Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Minister of Health & Entourage Visit Patients' Homes in Ramadhan

LAWATAN YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN DAN ROMBONGAN KE RUMAH-RUMAH PESAKIT YANG MEMERLUKAN BANTUAN, SEMPENA BULAN RAMADHAN 1439H/2018M

 

Khamis, 15 Ramadhan 1439 bersamaan dengan 31 Mei 2018 - Kementerian Kesihatan mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang-barang keperluan asas dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang telah dikenalpasti dan berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan di kawasan Daerah Brunei Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong.

 

Pada tahun ini, seramai 17 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Bahagian Kebajikan Perubatan (Medical Social Worker Division) telah dikenalpasti bagi tujuan lawatan berkenaan. Rombongan lawatan tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu satu kumpulan rombongan di Daerah Brunei Muara, satu kumpulan rombongan di Daerah Belait, satu kumpulan rombongan di Daerah Tutong dan satu kumpulan rombongan di Daerah Temburong.

 

Rombongan lawatan kumpulan pertama bagi Daerah Brunei Muara telah diketuai oleh Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan. Manakala, di Daerah Belait rombongan diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; rombongan di Daerah Tutong diketuai oleh Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan; dan rombongan di Daerah Temburong pula diketuai oleh Yang Mulia Awang Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan.

 

Aktiviti lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti kebajikan tahunan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kebajikan Perubatan bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul dari Tabung Bantuan Amal Pesakit Bahagian Kebajikan Perubatan yang diperolehi dari sumbangan ikhlas daripada warga Kementerian Kesihatan, serta dari Pusat Tingkatan Enam Meragang, persatuan-persatuan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.


Bahagian Kebajikan Perubatan adalah antara bahagian yang memainkan peranan penting dalam membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dari segi sosio-ekonomi mereka. Dalam pada itu, keprihatinan serta sumbangan yang dihulurkan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan disamping dapat memberikan dorongan dan galakkan kepada orang ramai, persatuan-persatuan dan pihak swasta untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.


Turut serta dalam lawatan amal ini ialah Ketua-Ketua Jabatan Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai perubatan, jururawat-jururawat dan kakitangan Hospital berserta dengan anggota daripada Persatuan Kesihatan Bersekutu (Allied Health Association); Persatuan Perubatan Brunei (Brunei Medical Association); Brunei Darussalam Association Medical Laboratory Scientist (BAMLS); Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam; Kelab Wanita Antarabangsa Brunei (International Women Club Brunei); dan Persatuan Siswazah Wanita.

 

 

-TAMAT-

 

Tarikh             : 15 Ramadhan 1439 / 31 Mei 2018

Rujukan           : KK/PR/3/1    

Attachments