Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Ministry of Health and Relevant Agencies Enforced Fines To Offenders Failing To Comply With Government Regulations

AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN KE ATAS PENJUALAN PRODUK UBAT-UBATAN DAN KOSMETIK YANG DITEGAH DI PREMIS PERNIAGAAN DAN MEDIA SOSIAL, DI BAWAH PERINTAH UBAT, 2007

 

1.    Jumaat, 9 Mac 2018, Bandar Seri Begawan – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi, dengan kerjasama beberapa agensi-agensi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  iaitu dari Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pejabat Peguam Negara (AGC) pada hari ini telah mengadakan sesi Sidang Media Bersama mengenai Penguatkuasaan ke atas Penjualan Produk Ubat-Ubatan dan Kosmetik yang Ditegah di Premis Perniagaan dan Media Sosial, di bawah Perintah Ubat, 2007. Sidang media ini juga adalah berikutan dengan operasi sepadu penguatkuasa undang-undang beberapa Jabatan yang diketuai oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan pada 8 Mac 2018 yang lalu.

 

2.    Dalam operasi yang dikendalikan pada 8 Mac 2018 itu, Pegawai Penguatkusa Farmasi telah membuat pemeriksaan ke atas 18 buah kedai di kawasan Bangunan Parking Bertingkat, Bandar Seri Begawan dan telah merampas sebanyak 340 ubat-ubatan, 202 ubat tradisional serta suplemen kesihatan, dan 30 produk kosmetik yang ditegah penjualannya. Pengambilan contoh ubat tradisional juga dibuat bagi pemeriksaan bahan terlarang melalui analisa makmal. Pengunaan produk-produk yang diharamkan/ditegah penjualannya mengandungi bahan-bahan terlarang yang boleh memudaratkan kesihatan secara berpanjangan termasuk kanser, kerosakkan buah pinggang & hati, impak negatif kepada jantung, darah dan organ deria. Di samping itu, penggunaan produk kosmetik yang diharamkan/ditegah boleh memudaratkan janin dalam kandungan, menyebabkan kanser kulit, perubahan pada warna kulit yang beransur-ansur menjadi kehitaman, hypersensitivity dan kerosakan pada buah pinggang.

3.    Dalam usaha Kementerian Kesihatan mengawal penjualan produk ubat, ubat tradisional serta suplemen kesihatan, dan produk kosmetik di Negara ini dengan lebih efisien dan efektif, Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan di bawah Perintah Ubat, 2007.  Di antara fungsi Pihak Berkuasa ini adalah meluluskan pendaftaran dan pengeluaran lesen yang tertentu bagi setiap jenis produk.

4.    Perintah Ubat 2007 mengawalselia pengimportan, pendaftaran, promosi iklan, percubaan klinikal, pengangkutan, pengilangan, penyimpanan, pendispensan, dan penjualan produk ubat dan produk kosmetik. Matlamat utama peruntukan-peruntukan di bawah Perintah Ubat, 2007 adalah bagi memastikan produk-produk ubat dan produk-produk berkaitan yang dipasarkan dan digunakan di Negara Brunei Darussalam adalah selamat, berkualiti dan berkesan.

5.    Beberapa penguatkuasaan Perintah Ubat yang telah dan sedang dilaksanakan termasuklah:

  • Prosedur notifikasi produk kosmetik di mana semua produk kosmetik mestilah dinotifikasikan sebelum dipasarkan di Negara Brunei Darussalam sejak 3 Jun 2008.
  • Sistem pendaftaran produk ubat, yang mana setiap produk ubat mestilah didaftarkan secara mandatori sebelum dipasarkan di Negara Brunei Darussalam mulai 1hb Julai 2012.
  • Lesen Pengimport bagi syarikat mengendalikan pengimportan produk ubat.
  • Lesen Pengeluar bagi syarikat yang mengendalikan pengeluaran produk ubat.
  • Lesen Pemborong bagi syarikat yang memasarkan produk ubat secara borong.

 

6.    Kementeraian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi mempunyai beberapa mekanisme dalam mengawal penjualan produk-produk berkenaan seperti berikut:

a. Menjalankan pemeriksaan berjadual dan mengejut terhadap premis-premis perniagaan seperti pasaraya, kedai runcit, kedai cube, premis kecantikan dan Kesihatan, dan sebagainya sepertimana kuasa memeriksa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 58, Perintah Ubat. Pada tahun 2017 sebanyak 471 buah dari pelbagai jenis premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa.

