Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

INFLUENZA Like-Illness (ILI) in Brunei Darussalam

MAKLUMAT KESIHATAN MENGENAI PENYAKIT INFLUENZA DI

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

1. Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi penyakit influenza di Negara Brunei Darussalam pada ketika ini yang mana Kementerian Kesihatan melaksanakan pemantauan secara berterusan sejak tahun 2009. Pemantauan ini meliputi:

    • kadar jumlah pesakit yang menghidap penyakit yang serupa dengan influenza atau influenza like-illness (ILI) yang mendapatkan rawatan di beberapa buah Pusat Kesihatan di Negara ini; dan
    • kadar pesakit yang menghidap jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) yang dirawat di hospital-hospital kerajaan.

2.    Berdasarkan pemantauan tersebut, didapati terdapat peningkatan jumlah pesakit yang menghidap ILI sejak bulan Disember 2019 hingga sekarang di mana setakat ini, seramai 6,274 orang telah mendapatkan rawatan di Pusat-Pusat Kesihatan tersebut, berbanding dengan 5,163 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu. 


 3.    Walau bagaimanapun, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak merasa cemas dan panik. Analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari pemantauan ini tidak menunjukkan sebarang tanda kemunculan virus influenza yang baru (novel virus), dan tidak ada kaitan dengan jangkitan pernafasan akut yang teruk di Bandar Wuhan, China atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Selain itu, keadaan yang berlaku di Negara Brunei Darussalam adalah serupa dengan keadaan yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara-negara lain dalam rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika. 


 4. Influenza adalah merupakan jangkitan virus dengan tanda-tanda utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan tanda-tanda lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan merasa lesu. Demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit; jangkitan influenza boleh merebak melalui titisan respiratori seperti hingus dan air liur yang terkeluar semasa seseorang itu bersin, batuk, bercakap atau bernafas. Virus influenza bermusim (seasonal influenza) hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma (ampus) dan lain-lain.


5.  Orang-orang yang berisiko tinggi khususnya seperti yang disebutkan di atas adalah amat digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (seasonal influenza vaccine). Selain itu, sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan influenza, termasuk bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:

  • Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi;
  • Kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, atau hand sanitizer;
  • Mengamalkan adab batuk / bersin yang baik;
  • Tidak bergaul dengan orang yang sedang menghidap flu; dan
  • Sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.

     

6. Mereka yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza pula adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara-perkara berikut:

  • Berehat di rumah/tempat penginapan dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan;
  • Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
  • Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain; dan
  • Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk.

     

7. Kementerian Kesihatan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan dan menggalakkan orang ramai bagi mendapatkan dan membeli insuran perubatan atau insuran pelancongan yang bersesuaian dari pihak-pihak pembekal insuran tempatan yang diiktiraf sebelum melancong ke luar negara bagi tujuan perlindungan semasa berada di luar negera.

 8. Kementerian Kesihatan akan terus memantau tren penyakit influenza di negara ini, dan akan berusaha untuk memaklumkan orang ramai sebarang status terkini mengikut kesesuaian. Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui laman sesawang www.moh.gov.bn.

INFLUENZA (FLU).jpg 

-TAMAT-

 

Tarikh              : 21 Jamaddilawal 1441H / 17 Januari 2020M

Rujukan           : KK/PR/3


Attachments