Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

HEALTH Screening Programme for Colorectal Cancer and Breast Cancer

SIDANG MEDIA

PROGRAM PEMERIKSAAN KANSER KOLOREKTAL DAN KANSER PAYUDARA

 

1.      Pemeriksaan kesihatan adalah satu cara pengesanan awal penyakit yang lazimnya dilakukan kepada orang yang tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit. Penyakit yang dikesan pada peringkat awal adalah lebih mudah untuk dirawat dan dikawal serta boleh mengelakkan atau mengurangkan komplikasi penyakit di masa yang akan datang. 

 

2.      Pada awal tahun ini, Kementerian Kesihatan telah pun memperkenalkan dan melancarkan Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme) sebagai usaha untuk meningkatkan keberkesanan strategi pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, khususnya bagi faktor risiko kardiovaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi, diabetis dan kolesterol tinggi. Tujuan program tersebut adalah untuk mengesan awal dan mengawal faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular serta mencegah dari terjadinya komplikasi penyakit-penyakit berkenaan melalui rawatan awal.

 

3.      Untuk pengetahuan orang ramai, program ini telah berjalan selama 9 bulan dan setakat ini, laporan awal telah menunjukkan bahawa dari jumlah yang telah menjalani pemeriksaan tersebut, kira-kira 1 per 3 telah didapati mempunyai Indeks jisim badan (BMI) yang lebih dari 30 iaitu di bawah kategori obes; separuh telah dikesan menghidapi kadar kolesterol yang tinggi; dan sebanyak 10% telah dikesan menghidapi tekanan darah tinggi atau darah gula tinggi. 

 

4.      Dalam pada itu, dalam meningkatkan lagi usaha pihak Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah penyakit kronik seperti kanser, Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Program Pemeriksaan Kanser Payudara sebagai program susulan di bawah Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan bermula pada hari ini, Selasa, 29 Rabiulawal 144H bersamaan 26 November 2019.

 

5.      Tujuan utama Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Program Pemeriksaan Kanser Payudara ini adalah untuk:

  • Pengesanan awal kanser kolorektal dan kanser payudara;
  • Pencegahan atau pengesanan awal komplikasi kanser kolorektal dan kanser payudara; dan
  • Pengurangan kadar kematian pra-matang iaitu kematian di antara umur 30 hingga 70 tahun yang disebabkan oleh kanser kolorektal dan kanser payudara.

 

6.      Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dibukakan kepada:

  • Warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam yang berusia 50 ke 75 tahun;
  • Tidak mempunyai sejarah kanser kolorektal; dan
  • Tidak pernah menjalani kolonoskopi dalam tempoh 10 tahun yang lalu dan ujian darah dalam najis dalam masa 2 tahun kebelakangan.

 

7.      Manakala Program Pemeriksaan Kanser Payudara pula dibukakan kepada:

  • Wanita warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam yang berumur 40 ke 69 tahun;
  • Tidak pernah menghidap kanser payudara dan tidak mempunyai sebarang gejala penyakit payudara; dan
  • Tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram dalam masa 3 tahun kebelakangan.

 

8.      Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal akan dijalankan di pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik yang terpilih di seluruh negara dan akan dikendalikan oleh jururawat-jururawat pemeriksaan yang terlatih. Manakala Program Pemeriksaan Kanser Payudara akan dikendalikan di Klinik Kesihatan Wanita di pusat-pusat kesihatan. Bagi Daerah Temburong, program pemeriksaan kesihatan akan dilakukan di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Pekan Bangar, Temburong.

9.      Bagi Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal, orang ramai yang berminat dan memenuhi syarat bolehlah mendaftar melalui salah satu dari tiga (3) cara berikut:

    1. Mengisi borang penyertaan di kaunter resepsi di mana-mana pusat kesihatan di Negara ini. Borang yang telah diisi hendaklah dikembalikan ke dalam Peti Pelanggan Kementerian Kesihatan yang telah disediakan; ATAU
    2. Memuat turun borang penyertaan dari laman sesawang www.ppkk.gov.bn dan menghantar borang yang telah lengkap diisi tersebut melalui emel ke health.screening@moh.gov.bn; ATAU
    3. Mendaftar secara on-line melalui laman sesawang www.ppkk.gov.bn menggunakan akaun E-Darussalam (jika ada).

10.  Manakala bagi Program Pemeriksaan Kanser Payudara, mereka yang memenuhi syarat-syarat penyertaan bolehlah mendaftar terus di Klinik Kesihatan Wanita (Well Woman's Clinic) yang berhampiran.

 11.  Sehubungan dengan Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Kanser Payudara ini, Kementerian Kesihatan juga akan terus bekerjasama dengan pihak Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) khususnya Early Detection & Cancer Prevention Services (EDCP) pada memberikan perkhidmatan pemeriksaan dan  pengesanan awal kanser kepada orang ramai. Perkhidmatan EDCP di bawah Pantai Jerudong Specialist Centre yang akan diperkenalkan pada masa yang terdekat ini dihasrat adalah selaku avenue tambahan atau extension bagi inisiatif pemeriksaan kesihatan yang di jalankan oleh Kementerian Kesihatan.


 12.  Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ppkk.gov.bn atau pun laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn, atau menghubungi Talian Darussalam 123.

health screening.jpeg 

-TAMAT-

Rujukan           : KK/PR/3

Tarikh              : 29 Rabiulawal 1441H / 26 November 2019


Attachments