Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

HEALTH Advisory during flood

‚ÄčNASIHAT KESIHATAN SEMASA BANJIR


Berikutan dengan kejadian hujan lebat dan banjir pada masa ini, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir, supaya mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan,  kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi, Japanese Enchephalitis (JE) dan sebagainya. 

 

Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah:

  • Memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar;
  • Memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol;
  • Memasak semua makanan dengan sempurna;
  • Mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas;
  • Menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air supaya tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok;
  • Mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain;
  • Mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit;
  • Mengelakkan daripada menyentuh dawai eletrik yang jatuh berdekatan air banjir;
  • Seboleh-bolehnya mengelakkan daripada terkena air banjir terutamanya bagi mereka yang mempunyai luka-luka kecil atau penyakit kulit kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan. Walaubagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, adalah dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di Pusat-Pusat kesihatan yang berdekatan;
  • Bagi pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik, hendaklah memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi dan jika kekurangan bekalan adalah dinasihatkan untuk menghubungi Pusat-Pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan bekalan ubat;
  • Memastikan tidak ada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

     
Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

  
-T  A  M  A  T-


Rujukan    : KK/PR/3
Tarikh       : 06 Zulkaedah 1441 / 28 Jun 2020


Attachments