Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Foundation laid for a National Isolation Centre Laboratory

MAJLIS PERLETAKKAN BATU ASAS

BAGI PEMBINAAN MAKMAL PUSAT PENGASINGAN KEBANGSAAN UNTUK PERKHIDMATAN MAKMAL RUJUKAN TB KEBANGSAAN DAN VIROLOGI

 

Sabtu, 15 Jamadilawal 1441 / 11 Januari 2020 - Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Makmal hari ini mengadakan Majlis Perletakkan Batu Asas bagi pembinaan Makmal Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk Perkhidmatan Makmal Rujukan TB Kebangsaan dan Virologi, Tutong.

 

Hadir selaku tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan perletakkan batu asas, dan seterusnya menyaksikan pameran.

 

Antara objektif-objektif bagi pembinaan Makmal Pusat Pengasingan Kebangsaan berkenaan adalah untuk:-

 

  1. Melaksanakan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulation) dan dasar Kementerian Kesihatan dalam mengukuhkan keupayaan teras kesihatan awam (selaras dengan Strategi-Strategi dan Hala Tuju 2007 – 2017; Hala Tuju Dasar Bilangan 24, 49 dan 50 melalui Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Keputeraan Baginda pada tahun 2003, 2005 dan 2007);

     
  2. Menepati dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menjalankan ujian makmal bagi mengenalpasti Mycobacterium Tuberclosis yang melibatkan perlaksanaan ujian-ujian tersebut di dalam Makmal containment 'Biosafety Level 3' (BSL3); 

     
  3. Persediaan Jabatan Perkhidmatan Makmal dalam menangani Public Health Emergencies of International Concern bagi penyakit-penyakit berjangkit seperti Disease X dengan melaksanakan prosedur pra-analisis sebelum dihantar ke Makmal Rujukan Antarabangsa bagi ujian-ujian pengesahan; dan

     
  4. Memastikan persekitaran kerja yang selamat bagi kakitangan makmal dan mencegah dari berlakunya jangkitan kuman seperti penyakit TB. 


Dengan adanya makmal containment BSL3 yang diiktiraf dan perlaksanaan ujian-ujian makmal yang mematuhi piawaian antarabangsa ini, ianya dihasrat akan dapat menyokong Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023, khususnya inisiatif-inisiatif di bawah Matlamat Strategik 1 dan 3 iaitu untuk menubuhkan Center of Excellence bagi Makmal-Makmal Klinikal yang boleh menyokong kesihatan dan keselamatan awam di Negara Brunei Darussalam.

 

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Tanjong Maya, Tutong; Yang Mulia Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar & Pengurusan); dan Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawi Daerah Tutong.

 

-TAMAT-

 

Rujukan: KK/PR 4/1

Tarikh  : 15 Jamadilawal 1441H / 11 Januari 2020M

Attachments