Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Five Food Products Contaminated With Controlled Substances

PENARIKAN BALIK KE ATAS PRODUK MAKANAN  YANG DICEMARI BAHAN TERKAWAL


1.            Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa lima produk makanan telah didapati mengandungi bahan racun berjadual terkawal iaitu Sibutramine dan Tadalafil yang boleh membahayakan kesihatan. Dapatan ini adalah hasil dari ujian makmal yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas beberapa contoh produk makanan yang diambil dari pasaran tempatan. Penggunaan bahan-bahan berkenaan di dalam makanan adalah ditegah di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan Awam (Makanan), (P1 Penggal 182) dan di bawah Akta Racun 1956 (Penggal 114).

 

2.            Produk-produk yang terbabit ialah seperti berikut:

 

No.Nama ProdukPengilang/ PengedarDicemari dengan:
1.BizzibodyDas Health & Cosmetics Enterprise (Malaysia)Sibutramine
2.Choco Fit Body Perfector Resources (Malaysia)Sibutramine
3.Hamer (Ginseng & Coffee) Red PackagingTidak ada maklumat pengilang/pengedarTadalafil
4.Hamer (Ginseng & Coffee) Gold PackagingTidak ada maklumat pengilang/pengedarTadalafil
5.Al-Ambiak Cefe, Natural Herbs Coffee Kopi Panggung Al-AmbiakAmbiak Enterprise Sdn Bhd (Malaysia)Tadalafil

 

 

3.            Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati. Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan advers (adverse effects) yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ianya boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

 

4.            Tadalafil adalah bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1956 (Penggal 114) dan digunakan bagi merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi dan pengawasan doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan bahan terkawal berkenaan ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang serius, ia juga boleh menyebabkan degupan jantung yang tinggi, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

 

5.            Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya:

 

  • Para pengguna yang memiliki produk terbabit (jika ada) hendaklah menghentikan pengambilannya dan hendaklah menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar atau Pejabat-Pejabat Kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan; dan

 

  • Para pengimport dan peniaga hendaklah menarik balik produk terbabit dari pasaran dan menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar atau Pejabat-Pejabat Kesihatan di daerah-daerah juga untuk dimusnahkan.

 

6.            Kementerian ini ingin memaklumkan bahawa sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta Kesihatan Awam (Makanan) (Penggal 182) bahawa sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dipenjara selama 5 tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.

 

7.            Orang ramai juga diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta Racun 1956 (Penggal 114) untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan. Sesiapa yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam (6) bulan, jika didapati bersalah. Selain itu, sesiapa yang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, boleh didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara, jika didapati bersalah.

 

8.            Maklumat lanjut mengenai pengimportan produk makanan boleh diperolehi dari:

 

Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan

Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar

Kementerian Kesihatan

 

No. Tel: 2237417

No. Faks.: 2237467

 

Manakala maklumat lanjut mengenai bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun boleh diperolehi dari:

 

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi,

Jabatan Perkhidmatan Farmasi,

Tkt 1 Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi

Kg Madaras

Negara Brunei Darussalam.

 

No. Tel: 2393298 sambungan 208

No. Faks: 2393291

E-mel: pharmacy.enforcement@moh.gov.bn

 

 

 

 

-T A M A T-

 


Rujukan           : KK/PR/3

Tarikh             : 16 Zulkaedah 1440 / 19 Julai 2019




Annex - Bizzibody etc (1).jpg

Annex - Bizzibody etc (2).jpg

Annex - Bizzibody etc (3).jpg




Attachments