 

b.    Disamping itu, Jabatan juga menjalankan pemeriksaan bersama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Unit Cawangan Pos Kawalan, Biro Kawalan Narkotik dan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan ke atas premis-premis termasuk kedai, gudang, expo and trade exhibition yang menjual, memborong produk ubat, ubat tradisional, produk tambahan kesihatan, produk kosmetik dan bahan-bahan terkawal serta pemeriksaan pengimportan produk berkenaan di pos-pos kawalan. Pada tahun 2017, Jabatan berkenaan telah menyertai sebanyak 28 operasi bersama agensi-agensi tersebut.

 

c. Pengambilan sampel bagi produk-produk yang mempunyai potensi untuk mengandungi bahan-bahan yang ditegah mengikut keutamaan kategori kegunaan seperti: produk pelangsing badan, produk rheumatism, produk kesihatan lelaki, produk penahan sakit, produk ubat batuk dan selesma, produk untuk penyakit kulit dan produk pemutih wajah.

 
Selanjutnya, sampel berkenaan akan dianalisa di makmal untuk mengesan bahan-bahan aktif farmaseutikal yang terlarang bagi ubat tradisional dan suplemen kesihatan seperti steroid, diclofenac, sildenafil dan bahan yang ditegah dalam produk kosmetik seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin. Ini adalah selaras dengan kehendak Seksyen 60, Perintah Ubat yang membolehkan pegawai penguatkuasa mengambil sampel bagi tujuan penilaian selajutnya.

 

Pada tahun 2017 sebanyak 100 jenis contoh produk kesihatan dan 100 jenis contoh produk kosmetik telah dihantar bagi penganalisaan makmal. Dari jumlah ini sebanyak 22 produk ubat tradisional dan suplemen Kesihatan telah dikesan dicemari oleh bahan racun berjadual di bawah Akta Racun, Penggal 114 manakala, 24 produk kosmetik mengandungi bahan yang ditegah dalam produk kosmetik.Hasil dari dapatan ini juga dikongsikan bersama dengan Negara ASEAN lain melalui perkongsian ASEAN Post-Market Alert System (ASEAN PMAS).

 

d.    Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan akan dikeluarkan bagi memaklumkan orang ramai mengenai produk ubat, ubat tradisional, produk tambahan kesihatan dan kosmetik yang membahayakan kepada orang ramai. Pada tahun 2017 sebanyak 45 jenis produk yang dicemari dengan racun berjadual dan bahan dilarang telah dimaklumkan kepada orang ramai melalui 12 Siaran Akhbar.

 

7.    Produk-produk yang dicemari ini sama sekali ditegah penjualannya di Negara Brunei Darussalam. Jika didapati masih dipasarkan semasa pemeriksaan, produk-produk ini akan dirampas. Bagi produk-produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan dijual tanpa lesen akan dirampas selaras dengan kehendak Seksyen 10 Perintah Ubat.

 

8.    Produk-produk kosmetik yang tidak dinotifikasi akan diarahkan untuk tidak dipamerkan dan dijual. Penjual adalah dikehendaki untuk menghadapkan permohonan notifikasi ke Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

 

Denda-denda yang boleh dikenakan:

 

9.    Di bawah Perintah Ubat 2007, ianya adalah menjadi kesalahan untuk mengimport, menjual atau memasarkan produk ubat tanpa lesen yang berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $5,000, penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

10.  Sesiapa yang didapati telah menerbitkan atau mengeluarkan iklan atau perlambangan/imej ("representation") yang palsu atau mengelirukan yang berkaitan dengan produk perubatan adalah bersalah di bawah Seksyen 52 Perintah Ubat 2007 dan boleh dihukum dengan denda sebanyak $5,000, penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

 

11.  Para penjual produk kesihatan diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun, Penggal 114 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara.

 

12.  Selain itu, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik dipasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan. Ianya juga adalah kesalahan di bawah Seksyen 11 Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007 untuk mengiklankan produk-produk kosmetik dengan tuntutan bahawa produk kosmetik tersebut mempunyai manfaat terapeutik atau tuntutan yang akan mewujudkan kesan salah mengenai kandungan, kualiti atau keselamatan produk kosmetik tersebut. Jika sesiapa didapati bersalah di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007, ianya boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

13.  Pejabat Peguam Negara ingin mengingatkan orang ramai bahawa pejabat ini mengambil pandangan berat terhadap sesiapa atau orang-orang  yang menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang. Di bawah Seksyen 61 Perintah Ubat 2007, ianya menjadi satu kesalahan untuk sesiapa menghalang mana-mana pegawai kerajaan atau penjawat awam yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang atau dengan sengaja tidak mematuhi atau gagal untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa yang bertindak menurut Perintah Ubat 2007, di mana sesiapa yang didapati bersalah boleh dihukum dengan denda $2,000.



