Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

STATUS Update COVID-19 in Brunei Darussalam

STATEMENT MEDIA BAGI SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19 DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

10 Mac 2020

                                                                                                      

1.    Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang telah dikesan pada 9 Mac 2020. Ujian pengesahan bagi kes tersebut telah dilakukan pada 9 Mac 2020 dan adalah positif bagi jangkitan COVID-19. Memandangkan ini adalah kes pertama bagi Negara Brunei Darussalam, sampel dari kes berkenaan akan seterusnya dihantar bagi ujian pengesahan lanjut di WHO Reference Laboratory di Singapura, sebagaimana garispanduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

2.    Kes tersebut ialah seorang lelaki warganegara tempatan berumur 53 tahun dan merupakan seorang pesara. Beliau telah pergi ke Kuala Lumpur, Malaysia bersama tiga orang rakannya, yang juga warga tempatan pada 27 Februari 2020. Beliau dilaporkan telah menghadiri satu perkumpulan keugamaan (tabligh) di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur yang dilaporkan turut dihadiri oleh lebih 100 orang yang berasal dari pelbagai tempat termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Beliau bersama rakan-rakannya telah pulang ke tanah air pada 3 Mac 2020 melalui Miri, Sarawak dengan menaiki pesawat Air Asia AK5651. Beliau juga telah membuat perjalanan ulang alik ke Miri pada 6 Mac 2020 dan singgah mendirikan solat fardhu Jumaat di Masjid Kg Sg Teraban. Pada malamnya, beliau telah mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan dan telah pergi ke Jabatan Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac 2020 untuk mendapatkan rawatan dan sampel nasopharyngeal swab bagi ujian COVID-19 telah diambil. Beliau juga diketahui menghidap beberapa penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular. Beliau telah dibawa ke ke Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong pada 9 Mac 2020 iaitu sebaik saja keputusan ujian awal makmal beliau diketahui.

 

3.    Mengikut Pelan Tindakan yang sedia ada, kontek-kontek yang didapati mempunyai tanda-tanda jangkitan telah dibawa ke Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk pemeriksaan lanjut manakala Perintah Kurantin (Quarantine Order) menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah dikeluarkan bagi kontek-kontek lain. Perintah tersebut mengkehendaki kontek-kontek berkenaan untuk menjalani pengasingan mandatori dan status kesihatan mereka sedang dalam pemantauan. Tindakan ini diambil untuk melindungi orang lain yang mungkin berada di sekitar kontek-kontek berkenaan dan memastikan jika kontek-kontek tersebut mempunyai tanda-tanda jangkitan, rawatan awal akan dapat segera diberikan. Mana-mana kontek yang melanggar Perintah Kurantin dengan meninggalkan tempat kurantin dengan sengaja boleh dikenakan tindakan undang-undang. Setakat ini, ujian awal makmal bagi kontek-kontek terdekat kepada kes telah dijalankan di mana lima orang daripadanya telah didapati positif. Mereka ini termasuk isteri dan dua orang anak kepada kes, seorang rakan kepada kes dan anak kepada rakan tersebut yang telah turut menghadiri perkumpulan keugamaan (tabligh) di Kuala Lumpur, Malaysia. Ujian pengesahan akan seterusnya dilakukan selepas 24 jam daripada ujian pertama, sebagaimana garispanduan yang sedia ada. Pada ketika ini, kelima-lima kontek mengalami tanda-tanda jangkitan yang ringan seperti batuk dan selsema tetapi berada di dalam keadaan yang stabil, tidak menghidap demam panas dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.

 

4.    Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan penyiasatan kontek (contact tracing) dan tindakan lanjut akan diambil sebagaimana garispanduan-garispanduan yang sedia ada yang mana telah dihasilkan berdasarkan bukti-bukti saintifik. Kementerian Kesihatan juga ingin menjelaskan bahawa kontek rapat (close contact) bagi setiap kes adalah didefinasikan sebagai orang-orang yang tinggal serumah dengan kes atau mereka yang telah berada bersama-sama kes dalam jarak kurang dari satu meter selama 30 minit atau lebih di dalam kawasan atau ruang yang tertutup. Oleh yang demikian, risiko penularan jangkitan dari hubungan yang tidak rapat (transient or casual contact) seperti perjumpaan yang tidak lama termasuk di dalam kenderaan awam adalah dinilai sebagai berisiko rendah.

 

5.    Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan juga telah mendapat maklumat mengenai kira-kira 90 orang warga tempatan yang telah sama-sama menghadiri perkumpulan keugamaan (tabligh) di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 3 Mac 2020. Oleh yang demikian, mereka adalah dikehendaki untuk menghubungi talian 2381383 atau 2381380 (waktu berkerja sahaja) atau Talian Darussalam 123 (di luar waktu berkerja) dengan segera bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan selanjutnya. Sesiapa yang terlibat di dalam perkumpulan tersebut dan sedang mengalami tanda-tanda jangkitan seperti demam panas, batuk atau kesukaran bernafas hendaklah segera pergi ke Pusat Flu (Flu Centre) di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang terletak berhadapan dengan pintu masuk ke Jabatan Kecemasan.

  

6.    Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta mengeluarkan ugutan atau ancaman terhadap sesiapa yang disyaki dijangkiti COVID-19, termasuk ahli keluarga mereka. Sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya yang berugama Islam seharusnya mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan orang-orang yang dijangkiti COVID-19 dan supaya Negara Brunei Darussalam dilindungi daripada segala bencana dan wabak penyakit. Sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan menjaga etika batuk dan bersin. Bagi orang-orang yang berugama Islam adalah disarankan untuk sentiasa berada di dalam wudhu kerana rukun-rukun wudhu adalah selari dengan nasihat-nasihat menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan, mencuci hidung dan mulut dan anggota tubuh badan lainnya.

 

7.    Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk jangan merasa cemas jika bertambahnya kes berikutan daripada penyiasatan-penyiasatan kontek yang dijalankan. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang menunjukkan terdapat penularan jangkitan di kalangan masyarakat berleluasa pada masa ini dan keadaan adalah terkawal.

 

8.    Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perkembangan terkini mengenainya. Kementerian Kesihatan akan terus memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan sesuai dengan keperluan. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengelakkan dari pergi ke luar negara jika tidak ada keperluan dan hendaklah memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas. Sebagaimana hadith Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya. Oleh yang demikian, kita hendaklah bersatu dalam solidariti bagi menangani wabak COVID-19 ini dan bukannya mendiskriminasikan mana-mana pihak. Insya Allah, dengan doa dan tawakkal kepada Allah, kita akan berjaya mengawal penularan wabak ini. Aamiin..

 

9.    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi talian-talian berikut:

  • Talian Nasihat Kesihatan - 2381380 atau 2381383 (pada waktu pejabat sahaja) atau;
  • Talian Darussalam 123 (di luar waktu pejabat).

 

 WhatsApp Image 2020-03-10 at 6.28.13 PM.jpeg

 

 - TAMAT  -

 

Rujukan : KK/PR/2

Tarikh    : 15 Rejab 1441H / 10 Mac 2020M


Attachments