Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

MINISTRY of Health's Strategic Plan 2019-2023

MAJLIS PELANCARAN

PELAN STRATEGIK KEMENTERIAN KESIHATAN 2019 – 2023


Isnin, 9 Muharram 1441H / 9 September 2019 – Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2019 – 2023 bagi Kementerian Kesihatan telah diadakan pada hari ini, 9 Muharram 1441 bersamaan 9 September 2019, bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan Pelan Strategik tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Md Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Penghasilan Pelan Strategik 2019-2023 ini dihasrat untuk memberikan hala tuju kepada mengukuhkan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih berkualiti, efektif, efisien, responsif, saksama dan mudah diperolehi selaras dengan konsep liputan penjagaan kesihatan menyeluruh (universal health coverage). Penyediaan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan ini juga adalah sebagai tanda dokongan pihak Kementerian Kesihatan kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dalam ucapan perasmiannya menyatakan mengenai lima matlamat strategik (strategic goals) yang diberi fokus dalam pelan strategik tersebut seperti berikut:

  1. Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan yang Cemerlang (Excellence in Health Care Services);
  2. Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (Prevention and Control of Noncommunicable Diseases);
  3. Perlindungan Kesihatan Awam melalui Dasar-dasar dan Peraturan-peraturan yang Berkesan (Protection of Public Health through Effective Policies and Regulations);
  4. Kedayatahanan melalui Penggunaan Sumber yang Optima dan Inovasi (Sustainability through Resource Optimisation and Innovation); dan
  5. Urustadbir yang Telus dan Proaktif (Transparent and Proactive Governance).

     

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyatakan berhubung tema Pelan Tindakan tersebut iaitu Pelaburan untuk Masa Hadapan (Investing For Our Future). Pelaburan terbaik dalam jangka panjang ialah untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan yang meliputi sektor awam dan juga swasta; membentuk kerjasama padu dengan penglibatan semua lapisan masyarakat di samping untuk sentiasa meletakkan agenda kesihatan sebagai landasan kepada pembangunan berdayatahan; dan, menggerak bagi perlaksanaan kesihatan dalam semua dasar (health in all policies) melalui pendekatan whole-of-nation.

 

 

Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengalu-alukan penyediaan rangka kerja dan mekanisme pemantauan perlaksanaan Pelan Strategik termasuk menggunakan pendekatan seperti yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melalui ukuran petunjuk dan sasaran kesihatan (health indicators and targets). Sasaran bagi tempoh 5 tahun iaitu menjelang 2023 telah dirancang bersesuaian dengan inisiatif-inisiatif dan pelan-pelan tindakan yang diatur meliputi sukat-sukat mengenai status kesihatan rakyat dan penduduk; pengawalan faktor risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit; dan liputan sistem dan perkhidmatan kesihatan negara. Ukuran petunjuk dan sasaran kesihatan ini juga adalah selaras dengan komitmen dan dokongan negara dalam pencapaian sasaran Matlamat Pembangunan Berdayatahan 2030 (United Nations Sustainable Development Goals 2030) mengenai kesihatan.

 

Acara majlis turut memuatkan video ucapan tahniah dari Tuan Yang Terutama Dr Takeshi Kasai, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Rantau Pasifik Barat dan penyampaian buku Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019 – 2023 kepada Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan di Kementerian Kesihatan. Majlis juga diserikan dengan perlafazan ikrar oleh pegawai-pegawai yang baru berkhidmat di Kementerian Kesihatan, yang diketuai oleh Yang Mulia Md Fakhri bin Mumin, Pegawai Penjaga Zat Makanan, Kementerian Kesihatan.

 

Hadir sama di Majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegwai kanan dan profesional kesihatan dari pelbagai jabatan dan perkhidmatan di bawah Kementerian Kesihatan.

Buku Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019 – 2023 bolehlah dimuat-turun melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn.

-TAMAT-

 

 

Rujukan          : KK/PR 4/1

Tarikh              : 9 Muharram 1441 / 9 September 2019



Attachments