Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO PADUKA DR HAJI MD ISHAM  BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

 

SEMPENA HARI TB SEDUNIA 2018

TEMA: 'Dikehendaki: Pemimpin Bagi Dunia Bebas TB'

 

24 MAC 2018

 

 

  1. Hari TB Sedunia diperingati pada setiap 24 Mac dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk orang ramai bahawa penyakit TB masih lagi didapati di kebanyakan negara di seluruh dunia. Penyakit TB menyebabkan hampir 1.5 juta kematian setiap tahun, kebanyakkannya di negara-negara yang sedang membangun.

     
  2. Bagi tahun 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Stop TB Partnership telah memilih tema 'Dikehendaki: Pemimpin bagi Dunia Bebas TB' ('Wanted: Leaders for a TB-free world). Tema ini bertujuan membangkitkan semangat bagi semua lapisan masyarakat untuk bertindak dan memainkan peranan menjadi pemimpin dalam pencegahan dan pengawalan penyakit TB.

     
  3. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan 9 juta kes baru penyakit TB berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun. Daripada jumlah ini, 3 juta penghidap penyakit tersebut tidak dapat dikesan dan langsung tidak menerima sebarang rawatan. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan termiskin dan tersisih serta orang-orang yang berisiko tinggi. Oleh itu, adalah sangat penting bagi memastikan mereka yang telah dijangkiti kuman TB untuk  mendapat akses kepada diagnosis dan rawatan dan seterusnya, sembuh dari penyakit TB.

     
  4. Di Negara Brunei Darussalam, kadar insiden penyakit TB telah menurun daripada 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2000 kepada 57 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017 di mana, sebanyak 240 kes baru penyakit TB telah dicatatkan, berbanding dengan 311 kes pada tahun 2000. Namun begitu, penganalisaan Kementerian Kesihatan mendapati, walaupun terdapat penurunan jumlah keseluruhan kes di negara ini, kadar penurunan adalah sangat perlahan pada beberapa tahun kebelakangan. Di antara penyumbang kepada keadaan ini ialah jangka hayat yang semakin meningkat di negara ini, iaitu hasil daripada kesan positif keberkesanan penjagaan kesihatan dan seterusnya peningkatan tahap kesihatan rakyat dan penduduk. Walau bagaimanapun, dengan peningkatan jangka hayat, kita adalah lebih terdedah kepada risiko menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetis yang menyumbang kepada peningkatan risiko menghidap jangkitan-jangkitan seperti TB. Banyak kajian telah menunjukkan kaitan antara penyakit-penyakit tidak berjangkit dengan penyakit TB yang mana penghidap penyakit tidak berjangkit adalah lebih mudah mendapat jangkitan TB  disebabkan oleh sistem ketahanan imun yang lemah. Oleh yang demikian, pencegahan dan kawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit adalah merupakan salah satu faktor penting dalam mencegah dan mengawal penyakit TB di negara kita ini.

      
  5. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kadar kes kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB (Multi-drug resistant TB dan extensively drug-resistant TB) serta kes jangkitan TB di kalangan pesakit HIV (TB-HIV) di negara ini adalah sangat rendah. Kedua-dua perkara ini adalah merupakan dua cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa ini. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus proaktif dalam memastikan cabaran-cabaran tersebut sentiasa dipantau dan terkawal di negara kita ini. Justeru itu, Kementerian Kesihatan telah memfokuskan strategi dan tindakan-tindakan pengawalan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam kepada:

     
    1. Peningkatan kesedaran semua pihak termasuk profesional kesihatan dan orang ramai tentang penyakit TB;
    2. Pengukuhan Program Saringan Penyakit TB (TB screening Program) kepada kumpulan-kumpulan sasaran tertentu; dan
    3. Rawatan dan pemantauan pesakit TB, termasuk bagi menghindari kemunculan kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB.

       
  6. Strategi penghapusan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam bukan hanya memfokuskan kepada pemberian rawatan penyakit TB semasa jangkitan sahaja, akan tetapi melalui pendekatan secara holistik dan menyeluruh dengan mengambil kira faktor-faktor sosial serta persekitaran yang boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit TB seperti kekurangan zat makanan (malnutrition), kesesakkan tempat tinggal dan peredaran udara yang kurang baik. Selain daripada itu, kemahuan dan kegigihan pesakit itu sendiri berserta sokongan dari ahli keluarga adalah sangat penting dalam memastikan pesakit sembuh dari penyakit TB sepenuhnya dan seterusnya tidak menjangkiti keluarganya ataupun orang lain disekelilingnya.

     
  7. Justeru itu, dalam menyahut tema hari Sambutan Hari TB Sedunia 'Dikehendaki: Pemimpin bagi Dunia Bebas TB', dan selaras dengan keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu Health Is Everyone's Business, Kementerian Kesihatan dengan ini menyeru dan memohon kerjasama yang padu serta komitmen penuh dari semua stakeholders di semua lapisan masyarakat, termasuk Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi-institusi yang berkepentingan seperti institusi pendidikan bagi sama-sama mencegah, mengawal dan seterusnya menghapuskan penyakit TB di negara ini.

     
  8. Hari TB Sedunia memberikan kita peluang untuk meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman mengenai masalah berkaitan dengan penyakit TB serta usaha-usaha yang perlu dilakukan didalam mendokong Kementerian Kesihatan mengawal penyakit TB. Walaupun negara kita telahpun meraih banyak kemajuan didalam pengawalan dan rawatan penyakit TB, namun kita tidak boleh leka kerana penyakit ini masih menyebabkan ramai kematian diseluruh dunia. Penyakit TB serta kesannya boleh dicegah dan dengan berkerjasama sepadu, kita dapat bersama-sama mencapai visi ke arah negara yang sihat.

     

     
    -TAMAT-


Attachments