Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO PADUKA DR HJ MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA MINGGU IMMUNISASI SEDUNIA

24  – 30  April 2018

 

TEMA:

"Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan"

("Protected Together, #VaccinesWork")

 

 

1.      Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam meraikan Minggu Imunisasi Sedunia 2018 dari 24 hingga 30 April 2018. Minggu Imunisasi Sedunia disambut setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan individu, keluarga dan masyarakat untuk mengambil perhatian dan memainkan peranan aktif dalam membantu mengurangkan beban global penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin.

 

2.      Tema sambutan pada tahun ini, "Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan" atau "Protected Together, #VaccinesWork" adalah untuk menarik perhatian semua mengenai pentingnya tindakan secara bersepadu dalam bersama memastikan setiap individu dilindungi dari penyakit-penyakit yang dapat dicegah melalui pemberian vaksin, dan seterusnya untuk menambah liputan imunisasi negara bagi kebaikan semua pihak.

 

3.      Pemberian vaksin adalah merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang sangat penting lagi kos effektif dalam pencegahan penyakit-penyakit dan seterusnya bagi menangani isu-isu kesihatan global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melaporkan bahawa program imunisasi yang berkesan boleh mencegah antara 2 hingga 3 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. Walaubagaimanapun, masih terdapat lebih 19 juta kanak-kanak di dunia ini yang masih belum mendapat vaksin yang sepenuhnya yang menyebabkan mereka dikategorikan sebagai kumpulan yang berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit-penyakit merbahaya dan boleh mengancam nyawa.

 

4.      Seperti yang kita ketahui, program imunisasi bagi kanak-kanak damit boleh mencegah penyakit, kecacatan dan kematian seperti dari penyakit Hepatitis B, Campak (Measles), Beguk (Mumps), Polio dan Tetanus. Begitu juga dengan pemberian vaksin bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap penyakit-penyakit kronik, pengendali makanan dan pekerja-pekerja kesihatan ("front liners") dapat memberikan perlindungan daripada penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti influenza dan meningitis yang lazimnya dihidapi semasa umur dewasa. Manakala Vaksin Human Papilloma Virus yang dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan di Tahun 7 persekolahan juga adalah terbukti dapat mencegah atau mengurangkan risiko kanser servik apabila mereka meningkat dewasa nanti.

 

5.      Kadar liputan imunisasi dikalangan kanak-kanak yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah sekurang-kurangnya 90 peratus. Alhamdullilah, Negara Brunei Darussalam telah berjaya mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi melebihi 95 peratus, sejak lima tahun lalu, melalui perlaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan dan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan termasuklah kerjasama para ibubapa dan penjaga kanak-kanak. Liputan immunisasi ini perlu diteruskan kerana program imunisasi telah terbukti boleh menyelamatkan nyawa dan mampu mengubah kehidupan ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan masa depan yang lebih cerah, bagi menuju ke arah generasi akan datang yang mempunyai daya kekebalan bagi mencegah penyakit-penyakit berjangkit; sihat dari segi mental dan fizikal, aktif, produktif dan sekaligus In Shaa Allah akan mewujudkan masyarakat yang sihat di masa akan datang.

 

6.      Mengikut peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2003 Seksyen 47 Bab 1 antara lain menyatakan bahawa para ibubapa atau penjaga hendaklah memastikan anak-anak mereka diberikan vaksinasi lengkap bagi melindungi dari penyakit-penyakit berjangkit yang meliputi 10 penyakit iaitu Diphtheria, Haemophilus Influenza B, Hepatitis B, Measles, Mumps, Pertussis, Polio, Rubella, Tetanus dan Tuberculosis. Dari itu, saya menyeru para ibubapa untuk mengambil serius akan tanggungjawab mereka untuk sama-sama memastikan anak-anak mereka menerima vaksinasi yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Pusat-Pusat Kesihatan dan Klinik-Klinik Kesihatan di seluruh negara.

 

7.      Kementerian Kesihatan sangat mengharapkan sokongan padu berterusan dan penglibatan proaktif daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dan berkenaan untuk sama-sama bertanggungjawab dan komited ke arah meningkatkan dan mengukuhkan lagi tahap kesihatan negara. Dengan sama-sama memastikan keluarga dan masyarakat menerima vaksin yang sepatutnya, kita boleh mencapai "Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan".

 

 

 

Attachments