Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Health Advisory on Japanese encephalitis (JE)

MAKLUMAT KESIHATAN MENGENAI PENYAKIT BAWAAN NYAMUK JAPANESE ENCEPHALITIS (JE)


1.    Berikutan penularan mesej melalui aplikasi Whatsapp berhubung sebuah artikel yang dikeluarkan di dalam akhbar negara jiran mengenai keadaan penyakit Japanese encephalitis (JE) di negara tersebut, Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa jangkitan virus tersebut memang didapati di rantau ini termasuk di Negara Brunei Darussalam.  Walaubagaimanapun, tidak ada kes penyakit ini dilaporkan di Negara Brunei Darussalam dari tahun 2016 sehingga kini. Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas dan panik.


2.    Jangkitan Japanese encephalitis (JE) ialah sejenis jangkitan virus yang dibawa oleh nyamuk, serupa dengan jangkitan yang menyebabkan demam denggi dan malaria.  Virus Japanese encephalitis (JE) dibawa oleh nyamuk jenis Culex yang boleh didapati di kebanyakkan tempat di Negara Brunei Darussalam. Nyamuk ini sering membiak di pemukaan air yang bertakung seperti di dalam longkang yang kotor, paya dan lopak tanah yang berlumpur. Hasil daripada pemantauan berterusan Kementerian ini, pembiakannya didapati meningkat berlipat-ganda semasa musim hujan. Lazimnya, nyamuk ini akan keluar di antara waktu senja hingga tengah malam.



 3.    Di antara tahun 2013 hingga 2015, sebanyak 17 kes jangkitan virus Japanese encephalitis (JE) telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam. Alhamdulillah, kesemua pesakit yang telah dijangkiti telah pulih sepenuhnya.


4.    Menurut kajian perubatan, kebanyakkan kes jangkitan virus Japanese encephalitis (JE) tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau simptom. Walaubagaimanapun, sebahagian kecil pesakit, terutama di kalangan kanak-kanak dan warga emas, boleh mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, mual dan muntah. Jika tidak dirawat, jangkitan ini juga boleh menjejaskan keadaan mental dan menyebabkan simptom neurologi atau urat saraf, lemah dan gangguan pada pergerakan badan selepas beberapa hari. Sawan juga boleh berlaku terutama sekali di kalangan kanak-kanak.


 5.    Sejauh ini tidak ada rawatan khusus bagi merawat jangkitan virus Japanese encephalitis (JE). Rawatan pesakit-pesakit adalah lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan serta pemantauan rapi di hospital, jika diperlukan.  Walaubagaimanapun jangkitan ini boleh dicegah melalui suntikan vaksin Japanese encephalitis (JE). Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, suntikan vaksin Japanese encephalitis (JE) diberikan secara percuma kepada penduduk dan penduduk tetap negara ini manakala kadar bagi orang asing ialah BND55.00. Orang ramai yang memerlukan vaksin tersebut boleh mendapatkannya dari pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara.


6.    Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi penyakit Japanese encephalitis (JE) dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada negara-negara jiran dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kementerian Kesihatan juga akan memaklumkan perkembangan mengenai situasi penyakit ini yang dilapurkan di negara jiran berkenaan kepada orang ramai jika jangkitan-jangkitan semakin meningkat dan membimbangkan.  


 7.    Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan persekelilingan dan tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan pembiakan nyamuk-nyamuk pembawa penyakit.  Ini termasuklah sentiasa membersihkan longkang dan memastikan tidak berlakunya takungan-takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.


8.    Bagi sebarang pertanyaan tentang penyakit Japanese encephalitis (JE) ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Talian Darussalam 123.

  

-TAMAT-

 

Tarikh: 17 Syawal 1439H / 1 Julai 2018M

Rujukan: KK/PR/3

 

Attachments