Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Current HFMD situation in Brunei Darussalam

SITUASI PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD)

 

1.            Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa pemantauan penyakit berjangkit oleh kementerian ini telah mengesan peningkatan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Negara Brunei Darussalam dalam masa beberapa minggu kebelakangan.

 

2.            Dari 1 Januari 2019 hingga 26 Januari 2019, jumlah kes HFMD yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 319 kes berbanding dengan jumlah purata tiga tahun kebelakangan (2016-2018) dalam tempoh yang sama iaitu sebanyak 140 kes sahaja. 80% dari semua kes yang telah dilaporkan adalah dikalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. Sejauh ini tidak ada kes kematian dicatatkan akibat penyakit HFMD telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

 

3.            Penyakit HFMD adalah merupakan salah satu jangkitan yang biasa dihidap oleh kanak-kanak, terutama sekali yang berumur di bawah 5 tahun. Tanda-tanda penyakit termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut (mouth sores dan ulcers) iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi juga kerap dialami. Jangkitan ini adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh merebak dari seorang ke seorang melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan. Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti oleh virus-virus tersebut yang boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

 

4.            Sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan HFMD:

 

    • Sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan air yang bersih dan menggunakan cecair pembersih tangan atau sabun selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau apa jua jenis pekerjaan rumah;

       
    • Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran termasuk di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak dan sekolah;

       
    • Tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain. Mereka juga adalah dinasihatkan untuk tidak dibawa ataupun pergi ke tempat-tempat awam seperti pasar raya, kompleks membeli belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain; dan

       
    • Membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.

       
       

5.            Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

 

6.            Untuk maklumat lanjut mengenai dengan penyakit ini, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123, melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau melalui Facebook/Instagram @MOHBrunei.

 
 

-TAMAT-


 

Tarikh          : 2 Februari 2019 / 27 Jamadilawal 1440

Rujukan       : KK/PR/3

Attachments