Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Ministry of Health and Ministry of Finance Dismisses The Viral News About Fragrant Rice Containing Neonicotinoids

‚Äčpanji.png

SIARAN AKHBAR

PENGUMUMAN PALSU YANG TELAH DISEBARKAN MENGENAI BERAS WANGI YANG MENGANDUNGI 'NEONICOTINOIDS'

 

Berikutan dengan penyebaran maklumat baru-baru ini mengenai Beras Wangi yang Mengandungi 'Neonicotinoids' yang disebarkan melalui aplikasi media sosial Whatsapp yang mana juga menghendaki orang ramai untuk mengelakkan menggunakan beras tersebut kerana mengandungi tahap tinggi kimia 'neonicotinoids', Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan adalah TIDAK BENAR dan TIDAK PERNAH DIKELUARKAN oleh pihak Kementerian Kesihatan. MAKLUMAT PALSU tersebut juga memuatkan logo dan laman sesawang Kementerian Kesihatan dengan tujuan untuk membuatkan makluman tersebut kelihatan rasmi dan seolah-olah ianya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

 

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Perbendaharaan dalam usahanya memastikan beras-beras yang dibekalkan ke negara ini adalah selamat di mana setiap penghantaran beras ke Negara ini adalah disertakan dengan Phytosanitary Certificate daripada Ministry of Agriculture, Forestry and Fisheries, Cambodia dan Minisitry of Agriculture  and Cooperatives, Bangkok Thailand dan Certificate of Quality yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di negara-negara berkenaan sebagaimana yang dikehendaki di dalam kontrak perjanjian.

 

Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya. Seterusnya orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak berasas.

 

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak BND3,000.

 

Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn, menghubungi Talian Darussalam 123, emel kepada env.health@moh.gov.bn atau menghubungi Jabatan Perbendaharaan pada waktu pejabat menerusi talian 2383444 atau menerusi emel ppp@treasury.mof.gov.bn.

 

-TAMAT-

 

Rujukan                  : KK/PR/4

Tarikh                     : 8 Ogos  2018


Attachments