Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

MOH Held a Muzakarah Session with Members of Legislative Council (LegCo)

SESI MUZAKARAH KEMENTERIAN KESIHATAN BERSAMA 

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA

 

Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara diadakan pada hari ini, Isnin, 14 Rabiulawal 1441 bersamaan 11 November 2019 bertempat di Tutorial Room 1 & 2, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

 

Seramai 16 orang Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara menghadiri Sesi Muzakarah tersebut yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

 

Sebelum sesi Muzakarah dimulakan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dibawa melawat ke beberapa perkhidmatan dan kemudahan baru yang diubahsuai di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi meninjau secara dekat perkembangan terkini dari perkhidmatan-perkhidmatan tersebut iaitu; Pusat Jantung (Heart Centre); Wad 4 – Unit Perubatan Akut (Acute Medical Unit); Jabatan Kecemasan (Emergency Department); Pusat Endokrin (Endocrine Centre); dan Farmasi Pesakit Luar (Outpatient Pharmacy).

 

Sesi Muzakarah dimulakan dengan bacaan Surah Al-fatihah & doa selamat dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan, selaku Pengerusi Majlis Muzakarah ini.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan antaralain menyentuh mengenai pengaruh yang sangat ketara bagi perkembangan sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan pada masa ini iaitu dari sudut kemunculan epidemik penyakit-penyakit tidak berjangkit dan juga perubahan demografi penduduk. Selain itu, isu-isu kesihatan awam yang berbangkit dari ancaman penyakit-penyakit berjangkit dan juga hal-hal lain yang sama pentingnya berkaitan dengan keselamatan makanan serta kesihatan alam sekitar juga dititikberatkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya memberikan penerangan mengenai hala tuju Kementerian Kesihatan dalam mengukuhkan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam masa lima tahun akan datang dengan pelancarannya Pelan Strategik 2019-2023 Kementerian ini, yang mana memberi fokus pada penyediaan perkhidmatan yang lebih berkualiti, efektif, efisien, responsif, saksama dan mudah diperolehi selaras dengan konsep liputan penjagaan kesihatan menyeluruh (Universal Health Coverage). Penyediaan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan ini juga adalah sebagai tanda dokongan pihak Kementerian Kesihatan kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan beberapa inisiatif yang sedang dan akan diusahakan di Kementerian Kesihatan yang meliputi projek-projek pengubahsuaian dan pembaikan di semua hospital dan pusat-pusat kesihatan di seluruh negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11, di samping inisiatif-inisiatif terkini yang mendorong pada pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara ini. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan mengenai penggunaan teknologi yang terus diberi perhatian dan diterokai penggunaannya dalam pemberian perkhidmatan kesihatan serta memperkukuhkan sistem maklumat kesihatan, termasuk perkembangan sistem Bru-HIMS yang sedia ada.

 

Sejurus itu, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku wakil Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga menyampaikan ucapan balas di Majlis tersebut.

 

Majlis Muzakarah kemudiannya diikuti dengan sesi taklimat mengenai perkembangan dan usaha-usaha terkini bagi Perkhidman Hospital, Perkhidmatan Kesihatan Asasi dan Kesihatan Awam, termasuk Promosi Kesihatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan. Taklimat ini telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap bin Haji Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.

 

Permuzakarahan seterusnya diikuti dengan sesi dialog di antara Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pihak Kementerian Kesihatan. Dialog yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

Turut hadir di Sesi Muzakarah ini ialah Yang Mulia Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abd. Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengarah-Pengarah serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan.

 

-TAMAT-

 

Tarikh             : 11 November 2019 / 14 Rabiulawal 1441H

Rujukan           : KK/PR/3

Attachments