Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Ministry holds Doa Selamat for Medical Haj team

MAJLIS DOA SELAMAT DAN PENYAMPAIAN DERMA

BAGI ROMBONGAN BI'THAH HAJI PERUBATAN DAN

 JEMAAH HAJI WARGA KEMENTERIAN KESIHATAN

BAGI MUSIM HAJI 1438H

 

Sabtu, 5 Zulkaedah 1438H/29 Julai 2017M - Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Doa Selamat dan Penyampaian Derma bagi rombongan Bi'thah Haji Perubatan dan Jemaah Haji petang ini bagi warga Kementerian Kesihatan yang bakal menunaikan Fardhu Haji pada tahun 1438 Hijrah. Majlis diadakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.

 

Seramai 20 orang yang terdiri daripada 6 orang Pegawai Perubatan dan 14 orang jururawat akan menyertai rombongan Bi'thah Haji Perubatan. Rombongan Bi'thah Haji Perubatan bagi Musim Haji 1438 Hijrah diketuai oleh Yang Mulia Dr Haji Nurhasanuddin bin Abdullah Kelali.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Ustaz Haji Md Emarul bin Haji Azamain, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Rombongan Bi'thah Haji Perubatan bagi Musim Haji 1438 Hijrah. Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal Haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

 

Turut hadir ke Majlis tersebut ialah Yang Mulia Hj Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Dr. Hazri bin Haji Kifle, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) Kementerian Kesihatan, Ketua-Ketua Fungsi, jemaah-jemaah haji yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

 

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Kesihatan dalam sama-sama meraikan rombongan dengan majlis doa selamat serta penyampaian derma kepada Bi'thah Haji Perubatan dan Jemaah Haji warga Kementerian Kesihatan sempena musim Fardhu Haji.

 

- TAMAT-

 

Attachments