Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

Update: 104 New Cases as of 24 March 2020

‚Äč

KENYATAAN MEDIA SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19 DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

24 Mac 2020

 

1.     Pada hari ini, 29 Rejab 1441 bersamaan 24 Mac 2020, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan mengenai 13 lagi kes baru yang telah disahkan dijangkiti COVID-19 di negara ini. Ini bermakna jumlah keseluruhan kes di negara ini ialah 104 orang.

 

  • Kes 92 berumur 39 tahun ialah isteri kepada Kes 81 yang mula mengalami demam panas pada 22 Mac 2020. Beliau tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara.

     
  • 8 kes pada hari ini adalah berkaitan dengan Kes 91 iaitu kumpulan keluarga yang telah melancong ke Surabaya, Indonesia dan telah pulang ke negara ini pada 20 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI796 iaitu
    • Kes 93 seorang lelaki tempatan berumur 57 tahun;
    • Kes 96 seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun;
    • Kes 97 seorang wanita tempatan berumur 60 tahun;
    • Kes 98 seorang wanita tempatan berumur 30 tahun;
    • Kes 99 seorang lelaki tempatan berumur 66 tahun;
    • Kes 100 seorang lelaki tempatan berumur 66 tahun;
    • Kes 102 seorang wanita tempatan berumur 60 tahun; dan
    • Kes 104 seorang wanita tempatan berumur 51 tahun.

 

  • Kes 94 berumur 56 tahun ialah kontek kerja kepada Kes 84. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula merasa demam pada 22 Mac 2020.

     
  • Kes 95 berumur 42 adalah isteri kepada Kes 90. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula mengalami selsema pada 20 Mac 2020.

     
  • Kes 101 berumur 45 tahun ialah kontek kepada Kes 73. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula mengalami demam panas pada 22 Mac 2020.

     
  • Kes 103 ialah seorang warga tempatan berumur 41 tahun. Beliau telah mula mengalami demam panas dan sakit tekak pada 12 Mac 2020. Penyiasatan kontek masih dijalankan bagi kes ini.

     

2.     Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa daripada 102 kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, seorang masih dalam keadaan kritikal dan pada masa ini memerlukan mesin bantuan pernafasan dan alat bantuan tambahan iaitu heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, dua orang dalam pemantauan rapi manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

 

3.     Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa pada ketika ini seramai 1,388 orang sedang menjalani kurantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 376 orang lagi telah menamatkan tempoh kurantin dan dalam keadaan yang baik. Sejak awal Januari 2020, sebanyak 3,647 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.

 

4.     Alhamdulillah, setakat ini, penempatan bagi mereka yang dikehendaki untuk  menjalani pengasingan diri mandatori berjalan dengan baik dan dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Pembangunan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta agensi-agensi swasta, sektor perhotelan dan pihak sukarelawan. Status kesihatan mereka yang sedang menjalani pengasingan diri dipantau oleh Kementerian Kesihatan dengan bantuan agensi-agensi berkenaan di mana pada masa ini, Kementerian Kesihatan juga sedang giat melaksanakan secara berperingkat-peringkat ujian makmal COVID-19 mengikut lokasi penempatan.

 

5.     Berikutan dengan kenyataan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada hari Isnin, 23 Mac 2020 terhadap semua warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Brunei Darussalam sama ada melalui Pos-pos kawalan Darat, Laut dan Udara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, yang mana larangan ini adalah juga termasuk bagi warganegara asing yang transit di negara ini. Dalam pengumuman yang sama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga ingin merujuk kepada kenyataan, dimana pertimbangan-pertimbangan khas hanya diberikan kepada urusan-urusan yang menyumbang kepada menjaga kepentingan dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan ini, adalah dimaklumkan bahawa mana-mana urusan melalui Pos-pos kawalan imigresen, melibatkan syarikat-syarikat pengangkutan yang membawa masuk barangan ke Negara Brunei Darussalam seperti barang-barang asasi termasuk bahan makanan, sayur-sayuran, ikan, bekalan perubatan (medical supplies) dan seumpamanya adalah dikecualikan daripada proses mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Dalam masa yang sama, barang-barang yang dibawa masuk hendaklah mematuhi syarat-syarat dan perundangan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan agensi-agensi Kerajaan lain yang mengawalnya. Kemasukan pekerja-pekerja syarikat pengangkutan ini juga hendaklah  mematuhi nasihat-nasihat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan.

 

6.     Sementara itu, merujuk kepada Kenyataan Media Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 18 Mac 2020 mengenai larangan sementara bagi premis-premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, foodcourt, gerai makan dan seumpamanya untuk menyajikan makanan dan hanya dibenarkan untuk dibawa pulang (take-away), sebagaimana Seksyen 62(A) Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, sesiapa yang melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang. Larangan ini adalah termasuk rumah-rumah persendirian, sama ada berlesen ataupun tidak, yang memberikan perkhidmatan restoran.

 

7.     Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).

-    TAMAT   -


 
Rujukan                : KK/PR/2
Tarikh                    : 29 Rejab 1441H / 24 Mac 2020


Attachments