Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

DOA Selamat for Haj Medical Team 1440H/2019M

MAJLIS DOA SELAMAT BAGI ROMBONGAN PEGAWAI-PEGAWAI PERUBATAN HAJI DAN BAKAL-BAKAL JEMAAH HAJI KEMENTERIAN KESIHATAN BAGI TAHUN 1440 HIJRAH BERSAMAAN 2019 MASIHI


Khamis, 29 Syawal 1440 bersamaan 04 Julai 2019 – Bagi sama-sama meraikan rombongan Bithah Haji Perubatan dan warga Kementerian Kesihatan yang bakal menunaikan Fardu Haji pada tahun ini, Kementerian Kesihatan hari ini mengadakan Majlis Doa Selamat Bagi Rombongan Pegawai-Pegawai Perubatan dan Jemaah Haji berkenaan yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan. Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan Kementerian Kesihatan yang diadakan setiap tahun.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Rombongan Perubatan Haji bagi Musim Haji 1440 Hijrah iaitu Yang Mulia Dr. Haji Adi Adilah bin Haji Ahmad. Rombongan seramai 20 orang pegawai-pegawai perubatan haji tersebut terdiri daripada enam (6) pegawai perubatan dan empat belas (14) pegawai kejururawatan. Seperti lazimnya, sebahagian dari pegawai-pegawai perubatan haji ini akan bertolak lebih awal dan yang lainnya akan mengiringi Jemaah di setiap penerbangan.

 

Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma oleh Tetamu Kehormat kepada bakal-bakal haji iaitu seramai lapan belas (18) orang lelaki dan dua puluh lapan (28) orang perempuan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Nor Asilin bin Haji Puting, Ketua Bahagian Keugamaan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional); Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan); Yang Mulia Pg Dr Haji Md Khalifah bin Pg Haji Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perubatan dan Kesihatan; pengarah-pengarah, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

-TAMAT-

Rujukan             : KK/PR /3/1

Tarikh               : 29 Syawal 1440H / 4 Julai 2019M

Attachments