Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO PADUKA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2018

 

14 JUN 2018

 

TEMA: "BANTULAH MEREKA YANG MEMERLUKAN. DERMALAH DARAH. KONGSI KEHIDUPAN"

("BE THERE FOR SOMEONE ELSE. GIVE BLOOD. SHARE LIFE")

 

 

1.     Rawatan melalui transfusi darah dan produk-produk darah yang diberikan kepada pesakit yang memerlukan dapat membantu menyelamatkan berjuta-juta nyawa setiap tahun. Ianya boleh membantu pesakit-pesakit kembali pulih, melanjutkan usia kehidupan pesakit yang mempunyai kondisi membahayakan nyawa dan meningkatkan kualiti hidup. Bekalan darah juga sangat diperlukan dalam prosedur-prosedur pembedahan dan rawatan perubatan yang rumit. Tambahan lagi, darah yang didermakan dapat membantu menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam situasi-situasi kecemasan seperti kemalangan jalan raya, kecelakaan dan bencana alam.

 

2.     Hari Penderma Darah Sedunia atau World Blood Donor Day disambut pada 14 Jun setiap tahun di seluruh dunia khas untuk meraikan para sukarelawan penderma darah. Ianya diraikan sebagai tanda penghargaan kepada para penderma darah yang sukarela memberi khidmat bantuan darah. Disamping itu, ianya juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai keperluan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti untuk kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan.

3.     Tema bagi sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada tahun ini menumpukan perhatian awam kepada pendermaan darah sebagai langkah perpaduan iaitu "Bantulah mereka yang memerlukan. Dermalah darah. Kongsi kehidupan" ("Be there for someone else. Give blood. Share life"). Ianya mengetengahkan nilai dan unsur-unsur perikamanusiaan dari segi penghormatan, kebaikan dan sifat mengasihani diantara sesama manusia melalui pendermaan darah secara sukarela. Tema ini juga memberi perhatian kepada peranan yang dimainkan oleh setiap penderma sukarelawan dalam menggalakkan dan menyeru orang awam agar sama-sama prihatin bagi mewujudkan perpaduan dalam masyarakat.

 

4.     Alhamdulillah, pada tahun 2017, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 16,104 kutipan darah dan 2,973 daripadanya adalah penderma darah yang baru didaftarkan. Perangkaan ini menunjukan bahawa kita telah dapat mencapai matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah pendermaan darah dalam lingkungan 1-3% dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan. Pencapaian peratus di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2017 ialah sebanyak 2.6 peratus dan perangkaan ini adalah konsisten dengan pencapaian dari tahun 2014.

 

5.     Memang tidak dapat dinafikan bahawa darah yang didermakan mempunyai banyak faedahnya. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, akan sentiasa berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi, kakitangan berunifom, sektor awam dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain di semua daerah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti pendermaan darah. Pusat Pendermaan Darah juga akan sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen secara sukarela bagi memperkasa dan meluaskan lagi aktiviti kempen-kempen derma darah semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah untuk tampil bagi menyumbangkan darah.

 

6.     Disamping itu, Pusat Pendermaan Darah juga merancang dan mengungkayahkan beberapa aktiviti sepanjang tahun yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan pendermaan darah. Ini termasuk memberikan taklimat kepada orang awam mengenai kebaikan dan keperluan pendermaan darah, memperkenalkan sistem pengurusan pendermaan darah secara "on-line" iaitu BloodKad bagi memudahkan penderma darah untuk menderma serta dapat mengalu-alukan pengelola kempen derma darah yang baru.

 

7.     Di kesempatan ini, Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma darah di Negara Brunei Darussalam. Setiap penderma darah yang tampil untuk menderma darah adalah seorang wira dan darah yang didermakan merupakan satu pemberian dan sumbangan yang tidak ternilai harganya. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pendermaan darah secara sukarela. Setiap darah yang didermakan akan Insya-Allah dapat menyelamatkan 3 nyawa. Pendermaan darah berterusan akan dapat membekalkan stok darah dan produk-produk darah yang mencukupi bagi memastikan sebuah sistem kesihatan yang berkesan.

 

8.     Justeru itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan. Untuk mengetahui maklumat-maklumat lanjut dan terkini mengenai aktiviti-aktiviti Pusat Pendermaan Darah, orang ramai bolehlah mengikuti Facebook bloodbankripas.brunei atau Instagram/Twitter @bloodbank_ripas.

 

 

-T A M A T-

 

Attachments