Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Health And Cosmetic Products Found Adulterated

PRODUK KESIHATAN DAN KOSMETIK DIDAPATI DICEMARI DENGAN BAHAN TERLARANG

 

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan satu produk ubat kesihatan dan satu produk kosmetik yang mana hasil dari ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Scientific, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk-produk tersebut telah dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

 

Produk kesihatan berkenaan adalah seperti berikut:

 

No.Nama ProdukPengilangDicemari dengan
1.BUSABA CapsuleTidak DinyatakanBisacodyl

 

Manakala produk Kosmetik tercemar yang berkenaan adalah:

 

No.Nama ProdukPengilangDicemari dengan
1.BEAUTéDERM Underarm Peeling CreamTidak DinyatakanHydroquinone

 

Bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

 

Biscodyl adalah ubat yang dimakan untuk merawat sembelit. Penggunaanya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kekejangan perut, merasa mual, muntah-muntah, cirit-birit dan hypokalaemia (tahap potassium yang rendah).

 

Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

 

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

 

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk-produk tersebut dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

 

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera. 

 

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika diadapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara dan adalah juga diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik dipasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

 

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.

 

-T A M A T-

 

Rujukan       : KK/PR/3

Tarikh         : 12 Disember 2018M / 4 Rabiulakhir 1440H

Attachments