14.  Adalah juga diingatkan bahawa ianya menjadi satu kesalahan untuk memberi keterangan atau maklumat yang palsu di bawah Perintah Ubat 2007 dan, jika didapati bersalah, akan dihukum dengan denda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

15.  Selain daripada peruntukan yang terdapat di bawah Perintah Ubat 2007, ianya juga merupakan kesalahan untuk menghalang mana-mana kakitangan awam daripada menjalankan tugas mereka di bawah Seksyen 186 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 dimana barang siapa dengan senghaja menghalang mana-mana penjawat awam atau pegawai kerajaan yang menjalankan tugas awamnya boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sehingga tiga bulan dan denda yang boleh sampai $2,000 atau kedua-duanya sekali.

16.   Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi suatu kesalahan yang boleh didakwa serta dikenakan suatu denda jika mana-mana pihak penjual atau orang awam yang mengadang, menghalang, mengancam, menganiaya, mengganggu atau menyerang para pegawai penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Perintah Ubat 2007. Dalam pada itu, barang siapa dengan sengaja menghalang mana-mana pengkhidmat awam menjalankan tugas awamnya akan dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 3 bulan, atau denda yang boleh sampai $2,000, atau kedua-duanya. Manakala bagi mereka yang membuat ancaman mencederakan pengkhidmat awam akan dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 5 tahun dan denda selaras dengan Seksyen 186 dan 189 di bawah Kanun Hukum Jenayah (Penggal 22).


Kawalan di Pos-Pos Kawalan Negara Brunei Darussalam:

17.  Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) juga turut sama memainkan peranan  dalam pengawalan kemasukan mana-mana produk kesihatan atau kosmetik ke dalam Negeri ini, iaitu dengan memastikan ianya terlebih dahulu mendapat kebenaran atau permit daripada Unit Farmasi, Kementerian Kesehatan. Mana-mana pengimportan tanpa kebenaran atau permit yang sah akan dirampas dengan mengeluarkan Notice of Seizure (NoS) dan pengimport akan diberi tempoh satu bulan untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Kesehatan dan seterusnya menuntut barangan berkenaan. Jika barangan tersebut tidak dituntut selepas tempoh yang ditetapkan, ianya akan dilupuskan mengikut prosedur Jabatan yang berkuatkuasa pada masa ini.

18.  Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) juga sentiasa meningkatkan kawalan dan pemeriksaan disetiap Pos-Pos Kawalan bagi mengawal dan mencegah sebarang percubaan menyeludup barang sekatan dan tegahan seperti produk kesihatan dan kosmetik masuk ke dalam Negeri ini. JKED juga akan terus memberikan komitmen dan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan bagi memastikan barangan yang dijual adalah sah dari segi pengimportannya.

19.  Agensi-agensi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terlibat dalam penguatkuasaan Perintah Ubat 2007 ini ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai bahawa Pendakwa Raya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang yang dinyatakan di atas, selaras dengan kepentingan awam.


20.  Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan ke atas produk-produk kesihatan yang berkaitan yang dipasarkan di Negara ini dalam menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam. Kementerian ini menyarankan agar semua peniaga produk kesihatan di Negara Brunei Darussalam, termasuk peniaga-peniaga cube dan internet akan sama-sama bersifat bertanggungjawab dan berhati-hati dalam memilih barangan yang dipasarkan di Negara ini bagi mendokong secara berterusan usaha-usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
 

21.  Kementerian Kesihatan ingin menasihati agar pengguna sentiasa berwaspada dalam memilih produk-produk yang hendak dipakai. Pengguna hendaklah meminta nasihat daripada doktor atau ahli farmasi jika hendak mengambil produk-produk kesihatan dan memastikan produk tersebut telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan. Disamping itu, Kementerian ini juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk sentiasa melaporkan kepada Kementerian Kesihatan khususnya Jabatan Perkhidmatan Farmasi jika mendapati produk-produk tegahan dipasarkan di Negara ini.

22.  Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai bolehlah malayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn, facebook/instagram MOHBrunei, atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 

-T A M A T-

Rujukan                   : KK/PR 4/1
Tarikh                      : 21 Jamadilakhir 1439/ 9 Mac 2018
Jam Dikemaskini    : 02:50 petang

Attachments