Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Ministry holds dialogue session with Mukim and Village Heads of Tutong District

Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan Bersama

Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung

bagi Daerah Tutong

 

 

Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung bagi Daerah Tutong diadakan pada hari ini, Isnin, 17 Safar 1439 bersamaan 6 November 2017 bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Tutong.

 

Seramai 26 orang Penghulu-Penghulu, Pemangku Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan Pemangku Ketua-Ketua Kampung dari Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam, Mukim Kiudang, Mukim Rambai, Mukim Ukong, Mukim Telisai, Mukim Tanjong Maya dan Mukim Lamunin menghadiri Sesi Muzakarah tersebut, yang mana diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, Penghulu Mukim Tanjong Maya, Zon 1, Daerah Tutong.

 

Sesi Muzakarah ini dimulakan dengan ucapan mukadimah oleh Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Md Hussain, Pegawai Daerah Tutong. Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Menteri Kesihatan, selaku Pengerusi Sesi Muzakarah ini.

 

Sesi Muzakarah ini diadakan untuk mengongsikan perkembangan inisiatif-inisiatif sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan semenjak dua tahun yang lepas. Sesi Muzakrah  ini  seterusnya juga mendengarkan isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. Permuzakarah yang diadakan bersama Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung yang hadir diadakan dalam suasana muhibah dan secara terbuka bagi perkongsian maklumat, pemikiran, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya untuk mendalami lagi permaslahatan yang ada bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

 

Dalam Sesi Muzakarah ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi 'Bersama Ke Arah Warga Sihat' iaitu:

  1. Menerapkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua (health is everyone's business).
  2. Mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs).
  3. Memberikan perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan (consolidation) dan pensejajaran (realignment) perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan demi memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan serta menghentikan pembaziran (wastages).

     

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama erat dari semua lapisan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran awam (public awareness) tentang kepentingan menjaga kesihatan dan menekankan bahawa kesihatan adalah peranan semua (health is everyone's business).

     

Turut hadir di Sesi Muzakarah ini ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dr Awang Hazri bin Haji Kifle, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) Kementerian Kesihatan serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan.

 

 

- TAMAT -

 

 

Tarikh                        : 17 Safar 1439 /  6 November 2017

Rujukan        : KK/PR/3

Attachments