Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Ministry of Health Visits 22 Patients' Houses in Ramadhan

LAWATAN YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN DAN ROMBONGAN KE RUMAH-RUMAH PESAKIT YANG MEMERLUKAN BANTUAN, SEMPENA BULAN RAMADHAN 1440H/2019M

 

Ahad, 06 Ramadhan 1440 bersamaan dengan 12 Mei 2019 - Kementerian Kesihatan mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, makanan serta barang-barang keperluan asasi dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang telah dikenalpasti dan berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan di kawasan Daerah Brunei Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong.

 

Pada tahun ini, seramai 22 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Bahagian Kebajikan Perubatan (Medical Social Worker Division) telah dikenalpasti bagi tujuan lawatan berkenaan. Rombongan lawatan tersebut dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu dua kumpulan rombongan di Daerah Brunei Muara, satu kumpulan rombongan di Daerah Belait, satu kumpulan rombongan di Daerah Tutong dan satu kumpulan rombongan di Daerah Temburong.

 

Rombongan lawatan kumpulan pertama bagi Daerah Brunei Muara diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, yang melawat seramai 5 orang pesakit. Manakala rombongan lawatan kumpulan kedua bagi Daerah Brunei Muara pula diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, yang melawat seramai 4 orang pesakit.

 

Di Daerah Tutong, rombongan lawatan diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, yang melawat seramai 4 orang pesakit; rombongan di Daerah Belait pula diketuai oleh Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, yang melawat seramai 5 orang pesakit; manakala rombongan di Daerah Temburong pula diketuai oleh Yang Mulia Pg Dr Haji Md Khalifah bin Pg Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, yang melawat seramai 4 orang pesakit.

 

Aktiviti lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti kebajikan tahunan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kebajikan Perubatan bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul dari Tabung Bantuan Amal Pesakit Bahagian Kebajikan Perubatan yang diperolehi dari sumbangan ikhlas daripada warga Kementerian Kesihatan, persatuan-persatuan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.

Bahagian Kebajikan Perubatan adalah antara bahagian yang memainkan peranan penting dalam membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dari segi sosio-ekonomi mereka. Dalam pada itu, keprihatinan serta sumbangan yang dihulurkan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di samping dapat memberikan dorongan dan galakkan kepada orang ramai, persatuan-persatuan dan pihak swasta untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Turut serta dalam lawatan amal ini adalah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negera yang dilantik dari zon-zon daerah yang berkenaan, pengarah-pengarah di Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan; pegawai-pegawai perubatan; jururawat-jururawat; kakitangan Hospital; berserta dengan anggota-anggota daripada Persatuan Kesihatan Bersekutu (Allied Health Association); Persatuan Perubatan Brunei (Brunei Medical Association); Brunei Darussalam Society of Anaesthesiologists (BSA); dan Brunei Darussalam Association of Medical Laboratory Scientists (BAMLS); dan beberapa syarikat swasta termasuk La Vida; Borneo United Enterprise Sdn Bhd; Osco Sdn Bhd; Hong Kiat Trading & Company; Medicorp Sdn Bhd; Serikandi Group of Companies; Bayu Ilham Motors Sdn Bhd; dan Rentokil Initial (B) Sdn Bhd.

 

 

 

-TAMAT-

 

Tarikh             : 6 Ramadhan 1440 / 12 Mei 2019

Rujukan           : KK/PR/3/1    


Attachments