Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO PADUKA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2018

31 MEI 2018

 

TEMA: "TEMBAKAU DAN PENYAKIT JANTUNG"

 

1.    'Merokok membahayakan kesihatan' sering kita dengar dari semasa ke semasa tapi tahukah awda tabiat merokok mengakibatkan penyakit jantung? Bahan-bahan kimia  yang terdapat dalam rokok membahayakan sel-sel darah dan boleh menjejaskan fungsi jantung serta struktur saluran darah. Pendedahan kepada bahan kimia dalam rokok akan merangsang proses pembentukan plak di dalam pembuluh darah atau arterosklerosis yang mana boleh menyekat atau menyumbat saluran darah mengakibatkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, serangan jantung dan kerosakkan kepada organ-organ lain dalam badan termasuk otak. 

 

2.    Hubungan penyakit jantung dan tembakau adalah tumpuan Hari Tanpa Tembakau Sedunia ataupun World No Tobacco Day pada tahun ini yang lazimnya disambut pada 31 Mei setiap tahun. Tema 'Tembakau dan Penyakit Jantung' (Tobacco and Heart Disease) pada tahun ini memfokuskan kepada kaitan penggunaan tembakau dengan penyakit jantung, serta penyakit kardiovaskular lain termasuk strok. Penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian diseluruh dunia yang dianggarkan menyebabkan 17 juta kematian setiap tahun, manakala penggunaan tembakau serta pendedahan kepada asap rokok pasif menyumbang kepada lebih kurang 12% daripada semua kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung.

 

3.    Di Negara Brunei Darussalam, penyakit jantung dan strok masing-masing adalah penyebab kematian yang kedua dan ke empat tertinggi, yang mana, jika ianya digabungkan, menyebabkan lebih kurang 20% daripada semua kematian pada tahun 2016. Manakala, perangkaan jumlah kes penyakit jantung koronari yang memerlukan rawatan khusus telah menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun, sepertimana yang diperolehi daripada jumlah pendaftaran pesakit di Gleneagles JPMC, iaitu 143 pesakit pada tahun 2016 dan 152 pesakit pada tahun 2017. Pada awal tahun ini sahaja, sejumlah 65 pesakit telah dianggarkan berdaftar sehingga April 2018.

 

4.    Tabiat merokok merupakan faktor risiko utama penyebab penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam. Hasil Kasjiselidik STEPS NCD 2016 menunjukkan sebanyak 20% atau seramai 50-60 ribu rakyat Brunei yang berumur di antara 18-69 tahun adalah perokok, yang mana 36.3% adalah di kalangan lelaki dan 3.7% di kalangan perempuan. Di kalangan perokok pula, sebanyak 30% adalah daripada golongan umur yang produktif iaitu diantara 18-44 tahun. Jika kebanyakkan mereka ini mula atau sudah menghidapi tanda-tanda penyakit jantung ataupun kardiovaskular, setentunya ianya akan mempunyai implikasi terhadap sosioekonomi Negara dari segi kos seperti perbelanjaan rawatan yang ditanggung oleh Kerajaan, kerugian disebabkan kehilangan produktiviti, kehilangan pendapatan di tempat kerja dan boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang.

 

5.    Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah kesan-kesan tabiat merokok yang bukan saja menjejaskan kesihatan perokok itu sendiri, malah menjejaskan kesihatan orang sekeliling perokok yang terdedah kepada asap rokok, iaitu perokok pasif (passive smokers). Pendedahan pada asap rokok pasif (secondhand smoke) meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dan strok sebanyak 20-30%. Ianya juga meningkatkan risiko bagi serangan jantung dan kematian mengejut di kalangan perokok pasif.  Menurut kajian Global School Health Survey (GSHS) 2014, kira-kira 40% remaja berumur 13-17 tahun terdedah kepada asap rokok pasif dan sebanyak 1 dalam setiap 3 remaja mempunyai ibubapa atau penjaga yang menggunakan produk tembakau. Pendedahan asap rokok pasif di kalangan kanak-kanak dan remaja ini adalah amat merbahaya dan boleh menyebabkan masalah pernafasan yang serius seperti penyakit asma serta meningkatkan risiko mereka menghidap penyakit jantung koronari. Disamping itu, pendedahan asap rokok pada umur yang muda boleh mendorong kanak-kanak dan remaja tersebut untuk memulakan atau mengekalkan tabiat merokok sehingga dewasa.

 

6.    Oleh itu, perokok-perokok adalah digalakkan untuk berhenti merokok bukan saja untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri, malahan juga untuk melindungi keluarga, anak-anak, dan orang-orang di sekeliling. Dalam usaha membantu perokok-perokok yang bersedia untuk berhenti merokok, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Pusat-Pusat Kesihatan tertentu di setiap daerah bagi memberikan khidmat kaunseling serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin kepada yang memerlukannya. Bagi yang berjaya berhenti merokok, InshaaAllah pembaikan kepada kesihatan akan dapat di lihat dan dirasakan serta risiko penyakit kardiovaskular juga akan menurun. Menurut kajian, setelah tempoh 3 bulan selepas berhenti merokok, risiko serangan jantung akan menurun dan fungsi paru-paru juga bertambah baik. Setelah tempoh 5 tahun, risiko serangan strok pula menurun kepada seperti orang yang tidak merokok. Manakala selepas 15 tahun, risiko untuk mendapat serangan jantung adalah sebanding dengan orang yang tidak merokok.

 

7.      Sejurus dengan itu, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam kita bebas dari asap rokok dan memandangkan sambutan tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan, maka jadikanlah ianya sebagai peluang untuk meningkatkan kesihatan dengan membebaskan diri dan keluarga daripada bahaya penggunaan tembakau dan asap rokok.

 

 

-T A M A T-


Attachments