Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

OFFENCES Under Tobacco Order 2005 And Its Regulations

KESALAHAN DI BAWAH PERINTAH TEMBAKAU 2005 DAN

PERATURAN-PERATURANNYA BAGI DISEMBER 2019

 

1.    Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan telah mencatatkan sebanyak 654 kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 di sepanjang tahun 2019. Sejumlah lima puluh tujuh (57) kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 telah dicatatkan bagi bulan Disember 2019. Kesemua 57 kesalahan berkenaan adalah di bawah Bab 14(2) iaitu merokok di tempat yang ditegah dan telah dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Tembakau 2005. Daripada keseluruhan jumlah kesalahan bagi bulan ini, 51 orang daripadanya adalah lelaki dan 6 orang wanita.

2.    Sehubungan dengan itu, Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan bersama dengan Unit Operasi, Bahagian Komersial & Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja telah melaksanakan beberapa "Ops Pajah" pada bulan Disember dalam usaha kedua pihak membenteras kegiatan merokok di kawasan Pasar Tani Serbaguna, Pasar Borong Kg Selayun, Bangunan-Bangunan Kerajaan dan perniagaan Bandar Seri Begawan, kawasan perniagaan Kiarong, Sumbangsih Mulia Kompleks, kawasan perniagaan Kiulap, kawasan perniagaan Berakas dan Stadium Tertutup. Hasil daripada "Ops Pajah" berkenaan, Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah mencatatkan sebanyak 26 kesalahan (daripada 57 kesalahan di sepanjang bulan Disember 2019) di bawah Bab 14(2) Perintah Tembakau 2005 iaitu merokok/vaping di tempat-tempat yang ditegah dan pesalah telah dikenakan denda kompaun.

3.    Manakala Unit Operasi, Bahagian Komersial & Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pula telah mencatatkan sebanyak 18 tangkapan di bawah Perintah Eksais 146(1) (d) semasa "Ops Pajah" berkenaan dilakukan. Jika sabit kesalahan di mahkamah, denda minima sebanyak $5,000 akan dikenakan ke atas pesalah yang membawa rokok seludup atau pesalah gagal memberikan bukti pembayaran cukai rokok dalam milikkannnya.

4.    Perintah Tembakau 2005 dan Peraturan-peraturannya memperuntukkan larangan merokok di tempat-tempat awam. Larangan ini adalah bertujuan untuk mengawal tabiat merokok serta bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok. Dalam usaha meningkatkan keberkesanan tindakan di bawah Perintah tersebut, tindakan tegas terhadap mereka yang didapati merokok di tempat-tempat yang ditegah akan diambil oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan mengenakan denda kompaun sebanyak $300 bagi kesalahan pertama. Sementara itu, denda kompaun sebanyak $500 pula akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati melakukan kesalahan kali kedua dan seterusnya.

5.    Perintah Tembakau 2005 juga mengkehendaki pengurus premis-premis tempat ditegah merokok untuk mempamerkan notis-notis larangan merokok di tempat-tempat yang mudah dilihat serta melakukan tanggungjawab mereka dalam memastikan pelanggan dan orang awam tidak merokok di kawasan tempat ditegah merokok di bawah kawalan mereka, sebagaimana yang dinyatakan di bawah Bab 15 Perintah Tembakau 2005. Pengurus premis yang gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut boleh dikenakan denda sebanyak $500 bagi kesalahan pertama dan seterusnya.

6.    Di antara kawasan-kawasan awam yang ditegah merokok termasuklah Bangunan-bangunan Kerajaan, kaki-lima kedai, pusat membeli belah, pasar, gerai, tamu, stesen bas, perhentian bas, restoran, kedai makan dan di dalam lingkunan 6 meter dari garis bangunan.

7.    Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan akan sentiasa melakukan operasi pemantauan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mengeluarkan saman-saman kompaun kepada sesiapa juga yang didapati melanggarnya.

 

8.    Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai dalam usaha menbentras kesalahan yang dilakukan di bawah Perintah Tembakau 2005. Orang ramai boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan Kesihatan melalui talian hotline 7192005 atau emel kepada health.enforcement@moh.gov.bn.

 

–TAMAT –

 

Tarikh    :   13 Jamadilawal 1441H / 08 Januari 2020

Rujukan :   KK/PR/4/1

Attachments