Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Program Mukim Sihat livens Mukim Pekan Kuala Belait

PROGRAM MUKIM SIHAT BAGI MUKIM PEKAN KUALA BELAIT


Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait mengadakan Program Mukim Sihat bagi Mukim Kuala Belait pada hari ini, Ahad, 21 Jamadilawal 1439H bersamaan 27 Januari 2019M bertempat di Taman Riadah Jubli Emas, Kuala Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan isteri, Yang Mulia Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.


Tujuan Program Mukim Sihat ini diadakan adalah bagi:

 

  1. Meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai isu-isu kesihatan seperti amalan cara hidup sihat dan penyakit-penyakit tidak berjangkit, serta mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan untuk orang ramai di hospital dan pusat-pusat kesihatan, perkhidmatan pergigian, klinik mata dan seumpamanya;
  2. Memperkasa masyarakat setempat untuk mengamalkan amalan cara hidup sihat secara berterusan seperti mengamalkan permakanan yang sihat, melakukan kegiatan fizikal secara tetap dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang membawa risiko tinggi kepada kesihatan seperti merokok; dan
  3. Menjadikan amalan cara hidup sihat sebagai satu inisiatif yang diungkayahkan serta dimiliki oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampong sendiri (ownership).
     

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama majlis, Yang Mulia Awang Haji Abdul Malik bin Haji Abu Bakar, Pemangku Penghulu Mukim Kuala Belait dan Ketua Kampong Pandan 'B'. Majlis seterusnya disusuli dengan ucapan Tetamu Kehormat, seterusnya menyampaikan Anugerah Warga Emas Contoh dan penyampaian sijil-sijil lantikan bagi Duta Kesihatan di Mukim Kuala Belait oleh Tetamu Kehormat Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Antara aktiviti-aktiviti Program Mukim Sihat pada pagi ini termasuklah acara Basikalton; beberapa acara serentak iaitu walkaton sejauh 4km dan senamrobik; aktiviti pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan penjualan produk-produk kampong kelolaan Majlis Perundingan Mukim dan Kampong dari Mukim Kuala Belait.

     

    Dengan adanya Program Mukim Sihat ini, Kementerian Kesihatan berhasrat agar Program ini bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan silaturrahim di kalangan penduduk setempat, malah juga dapat memupuk kerjasama di antara pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dengan pihak bukan kerajaan, swasta dan orang ramai bagi memperkesankan lagi komitmen dalam menerapkan cara hidup sihat sebagai budaya kehidupan seharian.

     

 

 

-TAMAT-

 

 

Tarikh             : 21 Jamadilawal 1439H / 27 Januari 2019M

Rujukan           : KK/PR 3/1

 

 

 


Attachments