Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

173 Smoking Offences Recorded in 3 Months

DENDA KOMPAUN MEROKOK DI TEMPAT AWAM

(PERINTAH TEMBAKAU 2005 DAN PERATURAN-PERATURANNYA)

 

Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah mencatit sebanyak 173 kesalahan Perintah Tembakau 2005 dalam masa tiga bulan pertama tahun 2019. Dari jumlah kesalahan tersebut, 172 orang telah dikenakan denda kompaun kerana didapati merokok di tempat-tempat yang ditegah merokok di bawah Bab 10(1) dan Bab 14(2) Perintah Tembakau 2005. Jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah meningkat sebanyak 11.8% berbanding dengan jangkamasa yang sama pada tahun 2018. Dari jumlah kesalahan tersebut, 166 orang adalah lelaki manakala 7 orang adalah perempuan. Ini termasuk seorang remaja di bawah umur 18 tahun yang telah didapati merokok dan diwajibkan untuk mendaftar serta menghadirkan diri di Klinik Berhenti Merokok di mana-mana Pusat Kesihatan yang tertentu untuk mengikuti Program Berhenti Merokok.

 

Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturannya memperuntukkan bagi larangan merokok di tempat-tempat awam yang bertujuan untuk mengawal tabiat merokok serta bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok. Dalam usaha meningkatkan keberkesanan tindakan di bawah Perintah tersebut, tindakan tegas terhadap mereka yang didapati merokok di tempat-tempat yang ditegah akan diambil oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan mengenakan denda kompaun sebanyak $300 bagi kesalahan merokok di tempat-tempat yang ditegah bagi kesalahan pertama. Sementara itu, denda kompaun sebanyak $500 pula akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati melakukan kesalahan kali kedua dan seterusnya.

 

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai bahawa di antara kawasan-kawasan awam yang ditegah merokok termasuklah bangunan-bangunan Kerajaan, kaki lima kedai, pusat membeli belah, pasar, gerai, tamu, stesen bas, perhentian bas, restoran, kedai makan dan di dalam lingkungan 6 meter dari garisan bangunan di mana merokok adalah ditegah.

 

Kementerian Kesihatan seterusnya menyeru semua stakeholders termasuk orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab dan komited untuk memberhentikan tabiat merokok sekarang demi menyelamatkan nyawa dan menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.

 

Orang ramai boleh melaporkan kegiatan merokok di tempat-tempat awam yang telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok kepada Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan di talian hotline 7192005 atau emel kepada health.enforcement@moh.gov.bn.

 

 

-TAMAT-

   

 

 

Tarikh    :   29 Rejab 1440 / 05 April 2019

Rujukan :   KK/PR/3

 


Attachments