Dalam rangka kerja yang sama juga menitikberatkan pada  penyediaan pengurusan dan pemulihan hilang pendengaran:

8.2.1. Setiap kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang dikesan mengalami masalah hilang pendengaran di Negara ini akan dirujuk kepada Perkhidmatan Pembangunan Pediatrik (Developmental Paediatric Service), Kementerian Kesihatan, yang memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pemulihan seperti program terapi lisan auditori atau bahasa isyarat, dan memantau perkembangan kanak-kanak sehingga kanak-kanak mencapai usia pendidikan formal, yang mana pengurusan seterusnya akan diselaraskan bersama dengan Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

 8.2.2. Alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga mempunyai dasar yang memperuntukkan (tertakluk kepada syarat-syarat) akses percuma pada alat bantu pendengaran dan perkhidmatan sokongan untuk diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah kehilangan pendengaran. Ini meliputi program-program pembedahan pemulihan pendengaran seperti bone achored hearing aids [BAHA] dan implan koklea.

 8.3. Akhir sekali, rangka kerja ini juga mengutarakan mengenai promosi penjagaan telinga dan pendengaran:

8.3.1. Meningkatkan kesedaran terhadap isu yang berkaitan dengan masalah pendengaran adalah penting dalam mengubah persepsi, sikap dan tingkah laku. Ini adalah kunci dalam pencegahan kehilangan pendengaran. Oleh itu, acara sambutan Hari Pendengaran Sedunia ini adalah satu landasan yang signifikan untuk golongan profesional yang terlibat dalam pengurusan dan perkhidmatan penjagaan telinga dan pendengaran untuk membantu individu yang mengalami masalah pendengaran, disamping membuat pemberigaan mengenai isu-isu pendengaran secara lebih luas di peringkat masyarakat.


Hadiran dan hadirat yang dihormati sekalian;
 

9.      Alhamdulillah, saya sangat gembira melihat penyertaan dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam acara pada pagi ini. Penjagaan telinga dan pendengaran memerlukan pendekatan holistik dan inklusif untuk memastikan kitani bersama-sama menyediakan penjagaan sepadu untuk memenuhi semua tahap keperluan individu yang mengalami masalah kehilangan pendengaran.

10.   Berdasarkan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta hari ini, saya amat yakin bahawa kitani semua dapat sama-sama mengukuhkan hubungan kerjasama yang erat di kalangan semua agensi, dan memupuk persefahaman mengenai peranan masing-masing untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada semua individu yang mengalami masalah pendengaran di Negara ini. Dengan adanya kerjasama ini, In Shaa Allah keperluan seperti tenaga manusia, sumber-sumber dan kepakaran dapat diperkukuhkan lagi untuk mencapai harapan negara kitani dalam pengurusan dan penyediaan penjagaan mereka yang memerlukan. Ini juga sejajar dengan dua keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu "Kesihatan adalah Tanggunjawab Semua" dan "Meningkatkan Kualiti Penyampaian Perkhidmatan".

 11.   Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa penganjur, pihak-pihak berkepentingan lain, para penaja, dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, di atas komitmen dalam menjayakan acara sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2018 hari ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang murni lagi ikhlas itu akan mendapatkan keberkatan dan ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.

12.   Dengan melafazkan kalimah بسم الله الرحمن الرحيم  Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita, Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, saya dengan sukacitanya melancarkan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2018.

 

Sekian.     

 

وبالله التوفيق والهداية

والسلام عليكم ورحمة الله وبركات


Attachments