Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Hand Hygiene Awareness Campaign

KEMPEN KESEDARAN KEBERSIHAN TANGAN 2019

(HAND HYGIENE AWARENESS CAMPAIGN 2019)

HOSPITAL RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK SALEHA

 

Bandar Seri Begawan, Isnin 8 Jamadilawal 1440H / 14 Januari 2019 – Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kementerian Kesihatan dalam usahanya untuk menitikberatkan pengamalan kebersihan tangan ('clean hands'), hari ini melancarkan Kempen Kesedaran Kebersihan Tangan 2019 dengan bertemakan #TanganBersihElakJangkitan (Tangan Bersih Elak Jangkitan) bertempat di Lobi 5, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Antara tujuan Kempen Kesedaran Kebersihan Tangan 2019 ini diadakan ialah untuk:

  1. meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya menjaga kebersihan tangan dalam mengurangkan risiko jangkitan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan di kalangan pegawai dan kakitangan hospital, pesakit-pesakit dan pelawat-pelawat hospital;
  2. membudayakan amalan membersihkan tangan semasa berada di dalam hospital;
  3. meningkatkan kemampanan pematuhan kakitangan hospital terhadap kebersihan tangan; dan
  4. meningkatkan keselamatan dan kualiti pemberian perkhidmatan penjagaan pesakit  di dalam hospital.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan. Ketibaan Tetamu Kehormat dijemput oleh ahli-ahli jawatankuasa Kempen yang diketuai oleh Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Lobi 5, hospital berkenaan.



Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dan diikuti dengan ucapan Tetamu Kehormat dan seterusnya merasmikan Kempen Kesedaran Kebersihan Tangan 2019.


Majlis diteruskan dengan penyampaian buku Dasar Pembersihan Tangan Kementerian Kesihatan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan kepada Ketua-Ketua Perkhidmatan Hospital dan Ketua-Ketua Perkhidmatan Kesihatan dan disusuli dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para penaja kempen.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menunjukkan "6 Langkah Pembersihan Tangan" yang betul dan menyaksikan pameran, diikuti dengan perasmian kiosk-kiosk jualan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan membuat lawatan ke beberapa wad tertentu bagi menyampaikan risalah menjaga kebersihan tangan kepada para pesakit.



Turut hadir pada majlis ini ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar & Pengurusan), pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan ahli-ahli Lembaga Pelawat Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.



-TAMAT-

Rujukan          : KK/PR 4/1
Tarikh            : 8 Jamadilawal 1440 / 14 Januari 2019


Attachments