Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

VIRAL Fake News on First Coronavirus case in Brunei Darussalam

BERITA PALSU TULAR MENGENAI KES PERTAMA POSITIF KORONAVIRUS WARGA TEMPATAN YANG PULANG DARI CHINA SELEPAS MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

 

Berikutan dengan penyebaran maklumat dari Twitter melalui seorang yang bernama "Angula" yang menyatakan terdapat Kes Pertama Positif Koronavirus di Negara Brunei Darussalam yang dihidapi oleh seorang warga tempatan yang pulang dari Republik Rakyat China selepas menyambut Tahun Baru Cina di Negara tersebut, yang mana telah tular di media sosial melalui Twitter, Whatsapp dan Facebook, Kementerian ini ingin menjelaskan bahawa penyebaran maklumat tersebut adalah tidak benar dan telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan penularan  maklumat yang tersebar tersebut. Setakat ini, tidak ada kes jangkitan Koronavirus Baru (2019-CoV) didapati di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya. Seterusnya orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh Kementerian ini.

 

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak BND3,000.

 

Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan di talian 2381380 atau 2381383 atau menghubungi Talian Darussalam 123.

-TAMAT-

 

Rujukan           : KK/PR/4

Tarikh             : 14 Jamadilakhir 1441H / 8 Februari 2020M

Attachments