Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Obstetric and Gynaecology services at Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong is Now Open

‚Äč

PERKHIDMATAN  OBSTETRIK DAN GINEKOLOGI DI HOSPITAL
PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH (PMMPMHAMB), TUTONG BERSEDIA MEMBERIKAN PERKHIDMATANNYA

 

Ke arah usaha Kementerian Kesihatan untuk memberikan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif dan efektif, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong kini mula beroperasi semula dan bersedia untuk memberikan perkhidmatannya dalam memenuhi ekspektasi orang ramai, khususnya ibu-ibu yang hendak bersalin yang tinggal di Daerah Tutong dan sekitarnya.

 

Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital PMMPMHAMB, Tutong telah mula beroperasi semula sepenuhnya pada hari Selasa, 5 Disember 2017 bersamaan dengan 16 Rabiulawal 1439 yang lalu. Wanita-wanita yang memerlukan kepakaran obstetrik dan ibu-ibu yang hendak bersalin dan tinggal di daerah Tutong dan sekitarnya kini boleh mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan kepakaran Obstetrik dan Ginekologi yang diperlukan dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang sedia ada di hospital tersebut. Ini termasuklah perkhidmatan mulai dari pra-konsepsi sebelum kelahiran, semasa bersalin dan selepas bersalin.

 

Walaubagaimanapun, bagi ibu-ibu mengandung yang tidak dapat bersalin secara normal, yang mempunyai masalah ataupun kes/sejarah mengandung yang memerlukan rawatan yang lebih rapi sebelum ini, akan dirujuk untuk rawatan selanjutnya di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

 

Kementerian Kesihatan akan terus berusaha dalam memberikan khidmat dan kualiti perkhidmatan kesihatan yang tinggi, efektif dan inovatif kepada semua warga di negara ini sesuai dengan keperluan pada masa ini dan akan datang.  Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

- T A M A T -

 

 

Tarikh             : 18 Rabiulawal 1439 / 7 Disember 2017

Rujukan           : KK/PR/3

Attachments