Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

LAUNCH of New Uniform for Nurses

PELANCARAN PAKAIAN SERAGAM YANG BARU BAGI PERKHIDMATAN KEJURURAWATAN KEMENTERIAN KESIHATAN

 

Rabu, 29 Jamadilakhir 1440H / 06 Mac 2019 – Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan melancarkan pakaian seragam yang baru bagi jururawat-jururawat berkenaan yang diadakan pada petang ini, Rabu 06 Mac 2019 bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan. Turut hadir pada majlis ini ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Pg Dr Haji Md Khalifah bin Pg Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

 

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Bersama dan seterusnya ucapan dari Tetamu Kehormat. Majlis seterusnya ialah Pelancaran Pakaian Seragam Yang Baru oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan tayangan video klip yang mana mengimbas kembali sejarah pakaian seragam kejururawatan yang lama dan menayangkan pakaian seragam yang baru. Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyampaikan pakaian seragam yang baru kepada Ketua-Ketua Perkhidmatan Kejururawatan di Kementerian Kesihatan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Norasilin bin Hj Puting, Ketua Bahagian Keugamaan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

 

Di Negara Brunei Darussalam, kerjaya kejururawatan telah bermula sejak Oktober 1953 dengan tertubuhnya Sekolah Kejururawatan pada ketika itu. Profesion kejururawatan merupakan profesion yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi terkini dalam bidang perubatan dan kesihatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak dunia perubatan semasa. Profesion kejururawatan juga adalah profesion yang mempromosikan kesihatan dan membantu pesakit dalam mencapai tahap kesihatan yang lebih baik, di samping membantu pesakit yang tenat dalam mengekalkan kesejahteraan mereka.

 

Pakaian seragam yang baru ini adalah sebagai pengenalan diri yang dibezakan dengan pelbagai warna bagi setiap jururawat mengikut jawatan yang dijawat seperti yang terdapat di dalam Skim Perkhidmatan Kejururawatan. Setiap pakaian seragam juga dilengkapi dengan Logo Kementerian Kesihatan dan bagi jururawat perempuan, ianya juga dilengkapi dengan tudung.

 

Setakat ini, seramai 2,451 orang jururawat sedang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, iaitu 464 orang jururawat lelaki dan 1,886 orang jururawat perempuan. Dengan adanya pakaian seragam yang baru diperkenalkan ini, ianya diharap akan dapat mempertingkatkan lagi mutu kerja serta layanan kepada pesakit dan juga dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada jururawat yang bertugas.

-TAMAT-

 

Rujukan         : KK/PR 4/1

Tarikh            : 29 Jamadilakhir 1440H / 06 Mac 2019M


Attachments