Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Health Advisory During A Flood

NASIHAT KESIHATAN SEMASA BANJIR


Berikutan dengan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan, Kementerian Kesihatan sukacita menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dengan mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan, air atau vektor seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan, demam denggi, Japanese Enchephalitis (JE) dan sebagainya.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah:

 Memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar;

 Memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol;

 Mendapatkan rawatan jika mengalami demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain;

 Mendapatkan rawatan segera di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan jika mengalami kecederaan yang terdedah kepada air banjir;

 Bagi pesakit-pesakit yang mendapat perubatan secara berterusan supaya akan memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi;

 Mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas;

 Memastikan tidak ada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk;

 Menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan serta tidak membuang sampah merata-rata, dan memastikan saliran air supaya tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok;

 Mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini; dan

 Mengelakkan daripada menyentuh atau mendekati kabel eletrik yang dilanda banjir.


Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123, Facebook/Instagram @MOHBrunei atau mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn.


-T  A  M  A  T-

 

 

Rujukan    : KK/PR/3

Tarikh       : 22 Jamadiawal 1439 / 8 Februari 2018



Attachments