Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Minister of Health attends Ministerial Conference on Diabetes, Singapore

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENGHADIRI PERSIDANGAN MENTERI-MENTERI MENGENAI DIABETIS

26 - 27 November 2018, Singapura.

 

Isnin, 18 Rabiulawal 1440H / 26 November 2018 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan bersama beberapa orang Pegawai Kanan daripada Kementerian Kesihatan sedang menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Mengenai Diabetis yang diadakan pada 26 hingga 27 November 2018 di Singapura.

 

Persidangan Menteri-Menteri Mengenai Diabetis merupakan persidangan antarabangsa yang menjadi landasan bagi pertukaran pengetahuan dan amalan-amalan terbaik menangani penyakit diabetis, disamping sebagai sesi pengongsian maklumat mengenai perkembangan usaha-usaha global dalam pengawalan dan pencegahan penyakit diabetis. Persidangan Menteri-Menteri tersebut adalah buat pertama kalinya diadakan di Singapura dan dihadiri oleh  sebanyak 18 buah negara dan 12 Menteri-Menteri Kesihatan termasuk dari negara-negara ASEAN, Finland, Papua New Guinea dan Tonga, serta Pegawai-Pegawai Kerajaan Kanan, Akademia dan wakil-wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan World Bank. Antara lain, persidangan tersebut membincangkan agenda berkenaan dengan langkah-langkah untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha bagi memberigakan kepentingan serta manfaat di dalam pengurusan dan pencegahan penyakit diabetis di peringkat global; mengenal pasti strategi-strategi yang berkesan serta cost-effective untuk memperkuatkan lagi sistem kesihatan dan perkhidmatan penjagaan untuk mencegah penyakit diabetis; berkongsi maklumat mengenai amalan serta pengalaman mengenai faktor-faktor risiko penyakit diabetis yang dapat dicegah; dan membina kapasiti bagi kepentingan pihak awam untuk mengamalkan cara hidup sihat. Ianya juga dihasratkan untuk mengukuhkan lagi kerjasama bidang kesihatan antara negara-negara dan mendokong komitmen di peringkat antarabangsa terutamanya bagi mencapai "Sustainable Development Goal (SDG) 3 – Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages".

 

Persidangan tersebut telah dirasmikan dengan ucaptama daripada Mr Tharman Shanmugaratnam, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi dan Sosial, Singapura, disamping ucaptama daripada Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Director-General, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan wakil-wakil lain daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

 

Pada persidangan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah dijemput sebagai ahli panel bagi sesi panel yang bertajuk The Diabetes Epidemic: Current Situation, Challenges and Opportunities. Ketika sesi tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, antara lain telah mengongsikan gambaran penyakit diabetis di Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Kementerian Kesihatan dalam langkah-langkah pengawalan dan pencegahan penyakit diabetis. Yang Berhormat Menteri Kesihtan juga menyatakan komitmen Kementerian Kesihatan, dengan penglibatan agensi-agensi Kerajaan lain, sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan, dalam meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran orang awam dalam mengurangkan faktor-faktor risiko serta menyediakan rawatan dan penjagaan yang berkesan bagi penyakit diabetis. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga telah menekankan bahawa penyakit diabetis adalah penyakit cara hidup dan perubahan ke cara hidup sihat merupakan langkah terbaik dalam pencegahan penyakit diabetis. Masyarakat perlu membuat perubahan minda dan tingkah laku dari usia muda lagi bagi menjamin kesihatan masyarakat dimasa hadapan. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga telah dijemput untuk menyertai sesi Ministerial Roundtable yang telah membincangkan mengenai tema-tema yang berkaitan dengan  innovasi, social mobilisation dan kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta rombongan juga telah berkesempatan membuat lawatan ke Diabetes and Metabolism Centre di Singapore General Hospital (SGH) sebagai kesinambungan kepada persidangan tersebut.

 

 

 

 

-T A M A T-

Tarikh   : 18 Rabiulawal 1440H/26 November 2018

Rujukan : KK/PR/2

Attachments