Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

False information on infectious Virus at Ward 18, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Hospital

‚ÄčMAKLUMAT PALSU MENGENAI

SERANGAN VIRUS YANG MENJANGKITI DAN MEMBAWA KEMATIAN DI WAD 18

HOSPITAL RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK SALEHA

 

Berikutan dengan penyebaran maklumat mengenai Serangan Virus yang Menjangkiti dan Membawa Kematian Di Wad 18 Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang disebarkan melalui aplikasi media sosial Whatsapp yang mana kononnya menyatakan bahawa serangan virus tersebut disembunyikan oleh pihak Hospital daripada para pesakit dan ianya menyebabkan kematian. Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan dan ditularkan adalah TIDAK BETUL. Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan ingin membetulkan maklumat yang disebarkan dengan menyatakan bahawa terdapat satu situasi yang mana sejenis bakteria yang digelar Vancomycin-resistant Enterococci (VRE) telah dikesan di Wad 18 di Hospital berkenaan.

 

VRE bukanlah sejenis virus tetapi adalah sejenis bakteria Enterococci yang kebal kepada rawatan antibiotik. Lazimnya, bakteria Enterococci boleh didapati di dalam usus, saluran kelamin perempuan atau permukaan persekitaran, tanpa menyebabkan masalah kesihatan. Walaubagaimanapun, apabila bakteria Enterococci menjadi kebal kepada sejenis antibiotik iaitu Vancomycin, bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan yang serius, terutamanya kepada pesakit-pesakit yang lemah imuniti, mempunyai masalah kesihatan kronik berpanjangan atau telah menjalani pembedahan. Vancomycin ialah sejenis antibiotik yang umumnya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria yang serius dan ianya berfungsi dengan cara menghentikan pertumbuhan bakteria di dalam badan. Bakteria VRE, seperti bakteria-bakteria lain, boleh menjangkit melalui sentuhan kulit atau sentuhan pada barang-barang dan permukaan yang dicemari.


Untuk maklumat orang ramai, jangkitan VRE bukanlah jangkitan yang luar biasa. Jangkitan ini juga berlaku di hospital-hospital di negara-negara luar. Di Negara Brunei Darussalam, kes-kes VRE adalah ditahap yang rendah disebabkan oleh langkah-langkah kawalan jangkitan yang berterusan seperti amalan pembersihan tangan bagi semua pihak, mengasingkan pesakit yang terlibat ke wad pengasingan bagi mengelakkan penularan jangkitan, serta meningkatkan kebersihan persekitaran pesakit, mengikut garispanduan kawalan dan pencegahan jangkitan antarabangsa. 

 

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti 5 orang pesakit yang disahkan dijangkiti bakteria VRE, walaubagaimanpun pesakit-pesakit tersebut adalah di dalam keadaan stabil. Sebagai langkah proaktif yang mengikut prosedur piawaian bagi mengawal jangkitan VRE daripada merebak di wad Hospital berkenaan, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan langkah-langkah intervensi kawalan jangkitan seperti mengasingkan dan merawat pesakit-pesakit yang terlibat di wad pengasingan; meningkatkan amalan pembersihan tangan bagi pesakit, penjaga, pelawat dan warga hospital; meningkatkan kawalan pelawat; serta meningkatkan pembersihan persekitaran pesakit dan juga wad.

 

Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya. Seterusnya orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak berasas.

 

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak BND3,000.


Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan situasi ini dan ingin menasihatkan orang ramai khususnya pelawat-pelawat untuk mematuhi peraturan melawat yang telah ditetapkan dan meningkatkan amalan pembersihan tangan serta persekitaran. Kementerian ini juga menasihatkan orang ramai yang kurang sihat untuk tidak melawat pesakit di Hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan, serta memberikan kerjasama dalam menangani situasi ini. Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 

Rujukan           : KK/PR/4
Tarikh              : 2 Februari 2018

 

-T A M A T-

 

Attachments