Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

MOH implements 'Merati' Operations at business premises


KEMENTERIAN KESIHATAN MELAKSANAKAN

OPERASI 'MERATI' DI PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN

 

Bandar Seri Begawan, 27 Muharram 1442H / 15 September 2020 – Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah menjalankan beberapa sesi Operasi "Merati" dari 07 September sehingga 13 September 2020 di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

 

Operasi Merati ini dijalankan di premis-premis perniagaan di kawasan-kawasan seperti berikut:

 

Daerah Brunei Muara
  • Rimba
  • Sengkurong
  • Serusop
  • Lambak
  • Pengkalan Gadong
  • Masjid Salambigar
Daerah Belait
  • Pekan Belait
  • Masjid Lorong 3 Seria
Daerah Tutong
  • Kg Kupang
  • Kg Lamunin
  • Kg Telisai
Daerah Temburong
  • Pekan Bangar
  • Kg Rataie

 

Operasi Merati ini melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Sebanyak 90 premis perniagaan telah diperiksa.

 

Hasil dari operasi yang telah dijalankan mendapati bahawa 7 premis perniagaan tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya sebanyak $3,000.

 

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan denda kompaun adalah seperti berikut:-

  1. Premis-premis berkenaan termasuklah tidak memakai sungkup muka (face mask) bagi pengendali dan penyedia makanan dan tukang gunting rambut serta Establismen kecantikan dan kesihatan;
  2. Tiada pemeriksaan suhu badan; dan
  3. Tidak menggunakan kod QR BruHealth.

 

Kementerian Kesihatan sekali lagi ingin menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya. Terutama sekali memastikan pengendali, penyelia makanan dan kakitangan mereka memakai sungkup muka (face mask). Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan kepada orang ramai, terutama sekali kepada para jemaah yang berada di kawasan premis masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk memakai sungkup muka (face mask) dan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan.

 

Pengurus premis juga dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan. Pengurus premis juga diingatkan untuk menggunakan Aplikasi Premise Scan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak menggunakan Aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka.

 

Selain dari itu, mereka juga perlu mengamalkan langkah-langkah kebersihan di dalam premis perniagaan dan terutama sekali bagi premis makanan diingatkan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan jika menyediakan makanan secara buffet.

Orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau mengunjungi laman sosial di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini.

 

Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada health.enforcement@moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

 

 

 

-TAMAT-

 

 

Rujukan           : KK/PR/1

Tarikh             : 27 Muharram 1442H / 13 September 2020


Attachments