Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel kali Ke-30 (30th Commonwealth Health Ministers Meeting 2018), pada 20 Mei 2018 di Geneva, Switzerland

 



1.    Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel Kali Ke 30 (30th Meeting of the Commonwealth Health Ministers), pada 20 Mei 2018 di Geneva, Switzerland. Turut menghadiri Mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.

2.    Mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kesihatan dan Pegawai-Pegawai Kanan dari 53 negara ahli Komanwel ini telah membincangkan mengenai kerjasama Komanwel dalam memantapkan tindakan-tindakan bagi menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit yang menjadi tema Mesyuarat tahun ini.
 

3.    Mesyuarat turut memberi fokus kepada perlaksanaan komitmen untuk mencapai Matlamat Pembangunan Berdayatahan 2030 (Sustainable Development Goals 2030) yang berkaitan dengan kesihatan khususnya dalam memastikan liputan penjagaan kesihatan yang menyeluruh (Universal Health Coverage) dengan memberi perhatian kepada isu-isu seperti mekanisme pembiayaan kesihatan yang berdayatahan, menggerak sumber-sumber yang diperlukan bagi penjagaan kesihatan serta penyelarasan tindak balas fasiliti kesihatan terhadap keganasan berasaskan jantina (health facility based coordinated response to gender based violence) di kalangan negara-negara Komanwel.

 4.    Antara agenda Mesyuarat ialah sesi dialog bersama Pengarah Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tuan Yang Terutama, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang memfokus kepada cabaran serta hala tuju menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit serta penyelarasan isu-isu berkaitan bidang kesihatan yang diberi keutamaan oleh pihak Komanwel dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Negara-negara Komanwel termasuk Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat tersebut mengkongsikan pelbagai inisiatif dan amalan-amalan terbaik yang memberikan impak positif kepada pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit serta pencapaian liputan penjagaan kesihatan menyeluruh.


5.    Mesyuarat tersebut berakhir dengan kesepakatan meluluskan Kenyataan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel Kali Ke-30, yang antaralain menekankan komitmen sepadu menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit khususnya dalam mengukuhkan kawalan tembakau dan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan; serta meningkatkan program kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan. Mesyuarat juga bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama Komanwel dalam mencegah dan mengawal kanser termasuk perlaksanaan program vaksinasi di negara-negara ahli Komanwel. Mesyuarat menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai sektor, menubuhkan mekanisme perkongsian maklumat dan amalan-amalan terbaik antara negara-negara Komanwel serta bagi pemantauan perkembangan perlaksanaan komitmen dan pelbagai inisiatif  kerjasama Komanwel dalam bidang kesihatan.

 6.    Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel ini akan bersidang lagi pada tahun 2019 dengan tema "Universal Health Coverage: Reaching the unreached, Ensuring no one is left behind"

 

 

-TAMAT-

 

 

Tarikh         : 21 Mei 2018

Rujukan       : KK/PR/2

 

 

 

Attachments