Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI PERHIMPUNAN KESIHATAN SEDUNIA KE–71

(71st  WORLD HEALTH ASSEMBLY)

21-26 MEI 2018, GENEVA, SWITZERLAND

 

dato plenary pic 2.jpg


1.    Menteri-Menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari 194 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke-71 (71st World Health Assembly) yang berlangsung di Geneva, Switzerland, bermula pada 21 Mei hingga 26 Mei 2018 serta turut meraikan ulang tahun ke 70 Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

 

2.    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Perhimpunan tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, Negara Brunei Darussalam yang juga disertai oleh Tuan Yang Terutama, Dato Paduka Awang Haji Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Duta Besar dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap serta beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

 

3.    Tema Perhimpunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun ini ialah "Kesihatan Untuk Semua, Komitmen kepada Liputan Penjagaan Kesihatan Menyeluruh" ("Health For All: Commit to Universal Health Coverage")

 

4.    Di Perhimpunan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah memberikan  ucapan plenari yang antaralain menyatakan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam  menumpukan perhatian tinggi dan membawa komuniti sejagat untuk memberikan komitmen sepadu kepada pencapaian liputan penjagaan kesihatan menyeluruh (Universal Health Coverage) serta memastikan penjagaan kesihatan mudah diperolehi oleh semua.

 

5.    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam ucapannya memberi kenyataan bahawa Negara Brunei Darussalam menempatkan kesihatan sebagai salah satu strategi utama dalam Wawasan Brunei 2035 yang dapat menyumbang kepada pencapaian kualiti kehidupan yang tinggi serta mendokong kepada ekonomi negara yang dinamik dan mapan. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan adalah komited untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, saksama, komprehensif lagi mudah diperolehi oleh rakyat dan penduduk negara. Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dibawa oleh perubahan demografi fizikal dan tren penyakit-penyakit, Negara Brunei Darussalam adalah komited untuk mengekalkan pencapaian liputan penjagaan kesihatan menyeluruh  dengan turut memberi perhatian kepada  isu kualiti dan keselamatan melalui pengukuhan perkhidmatan, dasar kesihatan dan memantapkan kerjasama pelbagai sektor.

 

6.    Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan beberapa strategi utama yang telah dilaksanakan dalam negara bagi mendokong liputan penjagaan kesihatan menyeluruh. Ini adalah termasuk pengukuhan penjagaan kesihatan asasi melalui pembangunan rangkaian pusat-pusat dan klinik-klinik kesihatan, perlaksanaan sistem pengurusan maklumat kesihatan yang diperkembangluas mengikut perkembangan teknologi info-komunikasi dan perlaksanaan Dasar Ubat Negara (Brunei Medicine Policy) yang bertujuan memastikan bekalan ubat yang selamat, berkualiti dan efektif. Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam kenyataannya juga mendokong supaya agenda pengukuhan model penjagaan kesihatan asasi akan terus diberi perhatian di peringkat global disamping perbincangan mengenai kepentingan akses kepada ubat-ubatan dan isu Antimicrobial Resistance juga akan dapat diteruskan bagi menjamin sekuriti kesihatan global.

 

7.    Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke 71 ini mendapat persetujuan dan kesepakatan negara-negara anggota mengenai pelbagai isu kesihatan awam dan global yang penting seperti; Kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam; Penghapusan penyakit polio dan tuberculosis; Kesihatan, persekitaran dan perubahan iklim; Menangani kekurangan dan akses kepada ubat-ubatan dan vaksin di peringkat global; Aktiviti fizikal untuk kesihatan; Strategi Global Kesihatan Wanita, Kanak-Kanak dan Remaja;  dan Pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

 

8.    Semasa di Geneva, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengadakan kunjungan muhibah secara berasingan dengan Tuan Yang Terutama Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Pengarah Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Tuan Yang Terutama Dr Shin Young Soo, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Rantau Pasifik Barat. Perkara-perkara yang telah dibincangkan antaralain mengenai kerjasama Negara Brunei Darussalam dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia termasuk bantuan teknikal dalam pelbagai bidang kesihatan seperti menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit serta kesiapsiagaan negara dalam menangani kecemasan kesihatan awam (public health emergencies).

 YB Menteri Kesihatan dengan Dr Tedros.jpg


9.    Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga telah membuat perbincangan dua-hala mengenai kerjasama bidang kesihatan dengan Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan Singapura dan Tuan Yang Terutama Dr David Clark, Menteri Kesihatan New Zealand. Delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa di Geneva juga berkesempatan membuat lawatan ke Swiss Foundation for Innovation and Training in Surgery bagi meninjau kemudahan fasiliti dan teknologi robotik serta simulasi surgikal di Pusat tersebut.

 

Sila layari pautan ini bagi video ucapan plenari Yang Berhormat Menteri Kesihatan:



 

-TAMAT-

 

 

Tarikh         : 27 Mei 2018

Rujukan       : KK/PR/2

Attachments